Katanya, cara pemanduan wanita ni (lebih molek perkataannya) tak ada timbang rasa. Cermin-cermin yang ada di kereta...yang sisi kiri, kanan, depan, belakang tak tahu nak gunakan. Cermin digunakan untuk hiasan...suluh wajah atau paling tidak pun tengok handphone, kata rakan abang hensem itu.

Rileklah bro, kata abang hensem. Mana boleh rileks, sambungnya lagi: “Ha...tadi aku bawa motor (motosikal) hampir terguling aku kat jalan depan ofis...perlahan-lahan aku susur kereta itu...dalam hati dah agak mesti perempuan bawa kereta ni. Ha! tak silap...betul perempuan.”

Satu lagi, kata rakan baik abang hensem ini, wanita sepatutnya kena ambil tahulah pasal kereta, macam lelaki juga. Kalau ke bengkel, paling mudah ditipu wanitalah sebab tak mahu ambil tahu langsung pasal harga alat-alat ganti. Kena ada juga pasangannya untuk menemaninya, kalau tidak kena kenc**g. Abang hensem sebenarnya ada pengalaman juga dengan cara pemanduan kaum hawa ini. Hampir 16 tahun naik motor, kini tidak lagi, tapi ‘berderau darah’ jugalah dengan cara mereka ini. Namun sejak ber­kereta ke ofis ni, abang hensem ‘akur’ juga dengan amarah dan geram kenalan abang hensem tadi tu.

Orang perempuan ni (dah masuk bab geram ni) lebih cenderung tukar lorong secara tiba-tiba. Bab nak parkir kereta, masih ambil masa 20 saat untuk lakukannya.

Bagaimanapun, abang hensem nak petik juga kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS). Menurut kajian itu, pemandu wanita Malaysia didapati lebih marah berbanding lelaki sebagai pemandu. Begitupun kata penyelidik MIROS, Karen Goonting, agak kurang pemandu wanita terlibat dalam kemalangan kerana mereka biasanya memendam rasa marah mereka.

Abang hensem turut percaya untuk trend punca kemalangan waktu ini dan akan datang, bahana guna tele­fon bimbit semasa memandu akan menduduki ran­king nombor satu. Di Switzerland, Swiss Council for Accident Prevention menemukan, kurang tumpuan oleh pemandu penyebab utama kemalangan jalan raya yang serius. Pemandu kenderaan biasanya terganggu oleh telefon bimbit, papan iklan dan terlalu banyak tanda jalan.

Punca kemalangan jalan raya ini sebenarnya ada macam-macam, tak semestinya pasal gender. Antaranya, pasal obesiti. Kajian UC Berkeley’s Safe Transportation and Research Education Center (SafeTREC) pada 2013 mendapati pemandu obes adalah 78% lebih cenderung menempah maut dalam perlanggaran kereta berbanding pemandu dengan berat badan normal. Eh! macam mana jadi begitu? Kata SafeTREC ini lagi, mereka percaya bahawa bahagian bawah badan pemandu obes ditolak lebih ke hadapan semasa impak sebelum tali pinggang ke­ledar mencapai pelvis ke­rana lebihan tisu lembut.

Bahagian atas badan pula kekal dihalang. Ini me­nghentikan pemandu da­ripada bergerak ke hadapan, yang boleh menyebabkan kecederaan parah. Ha! lepas ni agaknya berbondong-bondonglah rakan abang hensem yang obes turunkan berat badan. Cerita pasal cara pemanduan wanita ini, tak lengkap rasanya kalau abang hensem tak ucapkan tahniah kepada golongan hawa di Arab Saudi yang kini dibenarkan memandu.

Walaupun dihidangkan dengan macam-macam alasan yang menghalang termasuklah dakwaan seorang ulama dari sana bahawa wanita tidak dibenarkan memandu kerana ‘kekuatan otaknya hanya suku’ berbanding lelaki, keputusan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud itu amat dialu-alukan.

Kadangkala alasan mengekang wanita memandu boleh dipersoalkan apabila dikatakan kekuatan otak wanita hanya separuh daripada otak lelaki. Dan, dakwa ‘ulama’ terbabit, apabila wanita itu pergi membeli-belah, kekuatan otaknya menjadi suku, maka ‘tidak patut dibenarkan mereka memandu’.

Tapi mengapa pula pencapaian wanita dalam akademik lebih tinggi berbanding lelaki di negara ini? Apa pun tahniah abang hensem kepada wanita Arab Saudi yang menjadikan Riyadh sebagai negara terakhir di dunia membenarkan wanita memandu kenderaan.

Pada masa sama abang hensem nak sokonglah juga rungutan kenalan abang hensem awal tadi tu dengan minta orang perempuan prihatin sikit dengan penunggang motosikal. Khususnya penunggang yang botak kepalanya, yang menurut akak cun minggu lalu ‘kaki kontrol’.

Kalau mereka nak menyelit, beri sahaja laluan terutama semasa jammed. Lagipun, tidak banyak laluan khas motosikal disediakan. Itupun di Lebuh Raya Persekutuan sahaja.

Setiap pagi dan menjelang tengah malam memasang radio IKIM, diselangi Sinar FM mendengar celoteh Kak [email protected] Fana (Sembang Sinar) dan Jamal Jamaluddin (dengan Sinar Malam mengembalikan nostalgia silam), abang hensem ‘angkat topi’ dengan dua juruhebah ini yang sering menyelitkan nasihat berguna kepada masyarakat.

Terutama sekali Kak Bed - yang menempelak mereka yang suka tengok WhatsApp dan video semasa memandu.

Terima kasih Kak Bed...(Ganda 23 abang Jamal Jamaluddin).