Statistik 2016 menunjukkan terdapat seramai 3.77 bilion penduduk dunia menggunakan internet dan di Malaysia dianggarkan terdapat lebih kurang 20 juta penduduk menggunakan internet dengan jumlah pengguna media sosial dianggarkan berjumlah 64 peratus daripada keseluruhan penduduk negara.

Ini adalah selaras dengan lonjakan kedudukan negara dalam Indeks Pembangunan ICT dari tangga kesembilan pada 2014 ke tangga kelapan pada 2015 di pe­ringkat Asia Pasifik dengan purata pelayaran internet rakyat Malaysia dianggarkan lima jam 36 minit setiap orang. Dengan populasi seramai hampir 16 juta pengguna laman sosial Facebook dan hampir 20 juta penggunaan aplikasi WhatsApp ini penyaluran maklumat semakin sukar dibendung dalam di dunia tanpa sempadan.

Kecenderungan masyarakat ber­dakwah melalui media sosial mutakhir ini menyebabkan perlunya ada badan pemantau untuk mengekang penyebaran hadis palsu atau hadis mauduk yang semakin berkeliaran dan jika dipandang ringan mampu untuk menyesatkan akidah masyarakat terutama kepada mereka yang tidak mempunyai pengetahuan yang luas mengenai hal ehwal agama Islam.

Tambahan pula pada masa kini terdapat seramai 1.8 bilion penduduk beragama Islam di seluruh dunia yang majoritinya mendiami di 49 buah negara yang mempunyai penduduk majoritinya beragama Islam. Secara ringkasnya, para muhadithin membahagikan hadis kepada empat kategori berdasarkan kepada hierarki hadis iaitu hadis sahih, hadis hasan; hadis daif; dan hadis mauduk atau hadis palsu.

Adapun hadis palsu itu terbahagi kepada dua iaitu:- Penulis meletakkan kata-kata dari dirinya sendiri, kemudian disandarkan kepada Rasulullah SAW atau sahabat; dan

II) Penulis meletakkan kata-kata dari para sahabat atau tabiin, atau ahli pujangga atau riwayat israliyyat, kemudan disandarkannya kepada Rasulullah bagi menarik minat para pendengar dan sekaligus menerimanya.

Para pengkaji hadis hampir sepakat mengatakan bahawa sejarah pemalsuan hadis bermula daripada krisis politik antara Saidina Ali bin Abi Talib dengan Gabenor Syria ketika itu iaitu Muawiah bin Abi Sufian dan hampir sepakat menetapkan tahun 40 H atau 664 Masehi sebagai detik permulaan pemalsuan hadis. Mengikut Imam Ibnu Qayyim Al Jawziyyah, terdapat lebih 300 ribu hadis palsu yang terhimpun dalam Kitab Irsyad. Ini tidak termasuk Kitab “Al Kasyfu Waal Bayan Fi Tafsir Al Quran “karya Al Tha’labi dan banyak lagi.

Proses mentarjihkan hadis ini bukanlah satu perkara yang mudah di mana sesuatu hadis itu perlu dinilai secara teliti dari segi “sanad” dan “matan”nya. Antara contoh hadis palsu yang dikesan ialah “Dari Abdullah bin Umar RA, barang siapa yang menunaikan solat antara Maghrib dan Isyak sebanyak 20 rakaat, maka Allah akan bina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga”.

Hadis palsu seumpama ini sekiranya dibiarkan berkeliaran di media sosial sudah pasti akan mengundang salah faham dalam kalangan pelayar media sosial terutamanya golongan muda yang cetek pengetahuannya mengenai agama.

Proses pengesahan sama ada sesuatu hadis itu kategori sahih, hassan, daif atau mauduk atau palsu ini bukanlah satu proses mudah kerana dalam kitab Sahih Bukhari sahaja terdapat 7397 nas hadis yang berulang dan 2,602 hadis yang tidak berulang. Sementara itu, Sahih Muslim pula mempunyai 7,275 buah hadis, Sunan Abu Dawood mempu­nyai 5,274 buah hadis sementara Sunan Ibnu Majah pula mempu­nyai 4,341 buah hadis. Ini tidak termasuk hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang lain seperti Jami’ Al Tarmizi dan Sunan Al Nasai.

Memandangkan banyaknya hadis yang terhimpun dalam kitab hadis yang diriwayatkan oleh perawi hadis yang diiktiraf oleh firqah Ahli Sunnah Wal Jamaah maka kebarangkalian untuk pihak yang tidak bertanggungjawab yang mempunyai motif tertentu yang ingin menimbulkan kekeliruan dan menyesatkan akidah umat Islam adalah amat sukar untuk dibendung.

Justeru sudah sampai masa­nya agar proses verifikasi hadis sama ada ia hadis yang sahih atau hadis palsu ini dapat dilakukan dengan lebih mudah melalui aplikasi atas talian demi untuk memudahkan masyarakat membuat semakan.

Adalah penting bagi pengguna media sosial untuk menyemak dulu kesahihan hadis mengikut metode yang telah diajar oleh ulama-ulama terdahulu melalui teknik-teknik seperti teknik Ijmali, Tahlili dan sebagainya.

Dalam waktu sama, pengguna media sosial juga tidak boleh terlalu ghairah menyebar sebarang hadis melalui aplikasi FB atau WhatsApp tanpa mempunyai pengetahuan secukupnya dalam ilmu hadis kerana perbuatan itu tanpa disedari amat mengundang dosa sepertimana sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang menyebut hadis daripadaku sedangkan dia menyangka ia dusta, maka dia termasuk salah seorang pendusta”.

Meskipun majoriti ulama mengenakan hukuman takzir dan takdib (memperbetulkan akhlak) kepada periwayat hadis palsu yang tidak mengetahui akan kepalsuannya namun terdapat juga ulama seperti Imam Al-Bukhari yang berpendapat bahawa penyebar hadis palsu wajib dipukul dengan keras dan dipenjarakan sementara terdapat juga ulama yang menghalalkan darah penyebar hadis palsu berkenaan.

Tindakan drastik seperti yang dikenakan kepada wartawan Raif Badawi yang dikenakan hukuman sebat sebanyak 1000 rotan oleh kerajaan Arab Saudi kerana tulisannya yang menghina Islam dengan mengatakan Islam menggalakkan keganasan itu adalah merupakan langkah deterrant yang amat baik demi menjamin kemuliaan agama Islam yang maha suci dari dicemari walau dalam kapasiti dan alasan apa sekalipun.

PENULIS ialah Timbalan Pengarah di Institut Integriti Malaysia (Integriti) dan beliau berkelulusan pasca siswazah dalam Pengajian Islam.