KERATAN Nanyang Siang Pau 26 Februari 2017.

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 28 Februari 2017 memaparkan komen sidang editorialnya tentang lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia sebagai satu lagi tanda kemena­ngan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada Ahad lalu, Raja Salman tiba di Kuala Lumpur untuk lawatan selama empat hari bersama ­delegasi lebih 600 orang.

Najib berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan Raja Salman dengan menggunakan protokol diplomatik antarabangsa yang tertinggi.

Rombongan ini terdiri daripada ahli-ahli kerabat diraja dan ini juga adalah kali pertama jelajah Raja Salman ke Asia Tenggara sejak pertabalan baginda pada 2015.

Ini bermaksud baginda memberi ‘muka’ kepada Malaysia. Jika kita menganalisis dari sudut lain, ini juga mencerminkan pengaruh Najib di negara Arab.

Perdana Menteri kita terikat dengan isu 1MDB dan sumbangan politik RM2.6 bilion oleh seorang Putera Arab sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Parti-parti pembangkang dan agensi berita tertentu telah menyerang beliau tanpa henti mengenai isu-isu ini.

Sekarang jelas bahawa Arab Saudi yang dikaitkan dengan dua isu ini tidak mengelak daripada bertemu Najib malah Raja Salman sendiri mengetuai delegasi besar melakukan lawatan rasmi ke Malaysia ketika isu sensitif itu masih panas.

Dengan itu, bolehlah ditafsirkan bahawa Raja Salman memberi sokongan terbuka kepada kepimpinan Najib.

Namun, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini berusia 91 tahun tidak menghalang penghinaan pembangkang terhadap lawatan Raja Salman malahan bertanyakan Najib tentang apa lagi yang beliau cuba jual.

Pada malam Ahad lalu, jamuan rasmi yang dianjurkan oleh Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara turut menjemput seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi tetapi laporan Bernama tidak pula menyebut kehadiran Dr. Mahathir.

Apapun, Raja Salman telah membawa masuk pelaburan ­besar-besaran termasuk AS$7 bi­lion (RM31.1 bilion) dalam kilang penapisan minyak di bawah perjanjian antara Petronas dan Aramco untuk projek bersepadu RAPID di Pengerang, Johor.

Ini adalah satu lagi pencapaian ekonomi besar oleh Najib setelah mendapat RM140 ­bilion pelaburan ketika lawatannya ke China baru-baru ini. Beliau telah memenangi satu lagi pusingan kali ini, secara politik dan juga diplomatik.


PUSINGAN U DAP

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 26 Februari 2017 pula memaparkan tulisan Teh Seh Boon melalui ruangan Sudut Pendapat yang mempersoalkan tindakan DAP membuat pusingan U umpama menampar muka sendiri. Baru-baru ini Lim Guan Eng dan Loke Siew Fook serta lapan pemimpin DAP melawat Duta China ke Malaysia, Dr. Huang Huikang.

Selepas gambar mereka dimuat naik ke dalam laman sosial, mereka mendapat sambutan dan sorakan daripada pengguna internet dan bermulalah isu pusingan U ­seperti DAP menampar muka sendiri.

Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan pelbagai pelaburan dan marah terlalu banyak membawa masuk pelaburan dari China umpama menjual negara ini, ramai orang DAP akur tetapi kenapa pula sekarang apabila DAP berjumpa dengan Duta China mereka senyap?

Ada juga pelayar internet menegur mengatakan DAP mengamalkan double standard. Jika orang lain yang lakukan semua­nya salah tetapi jika diri sendiri, semuanya boleh dan ­betul. DAP adalah sebuah parti kecil dan jika parti roket ini mahu menjual ­negara ini memang mereka tidak layak. Saya tidak menganggap menarik pelabur asing sebagai menjual negara selagi kuasa kedaulatan masih di tangan kita. Bekerjasama dengan negara asing hanya untuk memajukan negara dan tingkatkan pembangunan.

Suara Dr. Mahathir sebenarnya hanya untuk didengar oleh kaum bumiputera sahaja. Itu adalah kemahiran beliau dalam menggunakan isu perkauman.

Sekarang pun isunya masih berkisar kepada pelaburan China, orang Cina, isu orang Cina agak lebih berkemampuan supaya dapat membangkitkan emosi dan mewujudkan suasana tegang dan beliau dapat menjatuhkan musuh ketatnya.

Hala tuju Dr. Mahathir memang jelas, mahu menarik jiwa orang Melayu yang bersifat konservatif dan ini juga adalah kekurangan yang paling ketara bagi DAP, sebab itu mereka bergabung tenaga.

Maka masalah pun timbul ­kerana kaum bumiputera yang bersikap konservatif masih mahu mendukung hak keistimewaan orang Melayu sedangkan dari segi logiknya apa yang dikejar oleh parti roket adalah sama rata, bermakna semua itu berlawanan.

Disebabkan itu, kini berlaku terlalu banyak masalah mungkin kerana DAP sudah terjebak dan takut ditinggalkan pengundi.

Bagi penyokong DAP, perkara ini amat menjelikkan. Apa sebenarnya yang pemimpin parti ini fikirkan? Penyokong yang mendukung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) lebih ramai daripada orang DAP sementara penyokong parti roket kelihatan dalam dilema.

Orang lain buat salah telah pun dibuktikan, semua rakyat sudah tahu tetapi ini tidak bermakna apa yang DAP cakap semuanya betul. Sebab itu, DAP perlu membuktikan kenapa dan bagaimana yang parti roket itu adalah betul.

DAP dilihat seperti mahu memperbaiki kesilapan silam tetapi sebenarnya semua ini kerana parti roket itu memerlukan rakan dari parti lain termasuk parti seperti PPBM.