KERATAN Nanyang Siang Pau 11 Februari 2017.

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 11 Februari 2017 menyiarkan artikel yang mengulas pengumuman bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim untuk menyertai DAP pada 7 Februari lalu.

Zaid yang pernah menganggotai UMNO, PKR dan menubuhkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) berkata, beliau bertindak demikian kerana tidak ramai pemimpin Melayu terkenal berada dalam DAP dan beliau berasa selesa dengan parti itu.

Artikel bertajuk Sebuah armada kapal terpakai Zaid Ibrahim yang ditulis oleh Wang Kai Eng disiarkan dalam ruangan Pendapat halaman A10.

Tidak ramai ahli politik ternama dalam kalangan orang Melayu yang menyertai DAP ekoran imej negatif parti itu yang sejak sekian lama dilabelkan oleh musuh politiknya sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Jika ada orang Melayu ­me­nyertai DAP mereka akan digelar boneka dan menjadi tali barut kepada parti yang dianggotai majoriti kaum Cina.

Walaupun DAP sejak sekian lama mendakwa parti berbilang kaum, imej negatif itu tidak dapat dihapuskan kerana pada hakikatnya memang parti itu dikuasai kaum Cina manakala ahli Melayu tidak mempunyai sebarang pengaruh.

Kerana hakikat itu, di semua peti undi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu, calon DAP akan tewas.

Menyedari kepincangan itu, pemimpin kanan DAP telah menjalankan pelbagai strategi bagi menarik penyertaan lebih ramai ahli dalam kalangan kaum Melayu.

Dalam pada itu, kemasukan Zaid selaras dengan strategi DAP untuk menarik penyertaan lebih ramai pemimpin Melayu dalam parti itu. Strategi paling ideal sudah tentu menghimpunkan orang kecewa seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang banyak pengalaman ke dalam parti itu.

Bagaimanapun, langkah ber­kenaan sukar untuk dilaksanakan. Sebab itu, DAP memilih strategi kedua dengan menarik orang seperti Zaid. Bagi parti itu, langkah berkenaan sudah memadai selaras dengan ungkapan tidak dapat ikan dan udang besar pun tidak mengapa asalkan ada yang kecil.

Kemasukan Zaid adalah strategi yang lebih munasabah kerana beliau tidak akan bertindak sewenang-wenangnya melawan tauke berbanding tokoh lebih berpengaruh seperti Dr. Mahathir dan Muhyiddin yang mungkin akan merampas pucuk kepimpinan DAP.

Sekarang Zaid secara rasmi menjadi ahli DAP dan segala dakwaan musuh politik bahawa parti itu tiada pemimpin Melayu berkaliber telah terpadam.

Seperti rahmat jatuh dari la­ngit, bermula dari sekarang sudah ada calon DAP yang akan menjadi Perdana Menteri (PM) atau Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Cuma yang perlu sama-sama kita lihat, adakah Zaid yang boleh diibaratkan sebagai nakhoda armada kapal terpakai dapat membantu DAP untuk mencapai kejayaan lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Penulis juga ingin melihat adakah Zaid akan membuang sikap lamanya yang suka melompat parti. Jika ditakdirkan beliau sekali lagi berbuat demikian, pemimpin DAP perlu ­menerimanya sebagai kehendak Tuhan.

Manusia tiada kuasa untuk menghalangnya. Cuma DAP perlu mengakui bahawa parti itu sudah tewas kerana tersilap langkah meletakkan dadu.

JAWATAN TPM 
BUKAN MILIK CINA

AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 8 Februari 2017 me­nyiarkan artikel yang meramalkan kaum Cina sukar untuk dilantik menjadi TPM.

Artikel yang ditulis oleh Tan Khim Shong bertajuk Perjuangkan jawatan TPM tidak membantu tiket undi disiarkan dalam ruangan Kolum ODN halaman 36.

Parti-parti politik di negara ini tidak berani untuk membangkitkan isu pelantikan TPM dalam kalang­an bukan Melayu berikutan trend semasa di Malaysia yang rakyatnya lebih mengutamakan kepentingan kaum masing-masing.

Perkara itu terbukti apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru ditubuhkan memilih menjadi parti bagi kaum Melayu sahaja dan bukan untuk berbilang kaum.

Jika ada yang mencadangkan kaum Cina menjadi TPM, parti itu akan ditentang oleh orang Melayu yang menjadi penduduk majoriti Malaysia. Parti itu sudah tentu tidak dapat pergi jauh dan membentuk kerajaan di peringkat Pusat.

Menyedari hakikat itu, MCA yang menyertai Barisan Nasional (BN) sejak awal penubuhannya tidak pernah membuat permintaan secara rasmi supaya kaum Cina dilantik menjadi TPM. Kalau ada pun, cadangan itu adalah pandangan peribadi pe­mimpin tertentu dalam parti berkenaan.

Kerana menyedari bahawa isu itu cukup sensitif, maka Penasihat DAP, Lim Kit Siang, cepat-cepat membuat penafian apabila wujud dakwaan dalam beberapa akhbar bahawa parti itu me­nuntut jawatan TPM jika pakatan pembangkang menang PRU-14.

Dalam pada itu, Singapura lebih terkedepan berbanding Malaysia apabila mewujudkan dua jawatan TPM yang masing-ma­sing disandang oleh kaum Cina dan India.

Bagaimanapun, bagi jawatan PM hanya kaum Cina yang menyandang jawatan berkenaan sejajar dengan hakikat etnik itu paling banyak iaitu 74 peratus daripada 3.26 juta penduduk.

Penyandang jawatan itu sekarang, Lee Hsein Loong pernah meluahkan harapan pada masa depan akan ada PM dalam kala­ngan bukan Cina tetapi calon ber­kenaan mesti memenuhi beberapa syarat termasuk mempunyai hubungan rapat dengan kaum majoriti berkenaan dan fasih bertutur bahasa Mandarin.

Jika dilihat perangkaan pada 2016, komposisi penduduk di Malaysia yang berjumlah 31.7 juta orang adalah hampir sama dengan Singapura iaitu bumiputera sebanyak 68.6 peratus, Cina (23.4 peratus), India (tujuh peratus) dan lain-lain (satu peratus).

Persoalannya, adakah orang Melayu sanggup berkorban dengan memberikan jawatan PM dan TPM kepada etnik lain? Hanya masa yang akan dapat menentukannya.

Sebelum ini, terdapat harapan akan ada pemimpin MCA menjawat jawatan TPM. Bagaimanapun, perkara itu hanya menjadi impian yang sukar ditunaikan berikutan parti berkenaan sema­kin kurang mendapat soko­ngan kaum Cina.