Ini memandangkan jumlah kerugian pelabur setakat ini telah mencecah angka RM450 juta. Khabarnya sebahagian besar wang itu sempat dilarikan keluar negara oleh petualang yang menaja skim pelaburan tipu ini. Oleh itu, peluang mangsa pelaburan mendapatkan balik wang mereka adalah amat tipis sekali.

Ada dua sebab mengapa skim pelaburan itu begitu mudah sekali menarik perhatian orang ramai terutama bagi mereka yang tidak begitu arif tentang undang-undang dan prosedur pelaburan yang sah.

Pertama, disebabkan namanya dikaitkan dengan kota suci Mekah dan kedua hanya dengan membuat pelaburan RM3,500 awal setiap bulan pelabur akan menerima ‘dividen’ sebanyak 15 hingga 30 peratus hasil daripada keuntungan pajakan hotel di kota suci itu.

Penulis kira ramai tidak tahu bahawa di bawah seksyen 131 dan 132 Akta Syarikat 2016 (Akta 777), sesuatu ‘dividen’ itu hanya boleh dikeluarkan oleh syarikat sekiranya dua syarat penting dapat dipatuhi.

Pertama, dividen itu dikeluarkan sekiranya syarikat ada keuntungan sebenar daripada aktiviti perniagaan yang dijalankan dalam masa setahun yang lalu. Kedua, pengarah syarikat telah mengesahkan bahawa pembayaran dividen itu tidak akan menjejaskan solvency (tahap kewangan yang sihat) syarikat tersebut.

Oleh itu mereka yang terbukti melakukan kesalahan di bawah seksyen 131 ini boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, denda RM3 juta ringgit atau kedua-duanya sekali.

Jika kita periksa secara teliti bagaimana skim pelaburan ini di­kendalikan (hakikatnya satu skim cepat kaya), pembayaran dividen kepada pelabur itu bukan dibuat hasil keuntungan syarikat tetapi daripada wang pelaburan baharu yang dikitar semula.

Pada 26 Oktober lalu, empat individu berusia antara 19 hingga 43 tahun yang aktif menipu pelabur dalam skim pelaburan pajakan hotel di Mekah ini telah ditahan polis dalam dua serbuan berasing­an di sebuah hotel di Pahang dan di sebuah rumah di Sarawak.

Mereka direman selama empat hari bagi membantu polis menjalankan siasatan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan. Di bawah seksyen itu, jika seorang itu menipu dan dengan itu mendorong orang lain secara tidak jujur menyerahkan apa-apa harta kepada mana-mana orang lain, suspek boleh dikenakan (jika sabit kesalahan) hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun serta sebat, dan boleh dikenakan didenda.

Berikutnya, pada 30 Oktober 2016 lalu, Timbalan Pengarah Risikan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid mengesahkan bahawa seorang suspek berusia 43 tahun telah ditahan polis selepas pihaknya menerima laporan polis mengenai kes ini daripada 105 pelabur seluruh negara.

Sebelum itu, pada 11 Februari 2015 lalu, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal-ehwal Agama Islam Malaysia telah pun mengeluarkan fatwa bahawa skim pelaburan yang dikendalikan oleh syarikat Mecca Fund Global ini adalah haram.

Roslan mendedahkan bahawa suspek dalam kes ini berjaya menipu pelabur dengan menukar nama skim pelaburan ini dari Mecca Fund Global kepada Mecca Islamic Global dan akhirnya Islamic Hotel. Polis telah merujuk perkara ini kepada Lembaga Tabung Haji dan mendapati skim pelaburan ini sebenarnya tidak wujud.

Wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dalam artikelnya ‘Jangan mudah terpedaya nama Islam’ pada 31 Oktober lalu pula ada menyatakan harapannya agar kerajaan memikirkan penggubalan undang-undang bagi me­­­ngenakan hukuman lebih berat kepada penganjur dan penaja pelaburan tipu ini.

Saranan beliau ini mengingatkan penulis kepada seksyen 594(1) Akta Syarikat 2016 yang menyatakan bahawa jika seseorang itu ada mendorong orang lain secara tipu untuk melabur dalam apa-apa skim pelaburan, orang itu boleh dikenakan (jika sabit kesalahannya) hukuman penjara tidak me­lebihi 10 tahun, denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, di bawah seksyen 594(2) pula, mana-mana pegawai atau ejen syarikat itu boleh juga diheret ke mahkamah dan jika sabit kesalahannya, boleh dikenakan hukuman yang sama iaitu penjara sepuluh tahun, denda RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, perlu juga ditegaskan di sini bahawa sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Syarikat seperti ini boleh juga dituduh melakukan kesalahan di bawah undang-undang pengubahan wang haram, iaitu Akta A1467 (nama penuhnya Anti-Money Laun­­dering and Anti-Terrorism Financing (Amendment) Act 2014).

Ekoran pindaan yang dilakukan pada tahun 2014 lalu, seorang yang disabitkan di bawah seksyen 4 Akta A1467 itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun, serta denda lima kali nilai wang haram yang diperolehinya atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Kesimpulannya, jika pihak berkuasa negara ini serius mahu menjadikan kes terbaharu peni­puan pelaburan skim Hotel Mekah ini satu pengajaran pahit kepada penjenayah terlibat pada masa depan, heretlah kesemua petualang ini di bawah ketiga-tiga undang-undang yang disebutkan di atas tadi dan minta mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas mereka secara konsekutif di bawah setiap undang-undang itu dan bukan serentak.

Penulis ialah penganalisis undang-undang.