AKHBAR Oriental Daily News bertarikh 2 Julai 2018 menyiarkan artikel mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini mengenai kemungkinan diwujudkan sebuah syarikat kereta nasional baharu bagi menggantikan Proton Holdings Berhad (Proton).

Ini berikutan pada pandangan Dr. Mahathir, Proton tidak boleh lagi dianggap sebagai projek kereta nasional kerana sebahagian besar ekuitinya dimiliki syarikat asing.

Artikel bertajuk Masih bersikap degil mahu bina kenderaan nasional yang ditulis oleh Sun Ho Seng disiarkan dalam Kolum ODN halaman 47.

Pada 1980-an, Malaysia telah bekerjasama dengan syarikat pengeluar kenderaan dari Jepun untuk menubuhkan Proton. Matlamatnya cukup baik untuk membolehkan pekerja tempatan menguasai teknologi pembuatan kereta.

Tetapi hakikat yang berlaku adalah sebaliknya apabila pasaran diserahkan ‘secara tidak langsung’ kepada syarikat Jepun. Harapan untuk melihat rakyat tempatan menguasai teknologi pembuatan kenderaan terutama yang terkini juga tidak tercapai.

Sebelum dilancarkan projek kereta nasional yang baharu, kita semua perlu mengetahui punca Proton tidak berupaya menca­tatkan keuntungan daripada hasil jualan kenderaan dan terpaksa mengharapkan wang kerajaan termasuk dana RM1.5 bilion yang disalurkan pada 2016.

Antara puncanya kerana Proton kekurangan modal bagi melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) jika diban­dingkan dengan syarikat besar lain bagi menghasilkan kende­raan yang menjimatkan minyak dan dilengkapi teknologi terkini.

Kelemahan itu menyebabkan Proton tidak dapat menghasilkan kereta yang benar-benar berkua­liti yang boleh dijual dalam jumlah banyak dan dengan harga le­bih kompetitif.

Sebab lain adalah kerana Proton tidak mengeluarkan model kende­raan yang ba­nyak seper­ti dilakukan Volks­wagen dan Honda. Model yang banyak dengan menggunakan komponen ken­deraan hampir serupa akan mem­bolehkan alat ganti dikeluarkan dalam jumlah banyak dengan kos pengeluaran lebih rendah.

Negara kecil seperti Malaysia yang mahu mengeluarkan kende­raan dengan jenama sendiri semata-mata untuk mendapatkan nama dan sanjungan hanya akan me­nempuh kegagalan. Adalah tidak memadai untuk menjual ken­deraan bagi pasaran dalam negara sahaja kerana penduduk Malaysia hanya 30 juta orang. Untuk terus kekal hidup, Proton perlu mengeksport kereta ke luar negara yang sudah tentu cukup sukar kerana kualiti kenderaan lebih rendah.

Oleh itu, contohilah Thailand yang telah menjadikan negara itu hab pengeluaran kereta syarikat asing dengan keluaran dua juta kenderaan setahun yang separuhnya untuk dieksport. Strategi berkenaan membolehkan negara itu mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan. Utamakan keuntungan dan bukannya keagungan nama.

 

KEMUNGKINAN BERLAKU REFORMASI KALI KEDUA

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 19 Jun 2018 pula memaparkan tulisan Liew Thai Ann dalam ruangan Pendapat halaman C2. Artikel bertajuk Obor reformasi jangan sampai terpadam lagi mengupas tentang isu kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Umum sedia maklum me­nge­nai perjanjian antara empat parti dalam Pakatan Harapan berhubung pelantikan Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Jika mereka menang, Pengerusinya, Dr. Mahathir akan menjadi Perdana Menteri. Selepas dua tahun akan datang, jawatan itu akan diserahkan kepada Anwar selaku Ketua Umum PKR.

Namun, sejak Pakatan Harapan ditubuhkan dan selepas Anwar dibebaskan dari penjara, terdapat desas-desus mengatakan ada perbalahan secara senyap antara beliau dan Dr. Mahathir. Sejauh mana kebenaran isu itu, tidak dapat dipastikan.

Dalam tempoh dua tahun sebelum Dr. Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, bermacam-macam boleh berlaku. Selepas Anwar dibebaskan, beliau seolah-olah seperti harimau ganas yang baru terlepas dari kandang.

Turun menjelajah ke merata-rata negeri, mengadap raja-raja di tujuh negeri, termasuk dua kali mengadap Sultan Johor dan Sultan Perak. Beliau turut berjumpa Yang di-Pertuan Agong dan berjaya memujuk baginda untuk me­restui pelantikan Peguam Negara.

Peranan Anwar menjadi jambatan antara pemerintah baharu dengan pihak istana untuk memperjelaskan pendirian kerajaan Pakatan Harapan dengan memberi jaminan tentang kuasa raja-raja serta kedudukan orang Melayu dan agama Islam di negara ini. Usaha Anwar itu sepatutnya menjadi berita baik, tetapi ada antara mereka curiga terhadap Anwar yang dikatakan mempu­nyai muslihat tertentu.

Bulan lalu, Dr. Mahathir ketika ditemuramah sebuah akhbar menyatakan beliau memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun itu hanyalah cadangan. Katanya, dua tahun itu bukanlah had masa sebenar dan boleh jadi lebih awal atau lebih panjang.

Dalam satu temuramah lain di Jepun pula, Dr. Mahathir sekali lagi berkata, beliau tidak tahu berapa lama lagi akan memegang jawatan Perdana Menteri. Selagi rakyat memerlukannya, beliau akan terus berkhidmat.

Namun, jika Anwar hilang sabar untuk menunggu tempoh peralihan kuasa itu dan mengambil langkah memaksa Dr. Mahathir meletakkan jawatan, besar kemungkinan akan berlaku reformasi kali kedua.

Anwar sememangnya dianggap sebagai Ketua Umum PKR, itu adalah jawatan kekal walaupun semasa beliau meringkuk dalam penjara. Ramai ternanti-nanti, adakah pemilihan PKR Ogos nanti, Anwar akan bertan­ding me­rebut jawatan Presiden PKR iaitu jawatan yang disandang isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang ketika ini adalah Timbalan Perdana Menteri?

Di kawasan Parlimen mana pula Anwar akan bertanding pada pilihan raya kecil untuk mela­yakkan beliau kembali ke Dewan Rakyat? Adakah Anwar akan pulang ke ‘sarang’ menjadi Timbalan Perdana Menteri? Pelbagai andaian kini muncul berhubung kedudukan beliau.