Betulkah golongan memperjuangkan hak asasi manusia yang cukup tegar dengan sudut pandangan mengikut kerangka Barat sudah berhenti dan tidak akan menjadikan umat Islam dan orang Melayu sebagai sasaran mereka?

 

Buku ini yang mengandungi artikel-artikel ditulis oleh lapan ahli akademik, meninjau kemungkinan serangan pejuang hak asasi manusia itu tidak berhenti, sebaliknya lebih giat dengan institusi fatwa menjadi sasaran seterusnya.

Pejuang hak asasi manusia itu sejak sekian lama menggelar institusi fatwa di negara ini sebagai jumud (kolot). Bagi mereka institusi itu terlalu mengongkong pemikiran umat Islam dalam menanggapi teks sumber hukum iaitu al-Quran dan hadis.

Mereka juga berhujah bahawa institusi fatwa telah menjadi alat pihak tertentu untuk menyekat kebebasan bersuara dalam hal-hal agama Islam. Serangan itu, bukan hanya datang daripada dalam kalangan umat Islam bahkan turut menular melibatkan bukan Islam yang fanatik dengan perjuangan hak asasi manusia.

Mereka bukan setakat mengkritik dalam media massa, malah sampai ke tahap mencabar institusi fatwa di Mahkamah Persekutuan.

Tindakan itu, jelas mencabar amalan di Malaysia yang melihat pengeluaran fatwa oleh institusi fatwa adalah pandangan rasmi negara berkaitan hukum terhadap sesuatu isu yang berkait dengan agama Islam.

Secara umumnya, terdapat dua jenis institusi fatwa yang diwujudkan di bawah undang-undang negara ini, iaitu Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Keputusan dikeluarkan di peringkat kebangsaan oleh Jawatankuasa Fatwa MKI tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang sebaliknya hanya bersifat pandangan hukum dalam sesuatu isu melibatkan kepentingan seluruh umat Islam.

Ia hanya boleh dikuatkuasa setelah diwartakan kerajaan negeri. Dalam pada itu, serangan lain melibatkan golongan yang berpandangan semua pihak bebas mengeluarkan fatwa.

Golongan ini cenderung untuk mengetengahkan pendapat sendiri mengenai hukum-hakam sambil mengkritik pendapat pihak lain secara terbuka dalam media massa. Antaranya, melibatkan persoalan Islam liberal, pluralisme agama dan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Tindakan itu dengan alasan kebebasan hak asasi manusia untuk bersuara dan mengemukakan pendapat sering kali mencetuskan kekeliruan yang boleh membawa perpecahan umat Islam yang serius.

Semuanya berpunca, kerana pendapat itu dibahaskan dalam kerangka politik yang dipengaruhi emosi sehingga masyarakat kehilangan dimensi ilmiah yang mendasari isu-isu tersebut dan akhirnya menyebabkan kedudukan sebenar perkara tersebut tidak dapat difahami dengan baik.

Sebenarnya percanggahan hal-hal hukum tidak sewajarnya dibuka kepada masyarakat awam, sebaliknya harus dibincangkan dalam kalangan para ulama yang mahir, berkemampuan dan mempunyai integriti.

Selain itu, serangan dihadapi institusi fatwa adalah daripada golongan memperjuangkan kebebasan bersuara.

Mereka mahu proses membuat fatwa turut melibatkan rundingan awam, termasuk perbincangan dengan agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bagi memberi peluang semua pihak memberi pandangan.

Pandangan itu sekiranya diterima akan menyebabkan individu tidak berkelayakan turut berpeluang menyuarakan pendapat yang sebenarnya tidak akan membantu mempercepatkan penyelesaian permasalahan hukum syarak, tetapi akan mengusutkan lagi keadaan.

Serangan lain melibatkan pihak yang melihat institusi fatwa sebagai tidak sah dan hukum yang dikeluarkan tidak perlu dipatuhi. Mereka berhujah bahawa proses mengeluarkan fatwa tidak menepati kehendak demokrasi.

Ini kerana dalam sistem demokrasi, semua peraturan dan undang-undang hendaklah diluluskan sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Oleh kerana institusi fatwa tidak mengikut prosedur berkenaan, maka hukum yang dikeluarkan adalah tidak sah sebagai undang-undang dan tidak perlu dipatuhi.

Tergugatkah institusi fatwa dalam era Malaysia baharu? Sama-sama kita tunggu dan lihat.