Namun, di sebalik keikhlasan melalui proses pembelajaran demi untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, terdapat golongan yang berada di luar proses pembelajaran tersebut tergamak menipu demi kepentingan diri. Mereka ini sanggup menjual ijazah palsu kepada golongan yang begitu mendambakannya. Tidak kurang juga ada yang sanggup mengguna pakai gelaran akademik semata-mata untuk mengaut keuntungan tersendiri.

Inilah penyakit yang dialami oleh masyarakat kita. Sememangnya Kementerian Pengajian Tinggi berusaha untuk menangani kedua-dua isu ini dengan menyediakan pangkalan data dan kod keselamatan pada sijil, namun usaha ini perlu disokong dengan masyarakat sendiri sentiasa mengamalkan tingkah laku berintegriti.

Apa yang membimbangkan, kaji selidik dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 1,000 mahasiswa pada tahun lalu menunjukkan bahawa 16 peratus daripadanya mahu menerima rasuah. Bayangkan peratusan ini cukup tinggi dan boleh membahayakan mana-mana organisasi yang memiliki pekerja berpendidikan tinggi tetapi sanggup terjebak dalam rasuah. Malah, dapatan seterusnya menunjukkan bahawa 18.5 peratus responden berkeinginan menerima rasuah jika tiada tindakan diambil terhadap mereka.

Tidak dapat dibayangkan apa akan terjadi kepada organisasi yang menggajikan mereka ini. Jika suatu hari nanti mereka ini berada di puncak karier sebagai ketua organisasi, pemilik perniagaan mahupun pemimpin masyarakat, natijahnya cukup besar sehingga boleh memudaratkan ekonomi negara. Ini kerana jumlah 16 peratus dan 18.5 peratus ini cukup tinggi dan boleh menggoncang kestabilan ekonomi negara. Apa yang menyebabkan mereka ini ingin terjebak dalam rasuah walhal rata-rata mereka ini cerdik pandai yang amat mengetahui rasuah bukan setakat haram dari segi undang-undang tetapi juga dari sudut agama?

Sebenarnya tiada cara lain kecuali melahirkan generasi muda yang benar-benar berintegriti. Mereka ini perlu dididik berintegriti sejak kecil lagi. Malangnya, salah kita sendiri kerana persekitaran pada masa kini lebih ke arah melahirkan golongan rapuh jiwa­nya kerana ketaksuban terhadap kebendaan. Tiga sebab utama seseorang itu terjebak dalam rasuah.

Pertama kerana tekanan kewangan terutamanya pada masa kini tekanan kos sara hidup boleh meningkatkan kegiatan rasuah dalam kalangan mereka yang terdesak berhadapan dengan kehidupan semasa. Sebab itulah amat penting kos sara hidup ini ditangani sebaik mungkin.

Faktor kedua pula lebih kepada peluang terbuka untuk melakukan rasuah. Selalunya mereka ini adalah golongan memiliki kuasa. Tidak kiralah sekecil-kecil kuasa sehinggalah sebesar-besar kuasa yang diberikan. Ditambah lagi dengan sikap terlalu tamak kerana berasakan dirinya perlu lebih berbanding orang lain. Mereka ini boleh dikenali melalui sikap tamak dan lebih mengutamakan diri sendiri dalam hal-hal kewangan seperti terlibat dengan aktiviti yang tiada kaitan dengan kerja rasminya atau lebih me­ngutamakan kerja-kerja lain berbanding kerja hakikinya.

Malah, mereka yang suka menunjuk-nunjuk akan kemewahannya walhal tidak setara dengan pendapatan juga antara tanda-tanda seseorang itu berkemungkinan terjebak dalam gejala rasuah. Keinginan untuk memperagakan kemewahan melalui rumah agam, kereta mewah dan pelbagai lagi bentuk kemewahan kepada orang lain menyebabkan seseorang itu sanggup menggunakan kuasa diberikannya.

Faktor terakhir lebih ke arah seseorang yang sanggup merasionalkan tingkah laku rasuah kononnya tidak salah mengikut undang-undang mahupun agama. Sikap sebegini cukup bahaya kerana dibimbangi begitu ramai golongan yang sanggup merasionalkan tindakan rasuahnya seolah-olah apa dilakukannya tidak salah sama sekali. Bayangkan jika begitu ramai sebegini, maka pada kemuncaknya, ra­suah menjadi penyakit sebati dalam masyarakat yang tidak boleh diubati lagi, jauh sekali untuk dicegah. Dalam hal ini, untuk menangani rasuah memakan masa begitu lama dan memerlukan dua hingga tiga generasi baharu yang benar-benar menolak rasuah dengan sepenuhnya.

Jadi, apa yang perlu ditekan agar gejala rasuah ini benar-benar dibanteras sebaik mungkin? Tanggungjawab masyarakat Malaysia secara keseluruhannya perlu memastikan anak-anak kecil sentiasa dididik agar mereka ini bertingkah laku secara berintegriti. Jujur, amanah dan tidak sesekali menipu perlu sentiasa dipupuk dalam kehidupan anak-anak kecil. Bukan setakat tanggungjawab SPRM, ibu bapa atau guru tetapi juga perlu dipikul oleh keseluruhan masyarakat Malaysia.

Masyarakat juga perlu sentiasa diterapkan sejak kecil lagi akan sikap bersyukur dalam apa jua keadaan. Sikap bersyukur ini perlu menjadi teras dalam kehidupan masyarakat berakhlak tinggi era Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerana jika tidak akan terbentuklah masyarakat yang rosak angkara berasakan kehidupannya serba tidak mencukupi.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).