Mangsa bencana alam atau peperangan tidak hanya memerlukan kewangan untuk menjamin kelangsungan hidup seharian tetapi turut membabitkan aspek kesihatan dan kemahiran hidup. Antara penyumbangnya adalah institusi pengajian tinggi (IPT).

Ini kerana, IPT memiliki tenaga pakar yang bukan hanya boleh memenuhi keperluan aspek berkenaan tetapi berupaya melaksanakan penyelidikan supaya generasi masa depan mangsa tidak akan terabai.

Inilah antara matlamat Islamic Relief Malaysia (IRM) yang menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa IPT tempatan dan terkini bersama Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Satu majlis menandatangani Surat Hasrat (LoI) antara IRM dengan pihak fakulti berkenaan diadakan di UMS, Sabah, baru-baru ini.

UMS diwakili Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Prof. Madya Dr. Dayang Maryama Ag. Daud, manakala IRM oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zairulshahfuddin Zainal Abidin.

Bagi Zairulshahfuddin, jalinan sedemikian bakal merancakkan kerjasama antara kedua-dua pihak, sekali gus memberikan peluang kepada kakitangan, pelajar dan bekas pelajar UMS untuk menabur bakti dalam kerja-kerja kemanusiaan.

“Kemahiran dan kepakaran milik warga UMS amat diperlukan oleh mangsa-mangsa bencana alam atau peperangan sama ada dalam mahupun luar negara,” katanya. – HASHNAN ABDULLAH