Sebab itu, kerajaan mesti mengambil tindakan tegas ke atas golongan LGBT. Ia supaya perbuatan mereka itu tidak mempengaruhi masyarakat di negara ini. Membiarkan golongan sedemikian seolah-olah kita ‘bersetuju’ dengan mereka. Walhal, perbuatan golongan terbabit itu dilarang oleh Islam.

Pandangan Islam mudah iaitu kita tidak boleh bertolak ansur dengan LGBT kerana secara fitrahnya tidak ada manusia normal yang akan cenderung sesama sejenis. Sebab itu, ia mesti diatasi dengan dakwah dan secara prinsip­nya perlu segera dibendung supaya tidak datang mudarat yang lebih besar.

Kesemua perlakuan seks di luar tabii jelas merupakan satu bentuk jenayah. Walaupun ia dilakukan secara ‘sembunyi-sembunyi’, melihat kepada situasi kini, implikasi dan wabak LGBT di negara ini tetap tersebar luas tanpa sekatan terutama menerusi laman media sosial.

Sebab itu, kita tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa yang berpandangan golongan LGBT tidak harus didiskriminasi di tempat kerja. Malah kata beliau, selagi mana golongan itu tidak mempromosi budaya LGBT, maka, golongan itu tidak boleh dipinggirkan.

Amalan hubungan sejenis adalah haram dan wajib dicegah. Justeru, pihak berkuasa tidak boleh berdiam diri. Sebaliknya mesti mengambil tindakan yang bijak sebelum gejala songsang itu semakin berleluasa. Ia bertepatan dengan konsep mencegah kemungkaran iaitu amal makruf nahi mungkar.

Lelaki yang terlibat homoseksual terdedah kepada perbuatan liwat. Liwat adalah seburuk-buruk amalan dosa yang hanya dilakukan oleh lelaki dan tidak dilakukan oleh mana-mana spesies haiwan jantan. Lantaran itu, amalan gejala-gejala keruntuhan akhlak dan tekanan penyakit jiwa ini amat berbahaya jika tidak dibendung.

Mereka juga akan mudah dijangkiti penyakit AIDS, penyakit kelamin dan sebagainya kerana perbuatan liwat ini adalah sangat jijik dan kotor dengan memasukkan zakar ke dubur yang jelas jalan tersebut adalah saluran najis. Firman Allah yang bermaksud: Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi Lut tatkala ia berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorangpun dari penduduk alam ini sebelum kamu. (al-Ankabut: 28)

Rasulullah SAW turut menegaskan hal yang sama dalam sabdanya yang bermaksud: Allah melaknat siapa yang berbuat dengan perbuatannya kaum Lut. (Riwayat Ahmad)

Antara yang mesti menjadi pengajaran adalah kisah pelajar perubatan Malaysia, Ariff Alfian Rosli yang dilaporkan hilang oleh keluarga ketika belajar di Dublin, Ireland dan dilaporkan berkahwin dengan seorang lelaki warga asing dikenali sebagai Jonathan. Kisah ini amat menggemparkan negara apabila gambar ‘perkahwinan’ pasangan tersebut disebar di laman sosial pada 2011.

Dalam hal ini, kerajaan perlu tegas dan melakukan sekatan terhadap sebarang aktiviti dan unsur-unsur kecelaruan jantina sebagaimana dilakukan oleh Indonesia dan Turki. Difahamkan, Turki mengharamkan segala aktiviti LGBT di ibu negaranya termasuk dalam bentuk ta­yangan filem, persembahan teater, seminar, kolokium dan seumpamanya berkuat kuasa 18 November 2017. Perarakan tahunan golongan gay dan setiap yang bertenta­ngan dengan nilai negara itu turut dilarang.

Demikian juga Indonesia yang turut mengharamkan unsur LGBT disiarkan di kaca televisyen termasuk slot program dan iklan yang memaparkan tingkah lalu LGBT. Mereka juga menghapuskan imej berbaur LGBT menerusi aplikasi WhatsApp termasuk menyekat akses kepada laman popular Tumblr yang mempromosikan pornografi.

Di negara kita, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa siasat kewujudan laman web dikenali sebagai Queer Lapis (https://www.queerlapis.com/) yang didapati mempromosi LGBT. Bertindak segera banteras LGBT sebelum nasi jadi bubur.