Dalam artikelnya yang bertajuk Kebebasan berita tidak termasuk berita palsu itu, Yee Ling menyatakan pengamal-pengamal media arus perdana negara ini telah dilatih agar setiap berita yang diperoleh perlu disahkan terlebih dahulu sebelum ditulis atau di­siarkan. Meskipun tertakluk de­ngan faktor kepantasan masa, ele­men kebenaran satu-satu be­rita itu tetap diutamakan.

Itulah yang menjadi operasi prosedur standard bagi seseorang pemberita dalam konteks penyiaran satu-satu berita selama ini.

Bagaimanapun peraturan tersebut sudah mula tidak dipatuhi oleh sesetengah pihak. Pada mereka apa yang lebih pen­ting adalah kepantasan berita tersebut disiarkan. Disebabkan terlalu mengejar masa, itu yang kebiasaannya status satu-satu berita tersebut tidak diambil kira sama ada benar atau sebaliknya.

Keadaan seperti ini jika di­biarkan berlarutan secara perlahan-lahan akan menjejaskan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap setiap ­berita yang dikeluarkan. Apatah lagi dengan fenomena ledakan berita melalui alam maya khususnya di laman sosial.

Nampaknya bentuk berita ketika ini semakin mengalami perubahan. Daripada laporan ringkas, benar dan mudah, kini bentuknya telah menjadi lebih komplikasi dan meragukan melalui suntingan serta pengubahsuaian.

Ada juga sesetengah berita itu memang sengaja diada-adakan yang kemudian disebarkan kepada orang ramai melalui pelbagai platform. Akhirnya berita yang palsu menjadi benar. Berita yang benar menjadi palsu. Benar dan palsu langsung tidak dapat dibezakan.

Bukankah ini satu perkara yang pelik dan ajaib? Sehingga ada sesetengah pembaca tidak dapat membezakan antara berita yang benar dan yang palsu. Benar dan palsu sudah bercampur aduk. Akibatnya berlaku kecelaruan.

Jika tujuannya untuk menghiburkan mungkin tiada isu tetapi sekiranya digunakan untuk menyampaikan berita sudah tentu akan mengundang masalah kerana orang ramai akan menerima berita yang tidak benar.

Paling dikhuatiri jika kesan penyiaran berita-berita palsu seumpama itu boleh menjejaskan banyak pihak.

Penulis artikel ini kemudian bertanya, adakah berita-berita palsu seperti ini masih layak digelar berita?

Laman-laman sosial terkenal seperti Facebook sendiri berusaha bersungguh-sungguh membasmi penyebaran berita palsu. Sekiranya mereka (Facebook) menunjukkan komitmen menentang penyebaran berita palsu, mengapa kita tidak?

Seperkara lagi, perlu dibezakan antara kebebasan berita dengan berita palsu. Kebebasan berita tidak termasuk dengan apa yang dikatakan dengan berita palsu. Itu yang cukup menghairankan apabila ada pihak yang cuba mencampur aduk antara kebebasan berita dengan berita palsu.

Kedua-duanya amat berbeza. Penulis artikel ini kemudian berkata, beliau berasa cukup pelik dengan wujudnya sekumpulan individu yang mempertikaikan langkah kerajaan mengawal berita palsu. Mungkin kebanyakan daripada mereka adalah dalam kala­ngan tentera penyebar berita palsu.

Golongan ini tidak mahu di­awasi atau dikawal selia oleh mana-mana undang-undang kerana itu semua akan menyusahkan pergerakan mereka. Terutama kumpulan yang ditugaskan untuk menyebar berita-berita palsu yang bertujuan memburuk-burukkan musuh mereka.

Berita palsu adalah satu berita yang sengaja direka cipta atau ditokok tambah hasil daripada maklumat-maklumat palsu. Be­rita palsu ini sengaja dihasilkan semata-mata mahu menipu, mengejek dan menyinggung pe­rasaan orang lain melalui fakta-fakta yang tidak benar.

Dalam pada itu penulis artikel ini tidak menolak kemungkinan akan ada sesetengah pembaca bimbang undang-undang terlibat (kawal berita palsu) akan disa­lahgunakan. Justeru sebarang undang-undang yang diwujudkan bagi tujuan menyekat penyebaran berita palsu ini perlu dipastikan fungsinya untuk menjaga kepen­tingan negara dan rakyat secara keseluruhan sentiasa terjamin.

Apa yang kita mahukan berita yang benar tetap benar dan yang palsu tetap palsu. Dalam skop pemberitaan, sememangnya berita palsu tiada tempat dan tidak dibenarkan wujud sama sekali.

SIAPA PILIHAN PENGUNDI

AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 24 Mac pula membincangkan isu berkaitan kecenderungan pe­ngundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang. Dalam ruangan Pandangan Yanlu di muka surat 23 penulisnya, Raja Sara Petra melalui artikel bertajuk PRU-14: Bagaimana pengundi membuat pilihan mengajak pembaca membuat satu analisis me­ngenai mood pengundi ketika ini.

Jika dibandingkan PRU sebelum ini, PRU-14 dilihat lebih rumit dan sukar untuk dibaca. Sebagai contoh, pada PRU 2008, parti-parti pembangkang yang membentuk pakatan alternatif telah mempamerkan corak politik yang lebih mesra, telus, bersungguh-sungguh membasmi rasuah, membasmi penyelewengan kuasa dan hapuskan kroni.

Perjuangan mereka ini dilihat sungguh ideal. Namun selepas 10 tahun berlalu, pakatan pembangkang yang kini membentuk Pakatan Harapan tidak boleh menggunakan taktik serupa apatah lagi dengan pemilihan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri pakatan tersebut.

Ini memandangkan Dr. Mahathir telah dituduh merugikan duit hasil cukai rakyat yang bernilai kira-kira RM38.5 bilion ringgit, Yang pasti, kehadiran Dr. Mahathir dalam Pakatan Harapan tidak lebih untuk meraih sokongan orang Me­layu terhadap pakatan itu.