Kejayaan institusi berkenaan dalam membina ekonomi rakyat dan umat Islam Malaysia terbentuk daripada amalan tadbir urus korporat yang baik. Amalan tadbir urus korporat yang baik inilah yang perlu diketahui oleh rak­yat Malaysia bahawa bukan senang untuk mentadbir urus sesebuah organisasi seperti PNB dan Tabung Haji. Bagi mereka yang berada di luar organisasi terutamanya segelintir ahli politik, mudah sahaja mengkritik tanpa usaha memberi idea membina untuk meningkatkan kualiti GLIC dan pelabur institusi.

Kita boleh lihat bagaimana banyak pihak di Malaysia berusaha meningkatkan amalan tadbir urus korporat yang baik. Misalnya, Kod Tadbir Urus Korporat 2017 yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada Rabu minggu lalu bertujuan memastikan kemapanan pasaran modal Malaysia. Ini bukan pertama kali Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia dilancarkan. Sudah empat kali iaitu pada 2000, 2007, 2012 dan terkini minggu lalu.

Dalam hal ini, ramai sebenarnya berusaha untuk menyumbang sesuatu yang bermakna kepada amalan tadbir urus korporat yang baik termasuk dalam kalangan para penyelidik dan ahli akademik. Kita perlu meramaikan jagoan dalam hal tadbir urus korporat sama ada di pihak kerajaan, pihak berkuasa, syarikat-sya­rikat swasta atau pakar dan ahli akademik. Tujuannya ti­dak lain tidak bukan untuk meningkatkan kualiti amalan tadbir urus korporat dalam kalangan syarikat di Malaysia.

Mereka yang menyumbang ini adalah golongan yang cuba memperkukuhkan pe­ranan integriti dalam tadbir urus korporat Malaysia. Malang sekali kita asyik mengkritik institusi negara se­perti Tabung Haji sehingga terlupa masih ada syarikat korporat lain yang tidak berintegriti. Buktinya, seperti yang dilaporkan oleh media massa kebelakangan ini mengenai integriti membayar cukai oleh syarikat-syarikat korporat.

Tidak pula kedengaran sebarang kritikan oleh ahli-ahli politik terhadap tahap integriti syarikat korporat tersebut. Yang ada, hanyalah kritikan terhadap institusi negara se­perti GLIC yang selama ini cukup banyak menyumbang terhadap ekonomi Malaysia. Jika GLIC diakui kehebatannya sehingga diiktiraf di peringkat global, kenapa kita sendiri sukar untuk menerima hakikat ini? Jika tidak mahu mengakui sekali pun, usahlah pula memburuk-burukkannya.

Sebab itulah dalam hal ini, aspek integriti juga me­rangkumi hal ehwal melontarkan pandangan. Bagi ahli akademik, mereka lebih selesa melontarkan pandangan berasaskan kajian. Misalnya, dalam aspek tadbir urus korporat, banyak sekali kajian telah dilakukan dalam konteks Malaysia. Kajian-kajian ini untuk melihat kembali bagaimana setiap pihak dalam tadbir urus korporat menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin. Mereka ini terdiri daripada ahli lembaga pengarah, juruaudit dalam dan luar serta pihak pengurusan tertinggi. Integriti adalah kuncinya selain elemen kepakaran dalam bidang masing-masing.

Misalnya, Kod Tadbir Urus Korporat 2017 menyatakan bahawa jawatankuasa audit secara keseluruhannya wajar hanya terdiri daripada ahli lembaga pengarah bebas. Jika asalnya, Kod Tadbir Urus Korporat 2000 hanya menyatakan dua pertiga ahli jawatankuasa audit terdiri daripada ahli lembaga pengarah bebas, kini, keseluruhan mereka wajar hanya terdiri daripada ahli lembaga pengarah bebas. Tujuannya, tidak lain tidak bukan untuk memastikan ahli jawatankuasa audit berperanan secara berkesan dan cekap dalam memastikan kualiti pelaporan kewangan syarikat berada pada tahap terbaik.

Apabila mereka ini secara keseluruhannya bebas, maka, mereka lebih berani menegakkan kebenaran jika sesuatu yang tidak kena dilaporkan oleh juruaudit luar dan dalam syarikat. Dengan kata mudah, tindakan susulan akan dilakukan untuk memperbetulkan sebarang tingkah laku yang tidak berintegriti.

Dalam hal ini, jelas dinyatakan oleh Kod Tadbir Urus Korporat 2017 tentang integriti dalam pelaporan korporat untuk pemegang taruh. Pemegang taruh bukan setakat pemegang saham tetapi merangkumi orang awam yang juga ingin mengetahui sejauh manakah amalan tadbir urus sesebuah syarikat dalam hal ehwal pelaporan korporatnya.

Keinginan untuk mengetahui tentang pelaporan kewangan syarikat dalam kalangan orang awam semakin tinggi. Mereka ingin mengetahui sejauh manakah wang tersebut digunakan untuk disumbangkan kembali kepada orang awam dan pada masa sama menitikberatkan tentang integriti pelaporan kewangan.

Usah menjadi sebagaimana syarikat-syarikat besar barat yang telah menghancurkan kepercayaan orang ramai selepas pelbagai cara penipuan kewangan dilakukan terutamanya dalam pelaporan kewangan. Walhal, pada suatu ketika, mereka ingin mengajar erti integriti kepada negara membangun seperti Malaysia.

Justeru, kita tidak perlu terlalu taksub dengan cara hidup barat sedangkan integriti itu sendiri dijuarai oleh agama Islam dan diwariskan oleh nenek moyang kita. Acuan sebegini yang perlu diteruskan dalam membina negara secara tersusun, berhemah, terangkum dan mampan. Hakikatnya, meskipun tadbir urus korporat itu adalah sesuatu yang dinamik, namun integriti itu tetap kunci kejayaan amalan tadbir urus korporat yang baik pada bila-bila masa.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.