AKHBAR Sinchew Daily bertarikh 31 Januari 2017 melalui ruangan Pendapat Yan Lu memaparkan tulisan penulis bebas menggunakan nama samaran Mohsein Abdullah yang mempersoalkan kenapa orang Cina tidak boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa MCA pernah minta jawatan Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya Datuk Sri Najib Tun Razak menyangkal kenyata­an tersebut.

Timbalan Setiausaha Agung MCA, Datuk Loke Yuen Yow pula menjelaskan beliau pernah membuat cadangan peribadi supaya pemimpin MCA memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri II pada 2009 bagi melambangkan penghormatan yang sepatutnya kepada parti itu.

Sebelum Yuen Yow mengaku ada menyatakan cadangan tersebut, beliau dipetik akhbar The Malay Mail mengatakan bahawa MCA mengakui mereka telah mohon jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Laporan ini menyebabkan jawatankuasa pusat MCA keluarkan kenyataan mengakui parti itu memang pernah atur ahlinya dicalonkan untuk jawatan tersebut.

Mana-mana parti bukan Melayu sama ada MCA atau DAP minta jawatan Timbalan Perdana Menteri saya sokong kerana langkah ini tiada sebarang kesalahan.

Sesiapa sahaja jika dia rak­yat Malaysia dan mempunyai kelayak­an profesional, tidak kira orang Cina, Melayu, Iban, Kadazan atau mana-mana kaum lain semuanya boleh menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Apa yang menjadi masalah lagi?

Sebenarnya adakah terdapat panduan perundangan jelas yang boleh dijadikan panduan jika orang bukan Melayu mahu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri?

Saya berani katakan sebenar­nya tiada undang-undang khas yang menetapkan perkara itu. Sebab itu isu ini pada bila-bila masa sahaja boleh diterima untuk diperbetulkan dan diperbaiki.

Jawatan Perdana Menteri telah jelas. Kita sudah banyak kali ditegur bahawa jawatan tertinggi itu semestinya orang Melayu Islam kerana ini adalah ketetapan yang tidak bertulis.

Tetapi jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak disebut de­ngan jelas dan bukan semata-mata diperuntukkan kepada orang Melayu.

Sekalipun bukan Melayu menjadi Timbalan Perdana Menteri, akhirnya dia tidak akan dapat jadi Perdana Menteri kerana jawatan itu memang pada asalnya untuk orang Melayu.

Orang Melayu Islam masih majoriti di negara ini dan akan kekal begitu malah mungkin semakin meningkat majoritinya melihatkan perangkaan bilangan penduduk di negara ini.

Penduduk bumiputera seba­nyak 67.3 peratus kini mungkin meningkat kepada 72.1 peratus (naik 4.8 peratus) menjelang 2040 sementara penduduk Cina akan turun kepada 20 peratus (jatuh 4.5 peratus) dan India menurun kepada 6.4 peratus (jatuh 0.9 peratus).

Semua bangsa khususnya Cina dan India perlu belajar dan ambil pendekatan bekerjasama dengan orang Melayu dan Islam seperti dicadangkan Merdeka Center.

Orang Melayu dan Islam pula perlu melihat orang bukan Islam sebagai saudara senegara mereka untuk sama-sama menikmati kekayaan, kemajuan dan keamanan negara ini.

Lihat cara 
Dr. Mahathir 
tunggang Pas

AKHBAR Nanyang Siangpau bertarikh 6 Februari 2017 melalui ruangan Pendapat memaparkan tulisan Dr. Cheah See Kian yang mengulas bagaimana Tun Dr. Mahathir Mohamad akan ‘menunggang’ Pas.

Walaupun kita masih belum tahu isi kandungan persefaham­an antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pas, sekurang kurangnya perkembang­an ini telah memberi penjelasan bahawa mereka mahu ubah kerangka politik negara.

Ketegasan Pas menolak beker­jasama dengan pembangkang memang boleh difahami tetapi selepas Pas menolak jemputan PPBM, kelihatan Pas sudah hilang panduan dan hala tuju menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pada 1 Februari lalu, PPBM dan Pas memulakan perbincangan kali pertama yang diwakili Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man.

PKR, DAP dan PAN yang berada dalam barisan pembangkang pula mungkin akan berdepan ledakan bom jangka. Jika tidak berhati-hati, pembangkang akan dibubarkan kepada dua kem dengan satu kem didukung tiga parti tersebut sementara satu lagi dianggotai PPBM dan Pas.

Jika dilihat semula, PPBM boleh menjadi orang tengah terutama sekali melihatkan PAN yang menjadi parti serpihan Pas akan berebut kerusi dengan ‘induknya’ dan kedua-dua belah pihak tidak akan berganjak.

Dr. Mahathir perlu fikirkan cara untuk atasi masalah ini dan jika tidak diurus dengan baik ­situasinya akan bertambah buruk kelak.

Beliau juga perlu memikirkan sama ada Pas masih mahu bertahan tentang enakmen 355 ataupun tidak, sama ada hukum hudud dapat dilaksanakan oleh Pas ataupun isu itu diketepikan supaya lebih pentingkan perjuang­an yang lebih besar.

Jika Pas hanya mahu bekerjasama dengan PPBM, maka akan bertambah buruk syak wasangka antara parti pembangkang sehingga boleh hilang rasa saling mempercayai di antara mereka.

Bagi Pas, mereka perlu akur bahawa parti itu masih lagi dalam kategori pembangkang dan tidak sepatutnya berganding bahu de­ngan UMNO pada PRU depan.

UMNO akan rasa lebih lega jika dapat bekerjasama dengan Pas tetapi akan berlaku sengketa dalam peringkat dalaman Barisan Nasional (BN) terutama sekali parti komponen dari Sabah dan Sarawak.

Disebabkan keputusan Pas masih terumbang-ambing, bukan sahaja parti pembangkang yang pening malah parti komponen BN juga tidak tentu arah.

Pas kini umpama aset politik kedua-dua belah pihak tetapi sekejap timbul sekejap tenggelam. Paling membimbangkan jika aset ini dilepaskan agak merugikan BN atau pembangkang kerana mungkin menjejaskan perjalanan politik di Malaysia.

Sekarang kita cuma boleh melihat bagaimana cara Dr. Mahathir berdepan dan menunggang Pas.