Nilai interaktif daripada agama dan budaya lain yang sifatnya sesuai dan tidak bercanggah boleh dikembangkan supaya watak masyarakat Malaysia lebih manusiawi. Kua­liti manusiawi ini pen­ting supaya persefahaman wujud, tolak ansur terjadi, saling mengu­kuhkan kebaikan dan terbuka terhadap perbezaan serta taat kepada negara.

Ia terungkap dalam konsep kebudayaan kebangsaan yang menyatakan budaya Melayu menjadi teras, Islam menjadi ele­men penting dalam pembinaan budaya dan pengaruh budaya lain yang sesuai boleh diterima. Ia suatu konsep yang cukup menarik untuk dianalisis.

Budaya Melayu yang dijadikan teras adalah cara hidup yang me­rangsang ke­sejahteraan dan kecemerlang­an. Amalan gotong-royong orang Melayu umpama­nya sejak zaman berzaman menjadi asas pen­ting binaan sikap muafakat dan kerjasama. Ia akan membawa amalan menghormati orang lain yang sifatnya menyantuni.

Nilai ini sudah semakin hilang daripada budaya Melayu kerana kebendaan yang menjadi buruan, status yang menjadi keutamaan, sikap sombong dan ego lantaran kedudukan yang dimiliki dan kejayaan akademik yang diraih. Ia merintis jalan kepada kehilangan adab dan menyebabkan budaya enau dalam belukar berkembang subur. Mengekal dan mengembalikan semula kerukunan berkeluarga dan bermasyarakat ajaran Islam amat penting dihayati supaya citra diri terlihat dan menjadi sumber teladan dan contoh ikutan.

Sifat adil, amanah, jujur dan ikhlas datangnya daripada al-Quran. Ini terlihat pada diri Nabi Muhammad SAW. Sifat ubudiyyah (ketaatan) ke­pada ajaran Allah berhikmah kepada manusia supaya budaya hidup menjadi murni, akal budi sifatnya menyantuni dan perjalanan hidup tidak menyimpang dan menyebabkan kerukunan hidup menjadi pincang dan tempang.

Kerajinan bekerja orang bukan Melayu sepatutnya dijadikan contoh. Semangat kerajinan mereka menghasilkan aktiviti yang krea­tif harus dijadikan ikutan. Kalau ia berkembang ­berasaskan nilai etika bakal menghasilkan nilai budaya tinggi yang me­ngukuhkan lagi binaan masyarakat.

Hari ini, kita amat terdedah dengan amalan eksploitasi dalam perniagaan, keuntungan dijadikan objektif utama dan pulang­an kekayaan dijadikan buruan. Lalu aspek ke­sejahteraan orang lain tidak dijadikan pertimbang­an. Ini menyebabkan golongan tidak berada menjadi lebih papa kedana. Jurang dalam masyarakat terbina, perpaduan tidak berlaku dan rasa curiga mengambil tempat.

Seperti juga terdapat sebahagian orang Melayu mengamalkan ajaran Islam secara ritual dan terhubung dengan ibadah khusus semata. Solat dan siyam tidak terpancar dalam amali supaya memberi kebaikan diri dan terhadap orang lain.

Al-Quran da­lam Surah Al Asr sangat jelas menyatakan: “Orang beriman melakukan amal soleh.” Maksud amal soleh yang luas tidak terbina dalam akal budi insan tetapi di­terjemahkan dalam amal dan perbuatan supaya mendatangkan kebaikan kepada orang lain juga.

Orang Melayu harus memiliki kualiti kreatif dan inovatif supaya zaman yang dilaluinya mendukung ciri-ciri islah (reform) dan tajdid (transform). Saidina Umar berpesan: “Didiklah generasi kamu dengan ilmu yang sesuai dengan zamannya.” Ini memberi makna yang cukup luas.

Umat Islam hari ini menjadi pengguna kepada kekuatan orang lain dan belum lagi menjadi pe­nyumbang kepada kekuatan suatu tamadun. Sifat kreatif dan inovatif perlu ada dan berkembang dalam kerangka etika dan nilai guna. Teknologi selamanya alat bukan matlamat. Nilai guna yang terkandung kepada teknologi seharusnya dijadikan matlamat. Kita perlukan teknologi tinggi (high-tech) dan dalam masa sama kita perlukan (high-touch) sentuh­an keinsanan supaya faktor manusiawi menjadi keutamaan.

Kecenderungan manusia hari ini terhadap fahaman liberal yang sekular, tanpa hubungan dan ikat­an dengan agama menyebabkan perjuangan hak asasi manusia menjadi kabur dan menyimpang. Kekuatan akliah insan (rationaliti) memahami hidup dan fenome­nanya tidak segala-gala kerana terbatas. Dalam tradisi Islam faktor nakliah (wahyu) menjadi rujukan utama supaya faktor yang nyata dan ghaib mampu disinergi.

Dalam konteks orang Melayu dalam paksi menegak dan me­rentas teramat penting dihayati supaya terbina keyakinan insaf ketuhanan (god conciousness) yang menjadi ukuran Allah terhadap karamah insan seseorang.

Oleh itu, peranan orang Melayu dalam menghasilkan budaya tinggi dalam kesenian, ilmu dan pendidikan, pengajaran dan pembelajaran, seni gubah dan rekaan, seni bina dan memperkasa warisan, seni gerak dan persilatan harus menggambarkan tasawwur Islami dalam genre (form) dan isi (substance) supaya risalah yang ingin disampaikan mengukuhkan akal budi insan dan merintis ke jalan peradaban.

Apa saja kreativiti yang kita hasilkan menjadi suatu amanah (taklif) supaya faktor manusiawi menjadi keutamaan dan pembentukan pekerti manusia menjadi fokus supaya kegiatan yang pelbagai menjadi agen yang positif membentuk cara hidup manusia yang beradab.

Hari ini isu kehilangan adab insan berbangkit. Mempelajari ilmu yang benar dan bermanfaat tidak dijadikan fokus. Pengetahuan yang sifatnya mekanistik dan terhubung dengan faktor kerja dan perdagangan menjadi buruan dan menyebabkan pola budaya dan kehidupan sifatnya berat sebelah. Keseimbangan harus dicari supaya etika dan nilai menjadi tapak dan tunjang bukan bebas nilai (value-free) yang menyebabkan ukur tara terhadap amalan menjadi kabur.

Justeru tradisi pengilmuan dan pendidikan kita harus ikut serta pendekatan yang integratif supaya menghasilkan peribadi holistik yang menjadikan etika sebagai pedoman dan menghasilkan sumber daya berkualiti dan menyumbang kepada bina insan dan bina negara yang sebenar.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA ialah Profesor Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).