Pemisahan antara suami isteri dan anak-anak lantaran salah seorang daripada ahlinya memeluk agama lain boleh meruntun hati ahli keluarganya. Perkara se­perti ini sepatutnya difahami oleh umat Islam supaya tindak-tanduk mereka tidak mengundang per­spektif negatif terhadap Islam.

Umat Islam sepatutnya memahami dan mendalami al-Quran dan hadis secara mendalam apabila mengendalikan urusan berkaitan individu memeluk Islam supaya pengislamannya tidak mengundang pelbagai implikasi yang boleh menyebabkan ahli-ahli keluarganya membenci ajaran agama itu.

Apabila seorang individu memeluk Islam maka dia tidak boleh mengelakkan dirinya daripada melaksanakan tugasnya sebagai bapa, ibu atau anak kepada ahli keluarganya kerana hubungan mereka masih terikat sebagai ahli keluarga walaupun berbeza agama.

Jika seorang lelaki memeluk Islam maka dia tidak berhak memaksa anak-anaknya memeluk agama Islam kerana ketika anak­nya dilahirkan dia masih me­nganut agama asalnya. Tugasnya sebagai bapa perlu dilaksanakan walaupun dia sebagai suami kepada ibu anak-anaknya telah gugur lantaran perbezaan agama.

Islam amat prihatin terhadap pemeliharaan kanak-kanak sama ada berkaitan fizikal atau spiritual. Islam telah menggariskan undang-undang khusus kepada lelaki yang menceraikan isterinya ketika anak-anak masih kecil dan memerlukan kasih sayang daripada ibu.

Islam menegaskan bahawa bapa wajib bertanggungjawab terhadap anak-anaknya sejak mereka masih dalam kandungan ibu mereka. Si lelaki wajib membantu bekas isterinya dalam pemberian nafkah sehingga bayi tersebut dilahirkan.

Islam amat prihatin terhadap proses perkembangan kanak-kanak. Mereka perlu perhatian tentang kasih sayang daripada ibu. Abdullah Umar menjelaskan bahawa seorang wanita datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Anak ini ialah anak saya yang saya bawa dalam kandungan saya, duduk di atas riba saya dan menghisap susu saya. Bapa dia bawa dia jauh dari saya.”

Maka Rasulullah SAW menjawab: “Kamu mempunyai hak untuk mengambil anak ini selama mana kamu belum berkahwin dengan lelaki lain.” Berdasarkan kepada hadis ini maka para ulama berpendapat hubungan di antara anak dan ibu perlu diberi keutamaan.

Kanak-kanak sebelum baligh tidak termasuk golongan mukalaf yang wajib dipertanggungjawabkan dengan urusan keagamaan. Contoh dan tingkah laku dipertontonkan oleh kedua ibu bapa yang boleh menawan hati mereka untuk memilih agama anutan ibu atau bapa.

Apabila anak-anak sudah mencapai tahap usia tertentu ataupun baligh yang mana ibu kurang berkemampuan untuk mengawal pergerakan anak-anak maka ketika ini bapa perlu menjadi penjaga kepada anak-anak. Apabila anak sudah mencapai usia sebegini maka mereka boleh membuat pi­lihan untuk mengikuti agama ibu atau bapa mereka.

Jika bapa mereka memeluk agama Islam maka dia tidak mempunyai hak untuk memaksa anak-anaknya mengikuti agamanya walaupun dia bertanggungjawab terhadap anak-anaknya. Perkara berkaitan akidah dan penukaran agama adalah pilihan hati nurani yang tidak boleh dikendalikan secara keras dan paksaan.

Perkara itu dijelaskan oleh Allah dalam surah 2 (al-Baqarah) ayat 256 yang bermaksud: “Tidak ada paksaan untuk (memeluk) agama (Islam). Sesungguhnya te­lah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah.”

Ayat al-Quran ini diwahyukan oleh Allah berkaitan peristiwa orang Ansar Madinah memaksa anak-anak mereka memeluk agama Islam. Jalaluddin Abd. Rahman Abi Bakr al-Suyuti dalam bukunya, memetik kenyataan al-Sha’bi yang menceritakan kisah wanita-wanita Ansar sebelum memeluk agama Islam yang kecewa dengan kematian bayi mereka ketika dilahirkan.

Kekecewaan itu menyebabkan mereka bernazar untuk menye­rahkan anak-anak mereka kepada ahli kitab (Kristian dan Yahudi) ketika mereka mengandung. Mereka amat tertarik dengan personaliti masyarakat Kristian dan Yahudi. Mereka mempercayai bahawa agama Kristian dan Yahidi adalah lebih baik daripada agama mereka.

Setelah Islam datang ke Madinah, orang musyrik Madinah memeluk agama Islam. Mereka memaksa anak-anak mereka yang telah menjadi orang Kristian dan Yahudi memeluk agama Islam. Sebahagian daripada anak-anak mereka memeluk agama Islam.

Setelah Rasulullah SAW me­ngusir Bani Nudair dari Madinah maka sebahagian daripada anak orang Ansar yang tidak mengikuti Bani Nudair memeluk agama Islam. Mereka yang mengikuti bapa angkat keluar dari Madinah kekal menganuti agama bapa ang­kat mereka. Setelah Allah menurunkan surah al-Baqarah ayat 256 maka orang Ansar tidak lagi memaksa anak-anak mereka memeluk agama Islam.

Berdasarkan kepada penjelasan tersebut maka umat Islam dalam negara ini sepatutnya meneliti dan mengkaji secara mendalam sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan isu-isu akidah.

Hidayah adalah daripada Allah dan tugas umat Islam adalah berdakwah dan melaksanakan hukum hakam Islam secara lunak dan hikmah. Usah terlalu ghairah melaksanakan hukum hakam tanpa penelitian secara terperinci kerana kecuaian dalam aspek ini boleh menjejaskan maruah agama Islam.

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).