ROBERT KUOK
ROBERT KUOK

Akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 5 Mac 2018 telah menyiarkan tulisan Cheah See Kian yang mengupas isu berkaitan individu terkaya di Malaysia, Tan Sri Robert Kuok berikutan penerbitan buku biografinya bertajuk, Robert Kuok: A Memoir.

Dengan menggunakan tajuk Lemparan seketul batu Robert Kuok, ombak setinggi gu­nung dalam ruangan Pandangan halaman C2, See Kian menyatakan banyak pihak termasuk menteri telah mengkritik beberapa isi kandungan buku tersebut apabila terdapat sesetengah hujah yang dikemukakan oleh Kuok dikatakan mengguris ­perasaan orang Melayu.

Kuok kemudian dituduh tidak tahu berterima kasih selain dium­pamakan kacang lupakan kulit.

Antara intipati yang terkan­dung dalam buku biografi tersebut ialah pandangan Kuok mengenai kedudukan syarikat-syarikat konglomerat yang bergantung dengan kerajaan sehingga syarikat-syarikat berkenaan menjadi kapitalis yang kaya-raya.

Sememangnya tidak boleh dinafikan syarikat-syarikat kong­lomerat berkenaan mempunyai hubungan yang baik dengan pihak kerajaan dan hasilnya sektor perniagaan mereka mendapat kelebihan tertentu.

Kata-kata Kuok ini lebih berbentuk kritikan terutama terhadap beberapa polisi kerajaan. Untuk rekod buku biografi ber­kenaan mula dikeluarkan pada November 2017.

Antara fakta lain yang menarik dalam buku biografi itu adalah tentang perbincangannya dengan Tun Hussein Onn yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri. Kedua-duanya adalah rakan sejak zaman sekolah. Pokok perbincangan mereka ialah berkaitan dengan kepentingan negara.

Hussein telah meminta pandangannya tentang hala tuju negara. Bagaimanapun beberapa pandangan yang diberikan tidak menepati kehendak polisi negara. Bagi Kuok sekiranya polisi tersebut tidak melibatkan perkauman, warna kulit serta kepercayaan agama dan yang lebih penting mampu mengimbangi kepentingan semua rakyat negara ini, sudah tentu mereka (rakyat) mampu menggembleng kelebihan masing-masing.

Ini kerana menurut Kuok, rata-rata rakyat negara ini rajin berusaha selain berdaya tahan. Namun, Hussein meminta maaf sambil berkata, cadangan Kuok itu sukar diterima kerana Malaysia dikuasai dan diperintah oleh orang Melayu. Kuok berasa kecewa.

Lebih malang lagi, pandangannya tentang perkara tersebut menjadi bahan kecaman Majlis Tindakan Ekonomi Melayu apabila menjadi salah satu isi kandung buku biografinya yang diterbitkan November tahun lalu.

Dalam perkembangan ber­kaitan iaitu pada 21 Februari lalu secara tiba-tiba muncul pula blogger, Raja Petra Kamarudin dengan tiga artikelnya secara terbuka mengkritik dan menuduh Kuok memberi bantuan kewangan terbesar kepada DAP.

Lebih parah lagi, ada pihak yang menuduh Kuok mahu orang Cina memerintah negara ini. Kritikan-kritikan ini kemudian telah mengundang beberapa pemimpin UMNO memberikan kenya­taan yang begitu keras kepada Kuok sehingga ada yang mencabar bilionair itu menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang

Apabila isu tentang Kuok itu semakin panas, pejabat bilionair itu segera mengeluarkan kenyataan akhbar untuk menafikan segala kritikan terhadapnya. Sekurang-kurangnya dapat meredakan keadaan yang mungkin boleh berlarutan jika dibiarkan.

Dalam kenyataan akhbar tersebut, Kuok mengakui yang beliau masih mempunyai semangat serta jati diri sebagai seorang warganegara dan tidak akan pernah melupakan jasa pemimpin terdahulu yang banyak membantunya sehingga berjaya.

Besar kemungkinan Kuok juga tidak menyangka buku biografi­nya itu mendapat tumpuan yang begitu meluas di Malaysia seumpama melempar seketul batu tetapi kesan ombaknya setinggi gunung. Selain fakta-fakta yang dilihat begitu kontroversi, buku biografinya itu turut memaparkan satu sejarah perjalanan orang Cina yang merantau sejak beratus-ratus tahun lalu.

SEJARAH POLITIK PAS

AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 1 Mac 2018 pula memaparkan tulisan Cheah See Kian bertajuk Apa kata Hadi Awang. Artikel itu disiarkan dalam ruangan Kolum ODN halaman 46. Artikel tersebut menyentuh tentang kedudukan Pas dalam politik negara ini.

Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai sejarah penubuhan Pas pada 1951 sehinggalah sekarang. Antaranya Pas pernah menawan Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya umum 1959 selain memenangi 13 kerusi Parlimen ketika itu. Kejayaan Pas itu telah membuatkannya menjadi sebuah parti pembangkang yang terbesar ketika itu.

Malangnya selepas setengah tahun berkuasa, 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang asalnya mentadbir Terengganu telah berpaling tadah. Seorang wakil rakyat mereka bertukar menjadi ADUN bebas, dua orang lagi ADUN lompat kepada UMNO.

Selain itu, empat lagi ADUN Parti Negara melompat kepada UMNO. Akhirnya kerusi UMNO yang pada asalnya hanya tujuh kemudian menjadi 13 kerusi ­kesemuanya. Ini yang menyebabkan Pas tumbang.

Dalam pada itu, penulis artikel ini turut mengimbau kembali kejayaan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein membawa masuk parti-parti pembangkang termasuk Pas ke dalam Barisan Nasional (BN). Kejayaan itu sedikit sebanyak telah memperkukuhkan lagi kedudukan BN pada masa itu.

Namun segala-galanya berbeza sekarang. Sejak Pas keluar daripada BN pada 1978, parti itu mula menjalinkan kerjasama dengan pakatan pembangkang. Bermula dengan parti Semangat 46 sehinggalah Pas menyertai Pakatan Rakyat ketika siri PRU-13 lalu. Dan untuk PRU-14 tidak lagi menyertai pakatan pembangkang dan dilihat semakin selesa bergerak sendirian.