Presiden Organisasi Hak Asasi Arab (AOHR) di London, Mohamed Jamil berkata, Interpol mendapati tuduhan jenayah terhadap Qaradawi ha­nyalah alasan untuk menutup kegiatan jenayah politik yang dilakukan oleh pihak berkuasa di Mesir.

Qaradawi, 91, yang juga Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia disenaraikan sebagai individu yang dikehendaki ke­rana melakukan rompakan, mencetuskan kebakaran dan pembunuhan selepas rampasan kuasa ketente­raan Mesir pada tahun 2013. Bagaimanapun, semua dakwaan itu digugurkan selepas beliau dilaporkan tidak berada di Mesir ketika kejadian berlaku.

Demikianlah sunnatullah. Orang agama dan yang baik akhlaknya pun tidak terlepas daripada fitnah di dunia ini. Begitu juga penderitaan yang dialami oleh para nabi termasuk Nabi Muhammad SAW yang sentiasa berhadapan cabaran, dugaan dan penindasan oleh kaum kafir Quraisy dalam usaha baginda menyebar dakwah di Mekah dan Taif.

Islam sebagai agama yang benar tidak pernah mengajar umatnya melakukan kezaliman atau keganasan. Ajaran Islam mengajar manusia hidup damai dan sejahtera. Buktinya, Islam mengajarkan tasamuh (toleransi) terhadap sesama insan, tidak kira sesama muslim atau pun bukan Islam. Islam mengajar bahawa muslim itu bersaudara. Justeru harus bersatu, tidak bercerai-berai, bertengkar dan bermusuhan.

Islam hanya benarkan umatnya berperang untuk mempertahankan diri dan agama setelah dianiaya oleh musuh. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Telah diizinkan berperang bagi orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu. (al-Hajj: 39).

Anehnya, Qaradawi yang namanya disenaraikan oleh Interpol atas gesaan Mesir pada 2014 adalah antara individu yang mengecam sekeras-kerasnya kezaliman dan pe­nindasan ke atas umat Islam Rohingya di Myanmar pada Disember 2016. Beliau melahirkan rasa sedih kerana masyarakat antarabangsa dan dunia Islam mengetahui mengenai perkara tersebut tetapi tidak ada sebarang tindakan segera diambil untuk membantu mereka.

Melihat kepada kezaliman berterusan terhadap penduduk Islam, ada baiknya Interpol memasukkan nama Sami Buddha anti-Islam Myan­mar, Ashin Wirathu dalam senarai orang yang paling dikehendaki di Myanmar.

Pemimpin kumpulan radikal Buddha Myanmar, Ma Ba Tha itu pernah menyatakan sokongan secara terbuka kepada tindakan pengundi Amerika Syarikat memilih Donald Trump sebagai Presiden selepas pe­mimpin parti Republikan itu dalam kempennya bercadang mahu mengharamkan umat Islam daripada memasuki negara ber­kenaan selain meningkatkan pengawasan terhadap masjid.

Wirathu telah didakwa sebagai individu yang mencetuskan keganasan kebencian, mengeluarkan ke­­nyataan retorik anti-Islam di negara itu sehingga mendorong penduduk Buddha Myanmar merusuh yang mengakibatkan lebih 200 orang etnik Rohingya terbunuh pada 2012 manakala ribuan lagi terpaksa menjadi pelarian.

Wirathu pernah dipenjarakan selama sembilan tahun pada 2003 kerana mencetuskan keganasan anti-Muslim di Myanmar melalui ‘kempen 969’ iaitu memboikot perniagaan orang Islam dan menghalang perkahwinan Islam dengan penganut Buddha.

Terkini, keganasan dan penindasan terus memuncak di seluruh Myanmar selepas bergolak sejak dua minggu. Malah pertubuhan bebas, Burma Human Rights Network (BHRN) turut melaporkan peluasan ‘Zon Bebas Muslim’ telah diwujudkan di sekurang-kurangnya 21 kampung dan penduduk setempat dibenarkan memasang papan tanda amaran agar umat Islam tidak memasuki zon tersebut.

Luas cerminan sikap kasih sayang yang diajarkan Islam kepada umat manusia tidak hanya untuk Muslim, tetapi untuk seluruh makhluk di muka bumi ini sebagaimana disebut rahmatan lil alamin (rahmat bagi sekalian alam). Baginda SAW juga bersabda yang bermaksud: Tebarkanlah kasih sa­yang kepada semua orang maka engkau akan dikasihi seluruh makhluk langit (para malaikat). (Riwayat at-Thabrani, al-Jami’ as-Shaghir, hal. 38)