Antara anugerah berprestij ialah pengiktirafan jurnal pelancongan antarabangsa terkemuka, The Lonely Planet yang meletakkan negeri ini dalam kalangan 10 tempat mesti dilawati di dunia untuk tahun 2017.

Namun jika ada rakan-rakan penulis yang bercadang untuk datang ke negeri ini khususnya di Ipoh, soalan yang kerap mereka tanya sudah tentunya ‘Ipoh apa ada?’

Pertanyaan itu agak sukar dijawab secara spesifik ke­rana tiada signature atau identiti pelancongan yang boleh disebutkan secara khusus untuk memberitahu apakah sebenarnya tarikan utama di bandar raya Ipoh untuk dilawati.

Perbandingannya mudah. Melaka contohnya beridentitikan tinggalan sejarah, Pulau Pinang pula dikenali sebagai bandar warisan sejarah yang diiktiraf dunia dan Kuala Lumpur sebagai ibu negara serba moden.

Ketiadaan identiti pelancongan khusus buat Ipoh diakui oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Menurutnya, setiap bandar raya mesti ada signature atau identiti tersendiri namun itulah yang tidak dimiliki oleh Ipoh ketika ini.

“Sebenarnya terlalu banyak branding atau jenama pelancong untuk Ipoh, jadi ia agak mengelirukan,” kata­nya dalam temubual baru-baru ini.

Jadi, jika ada yang bertanya apa ada di Ipoh, apakah jawapan yang harus diberikan?

Dalam hal ini, Nolee Ashilin berkata, Ipoh menawarkan produk pelancongan eko, tentunya wa­risan budaya dan makanan yang menjadi tarikan utama.

“Itu (identiti pelancongan Ipoh) akan kita fikirkan antaranya untuk kita menjenamakan kawasan old town atau pekan lama sebagai antara tarikan pelancongan ke bandar raya ini,” katanya.

Mencari satu identiti pelancong untuk Ipoh dilihat penting ketika kerajaan negeri mahu menjenamakan semula bandar raya ini tahun depan.

Ini sejajar dengan sasaran kerajaan negeri untuk meletakkan Ipoh setaraf dengan bandar raya pelancong ter­kenal seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Hong Kong dan lain-lain kota raya pelancongan yang terkenal di dunia.

Menurut Nolee Ashilin, Ipoh memiliki potensi tersebut apatah lagi setelah mendapat pengiktirafan daripada Lonely Planet yang meletakkan bandar raya Ipoh pada ranking No. 6 di Asia sebagai destinasi yang terbaik untuk dilawati pada 2016.

“Apabila diiktiraf di bawah satu syarikat penerbitan pelancongan antarabangsa, ia menjadi satu tapak untuk kita memperkenalkan Ipoh di persada antarabangsa.

“Sebab potensinya sangat besar. Ipoh mempunyai daya tarikan yang unik iaitu warisan sejarah di old town yang akan dipromosi dan dipasarkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Perak merupakan destinasi tertinggi yang menerima kedatangan pelancong domestik selama empat tahun berturut-turut mulai 2012 hingga 2015.

Cuma pada 2016, Perak berada di kedudukan kedua tertinggi dengan jumlah pelancong 7.2 juta, di belakang Johor yang mencatatkan 7.4 juta.

“Kita berharap kempen Tahun Melawat Perak 2017 akan menunjukkan peningkatan (pelancong domestik) sebab kita pernah catat 7.96 juta kedatangan pelancong,” katanya.