Institusi beraja satukan warga

Institusi Raja berakar umbi di bumi ini lebih enam abad yang lalu. Sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja mempunyai landasan sejarah dan tradisi. Pemerintahan beraja secara awal dan semula jadi mencerminkan amalan kesederhanaan – menolak ekstremisme dan untuk sekian lamanya, berperanan sebagai perekat sosial yang telah berjaya menyatukan warga. Istilah ‘kerajaan’ berasal daripada perkataan Sanskrit ‘Ke-Raja-An’; mengandungi istilah raja, bermaksud rakyat yang tertakluk kesetiaan kepada seorang Raja Pemerintah.

Konsep rakyat di negeri Melayu Beraja pada zaman silam, bukannya berdasarkan wilayah sempadan geografi mengikut tradisi Eropah, tetapi hidup di bawah payung naungan dan berpaksikan Raja. Amalan kesaksamaan terhadap rakyat pelbagai agama, pelbagai kaum, pelbagai budaya, pelbagai bahasa, adalah sebahagian daripada sifat dan citra Raja Melayu.

Kesultanan Melayu Melaka sebagai contoh, mengiktiraf bahawa kemajuan, kemakmuran dan perkembangan intelek sesebuah negara, harus didukung bersama antara pembesar istana, dagang dan senteri, serta rakyat jelata, baik anak negeri mahupun orang luar, asalkan Raja, adat resam dan undang-undang Melaka dihormati, berpegangkan semangat di mana bumi dipijak - di situ langit dijunjung.

JANGAN GADAIKAN NASIB MELAYU

Perkara-perkara yang dizahirkan oleh Raja-Raja Melayu, sama ada secara lisan, perutusan warkah, begitu juga dalam mesyuarat-mesyuarat Durbar, Majlis Mesyuarat Persekutuan dan Majlis Raja-Raja, dianyam di dalam Perlembagaan Persekutuan, menyentuh tujuh perkara utama, seringkali dirujuk pada hari ini sebagai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu. Terpahat secara tersirat – tertera secara tersurat di dalam Perlembagaan Persekutuan semangat menjunjung Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, yang secara tegas menetapkan antaranya, kedaulatan Raja-Raja, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain, diberi jaminan untuk dilindungi setiap masa. Perkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan tanpa perkenan Raja-Raja.

Setelah hampir enam puluh tahun tanah air mencapai kemerdekaan, setelah lima belas kali Raja Melayu secara bergilir bertakhta di singgah sana Ketua Utama Negara, setelah tiga belas kali pilihan raya umum dilangsungkan, dan setelah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan Persekutuan, pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia, amatlah penting diperingatkan semula, malah wajib terus diperingatkan.

Segala persetujuan, wajib dihormati. Perkara-perkara yang telah dipersetujui ketika penggubalan Perlembagaan Merdeka, menyentuh prinsip-prinsip asas, tidak harus diperdagangkan untuk tujuan meraih keuntungan politik jangka pendek; tidak wajar dikorbankan kerana kepentingan untuk mengutamakan atau melindungi mana-mana pihak, baik organisasi mahupun individu. Prinsip-prinsip asas, terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan. Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka. Ummah wajib berdiri teguh – berpendirian tegas, tidak berundur, walau setapak sekalipun.

Sebagai sebuah negara baru, pelbagai institusi negara sebenarnya masih melalui proses transformasi untuk mencari keseimbangan. Tempoh masa enam puluh tahun memenuhi peranan raja berperlembagaan, memberikan kematangan pengalaman kepada Raja-Raja mencapai satu tahap kefahaman akan peranan takhta terhadap negara dan warga. Raja tidak sekadar pelengkap memenuhi adat, negara beraja – rakyat bersultan

Raja bukan sekadar simbol untuk melaksanakan tugas-tugas keraian semata-mata. Raja bukanlah monumen hiasan yang kaku - tanpa nyawa – tanpa jiwa. Raja-Raja tidak daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan. Segala perkara yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan dan pendengaran Raja-Raja. Pandangan berterus terang Raja-Raja dalam perkara-perkara berkaitan agama Islam, Bahasa Kebangsaan, perpaduan warga, kebebasan kehakiman, rasuah, salah guna kuasa, dan pelbagai lagi, tercetus daripada hasrat untuk memastikan negara terus stabil dan aman, warga terus sejahtera dan makmur.

AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB BAGINDA

Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri Baginda di samping berperanan sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. Baginda diperuntukkan kuasa melantik dan membatalkan lantikan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri. Baginda diperuntukkan kuasa membuat pengisytiharan darurat serta mengisytiharkan apa-apa ordinan sekiranya kedua-dua Dewan Parlimen tidak bersidang secara serentak.

Baginda diperuntukkan kuasa atas nasihat Perdana Menteri untuk melantik ahli Suruhanjaya Pasukan Polis, dan menurut budi bicara setelah menimbang nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja melantik ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran. Majoriti ahli-ahli Majlis Angkatan Tentera adalah atas lantikan Baginda. Bahagian Sembilan, Perlembagaan Persekutuan menggariskan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam bidang Kehakiman.

Atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja Baginda melantik Juru Audit Negara, sementara Peguam Negara dilantik oleh Baginda atas nasihat Perdana Menteri. Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima ahli Suruhanjaya Pilihan Raya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja dan Baginda dipertanggungjawab memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya mendapat kepercayaan awam.

Oleh itu amatlah tidak munasabah jika jawatan Ketua Utama Negara itu diwujudkan sekadar untuk menyempurnakan tugas-tugas ceremonial atau dianggap boneka untuk menurunkan mohor perkenan kepada setiap dokumen yang dipersembahkan, dengan mata tertutup, mulut terkunci dan tangan terikat, diwajibkan tanpa opsyen memberi sepenuh perkenan tanpa soal atas apa juga nasihat yang diangkat sembah kepada Baginda, apatah lagi jika nasihat tersebut menyimpang daripada undang-undang atau tergelincir daripada landasan keadilan atau berunsur penindasan atau boleh memudaratkan negara bangsa.

Raja tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberikan perkenan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan tuntutan syarak, menyimpang daripada semangat Perlembagaan, bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat, hingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman. Apabila Raja dirujuk, Duli-Duli Baginda hendaklah memberikan pandangan secara bebas tanpa perasaan ragu atau pilih kasih; dan dalam perkara Raja perlu bertindak atas budi bicara, Duli-Duli Baginda hendaklah menyempurnakannya dengan hikmah dan kebijaksanaan demi membuktikan Raja bersifat arif, adil lagi saksama, sebagai penimbangtaraan yang bebas kepada cabang-cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman, demi memastikan terlaksana secara bermakna mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan amalan demokrasi yang telus.

Majoriti perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tersurat terang dan nyata; tetapi apabila menghadapi situasi kejutan, yang mencetuskan senario baru tanpa duluan, mungkin tidak ditemui perkara yang tersurat secara nyata. Lalu akan timbul kawasan kelabu, antara yang tersurat dengan yang tersirat; antara yang terang tertulis dengan semangat yang terselindung di sebalik yang tertera.

Raja perlu bijaksana mengaplikasi kuasa budi bicara supaya apa juga ketetapan yang dititahkan akan memberikan sebaik-baik manfaat kepada negara dan warga. Dalam hasrat merumus ketetapan yang bijaksana, Raja perlu mendapat pandangan seluas dan sedalam mungkin, daripada seramai pihak, merentasi sempadan kaum – sempadan budaya – sempadan politik, daripada dalam dan luar kerajaan, merangkumkan pendapat ulama dan umara, para akademia dan para intelek, warga tua dan warga muda; menganalisis segala fakta secara teliti, halus lagi mendalam, membezakan antara padi dengan antah, antara kaca dengan permata, sebelum mengaplikasikan kuasa budi bicara yang diperuntukkan.

Ketika merumuskan sesuatu keputusan, Raja bergantung kepada fakta dan maklumat yang disembahkan. Raja tidak berupaya melakukan yang terbaik dan yang paling bijak, jika tidak disembahkan dengan nasihat yang betul dan maklumat yang tepat, jika terus dipagari dengan kepalsuan dan dihiaskan dengan kepura-puraan. Amatlah penting untuk Raja disembahkan pandangan secara tepat – secara objektif, berlandaskan kebenaran – berteraskan fakta. Adalah penting untuk barisan yang dipertanggungjawabkan menasihati Raja bersifat ikhlas, arif lagi berilmu, berkata benar, supaya Raja tidak dibuai dalam khayalan dan tidak diulit dengan gurindam kepalsuan. Pihak-pihak yang memalsukan fakta dan melindungi kebenaran daripada Raja Pemerintah, derhaka sifatnya.

Kebijaksanaan adalah elemen penting membolehkan Raja berperanan secara berkesan untuk dapat memberi keyakinan terutama dalam urusan membantu menyelesaikan sesuatu krisis dan kekusutan. Di sebalik apa yang tersurat, Raja telah membuktikan sifat bijaksana dan perlu terus bijaksana mentafsir yang tersirat. Paduka Seri Ayahanda Beta, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah), pernah bertitah:

“Raja Pemerintah adalah Raja Pemerintah, sama ada secara mutlak atau secara raja berperlembagaan. Perbezaan antara keduanya adalah satu ditafsiri tidak mempunyai batasan kuasa dan satu lagi bertindak tertakluk kepada kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan. Tetapi adalah satu kesilapan untuk memikirkan bahawa peranan seorang Raja Pemerintah itu sama seperti seorang Presiden, terbatas kepada apa yang tersurat di dalam Perlembagaan. Peranan Raja Pemerintah mengatasi apa yang tersurat dalam Peruntukan Perlembagaan.”

Titah tersebut boleh disalah mengertikan seolah-olah Almarhum menganjurkan bahawa Raja Pemerintah memiliki kuasa mutlak tanpa batas. Namun dikalangan mereka yang mengenali akan sifat pekerti Almarhum, Marhum Sultan Azlan Shah Al-Maghfur-Lah, amat menghormati undang-undang. Apa yang dimaksudkan, ialah Raja Pemerintah mempunyai tanggungjawab lebih luas, memastikan bahawa semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang, kepentingan lebih besar negara dan warga hendaklah senantiasa difahami, dilindungi dan diutamakan. Yang penting diawasi dan ditegaskan:

Pertama: Raja adalah sebahagian daripada institusi negara yang dapat berperanan positif memperkukuhkan sistem demokrasi dengan melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang kepada cabang-cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman, demi memelihara kepentingan dan kebajikan warga.

Kedua: Raja tidak menyalah gunakan kuasa budi bicara hingga bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan undang-undang.

Kebijaksanaan menggunakan budi bicara secara tepat, betul, adil dan pada masanya, amatlah penting, yang memerlukan hikmah dan dizahirkan secara berhemah. Hikmah adalah himpunan kumulatif kebijaksanaan, terkumpul sebagai khazanah melalui asuhan, bimbingan, didikan, pengajian, pengamatan, kematangan serta amal dan pengalaman. Hikmah memberikan kelebihan membolehkan seseorang insan secara tenang dan tenteram mencapai rumusan secara tepat lagi bijaksana. Berdasarkan pendedahan dan pengalaman peribadi yang Beta tempuhi, sesungguhnya, himpunan dan gabungan pengalaman Raja-Raja adalah khazanah yang sangat relevan lagi dapat membantu negara bangsa ketika berhadapan situasi kejutan di luar jangkaan.

Beta insaf bahawa citra dan daulat, bergantung pada kesempurnaan keperibadian seseorang Raja. Raja dan kerabat Diraja pada hari ini, tidak lagi bersemayam secara terpisah dalam batasan perkarangan istana. Perhubungan Raja dengan rakyat tidak lagi terbatas kepada sekumpulan kecil pembesar istana, malah ketara semakin terbuka; satu perkembangan sihat, membolehkan Raja memahami realiti bahawa darjat dan daulat, tidakkan bulat datang menggolek – tidakkan pipis datang melayang. Raja perlu membuktikan secara meyakinkan satu tahap pencapaian, mempamerkan perilaku dan keperibadian yang sejajar diberikan kemuliaan dengan menghayati semangat Raja adil – Raja disembah.

Beta mengambil pengajaran bahawa takhta yang kini tinggal di dalam sejarah adalah kerana perbuatan tidak bertanggungjawab para wazir dan pembesar istana, menyembahkan nasihat yang salah; pada akhirnya negara tergadai dan warga berkecai. Sejarah juga menunjukkan ada takhta yang turut terkorban disebabkan salah laku para pembesar yang mementingkan diri sendiri ketika berteduh di bawah payung naungan takhta.

Raja-Raja yang masih memiliki takhta wajar mengambil iktibar daripada evolusi yang rancak berlaku di serata dunia. Pendemokrasian pendidikan telah melahirkan masyarakat lebih terbuka, memudahkan minda manusia bersifat lebih kritis. Era teknologi maklumat – era komunikasi telah menembus sempadan negara – sempadan geografi. Rakyat semakin terdedah dengan sumber maklumat dan berada dalam kedudukan yang berupaya melakukan penilaian terhadap institusi raja. Ekonomi berpaksikan pengetahuan memberikan kemerdekaan baru membina kekayaan bersumberkan daya intelek, sekali gus mengurangkan keperluan majoriti insan mendapat naungan. Pendalaman fahaman agama menyedarkan manusia akan kuasa yang Maha Agung di atas segala kuasa dan segala kerajaan di dunia. Media terutama media baru semakin mencanai minda masyarakat yang menuntut kepada amalan ketelusan dan kebertanggungjawaban pemimpin. Raja dan kerabat Diraja tidak terkecuali daripada sasaran lensa dan pena media. Raja tidak harus memandang sepi akan peranan media dalam maya yang semakin terbuka. Raja juga wajib menghindarkan diri daripada terjebak atau terperangkap secara langsung dalam sebarang litar putaran media.

Islam menyuntik dimensi baru kepada tatacara pemerintahan Raja Melayu, beralih daripada pemerintahan berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan syariah; menegaskan dua konsep, adil dan muafakat. Islam menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai ‘penjelmaan tuhan di bumi’, status yang meletakkan Raja sama taraf dengan tuhan, beralih kepada konsepsi bahawa Raja adalah ‘bayangan Allah di muka bumi (zillulah fi al-Ard). Hubungan batiniah Raja dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya talian spirituil dirangkaikan dengan Allah dan Rasul serta kekudusan para aulia – para anbia. Tuntutan agama Islam amat ketara dalam deskripsi Raja Melayu. Digambarkan oleh Raja Ali Haji dalam Tuhfat al Nafis, bahawa fungsi utama penyandang gelaran Raja adalah untuk menjunjung hukum Allah di muka bumi, bahawa krisis akan terjadi jika perintah Allah diingkari, dan apabila Raja memerintah dengan nafsu.

10. Takhta ketika ini, berhadapan cabaran lebih kompleks, malah amat perlu menyempurnakan peranan yang semakin mencabar dalam orbit moden Malaysia, berhadapan komposisi warga muda yang bertambah meningkat bilangannya serta memiliki pelbagai idealisme, di samping terdedah kepada pengaruh globalisasi. Raja harus bersedia membolehkan berlakunya perubahan dalam rangka kesinambungan budaya. Dalam memenuhi peranan sebagai kustodian, pewaris kekayaan adat dan adab, Raja berkewajipan memiliki hikmah merangkai yang lama dengan yang baru, mengizinkan modenisasi di samping memelihara tradisi.

Pada hari ini, pemahaman warga terhadap Institusi Raja bagaikan berada di dua penghujung pendulum, ada yang menghargai relevannya, ada pula yang kabur akan peranannya. Dalam menghadapi cabaran dinamik politik yang sedang berlaku, Institusi Raja sedang melalui satu lagi evolusi, menimbang dan mengimbangkan harapan tinggi rakyat agar takhta memenuhi peranan secara bermakna, berlandaskan semangat yang termaktub di dalam perlembagaan. Demi memastikan imej dan peranan takhta terus bertenaga - kekal dinamik, serta berupaya menangani tuntutan dan keperluan semasa, terutama dalam memenuhi peranan mekanisme semak dan imbang secara bermakna, serta sebagai payung kesatuan dalam kepelbagaian, Institusi Raja telah berulang kali dipohon, melandaskan paksi baru serta melakarkan ruang peranan yang lebih relevan dalam era yang semakin berubah.

11. Dalam suasana menyambut ulang tahun kemerdekaan kali keenam puluh ini, seyogia Beta mengulangi semula ungkapan peringatan yang pernah Beta zahirkan pada 7 November 2012:

“Ketika dilambung ombak globalisasi, warga perlu bijaksana mengimbangkan antara tuntutan tradisi dan permintaan modenisasi, agar air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit. Institusi Raja adalah penerusan tradisi untuk mengekalkan identiti negara bangsa, satu lambang kedaulatan – payung mahkota negara. Institusi Raja mungkin pelita lama tetapi kekal memancarkan cahaya. Pelita lama jangan terlalu cepat mahu dibuang kerana riak melihat fajar yang sudah menyingsing; ingatlah hari siang juga akan berakhir, jangan nanti bila senja mendakap malam, warga mula teraba-raba, hilang haluan diselimuti kegelapan malam, kerana pelita lamanya sudah tiada lagi.”

53. Dengan hikmah, kebijaksanaan, serta kebestarian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, begitu juga Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, semoga warga terus diberikan naungan saksama. Ketika warga dilanda hempasan ombak perebutan kuasa, yang kelihatan semakin meretakkan perpaduan, barang dijauhkan warga dari menghadapi nasib, benang habis – kain tak jadi, jarum patah - baju tak siap. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berada dalam sebaik-baik kedudukan untuk melindungi kepentingan warga. Berkat daulat Raja-Raja Melayu, semoga warga yang berada di tangga dapat ke pelantar, jika di pelantar dapat ke anjung, yang di serambi dapat ke tengah rumah. Berkat naungan Raja-Raja Melayu, semoga warga dapat dibimbing, menapis yang keruh menjadi jernih, membuang yang bengkok – mengambil yang lurus.

54. Konvensyen ini berpotensi mengundang pelbagai pandangan. Semoga di sebalik segala kepelbagaian pandangan itu, pada akhirnya nanti, kita akan bersua dalam satu laluan intelek yang membolehkan berlakunya pertemuan pemikiran secara objektif lagi rasional; menerima hakikat bahawa perbezaan pandangan itu sebenarnya adalah satu kekuatan yang dapat membantu berlakunya perseimbangan dan konsensus dalam hasrat membina satu persefahaman – satu semangat, untuk membangunkan sebuah negara bangsa yang berdaulat lagi merdeka, gagah lagi perkasa, adil lagi saksama, makmur lagi sejahtera.

55. Semoga para peserta konvensyen dilimpahkan nur petunjuk daripada Allah Subhanahu Wata’ala untuk menghasilkan rumusan terbaik demi masa hadapan negara dan warga.

Dengan kalimah Bismillahi Allah Hu Akbar, Beta rasmikan ‘Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat’.