Kadang kala kursus yang dipohon bertukar lima kali dalam sistem online UPU dalam tempoh seminggu, selagi belum tutup permohonan sehingga 14 April depan.

Rakan Tumpang lalu, Ketua Pengarah Seranta Felcra, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris minggu lepas sudah berkongsi kisah getir cabarannya setelah dapat pangkat tiga SPM 1997. Namun menongkah arus untuk bangkit, akhirnya berjaya muncul antara pelajar Malaysia cemerlang di Britain pada 2005 dalam kajian nano.

Kali ini Tumpang lalu nak bawa satu lagi sumber inspirasi kepada pelajar tamat sekolah mene­ngah mengenai kisah ahli perniagaan berjaya, Datuk Abdul Malik Dasthigeer, anak jati Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur.

“Pada saya SPM ini hanya sebagai salah satu langkah dalam dunia pelajaran. Bukan setiap pelajar yang cemerlang dalam SPM tentu berjaya dalam hidup.

“Ada kalangan anak kita mempunyai bakat tersendiri, pelajaran mesti disertai sama kelakuan, adab, disiplin dan juga cara ibu bapa memupuk dan guide (pandu) anak-anak untuk berjaya.

“Dunia luar ini sangat mencabar. Teori sahaja tak cukup, mereka harus mengembalikan cita rasa dan apa yang mereka suka, perasaan untuk bagus, inilah yang akhirnya mencapai kepuasan,” kata Abdul Malik, 35, ketika bersembang menghirup teh tarik kelmarin.

Sambil menyatakan keputusan SPM diraih beliau biasa sahaja ‘not too bad or not too good’, Abdul Malik memberitahu Tum­pang lalu, dahulu semasa kecil dia pernah bekerja di kedai restoran bapanya ambil order daripada pe­langgan selepas waktu sekolah.

“Mereka yang lebih senior berniaga di kawasan Jalan Silang, Kuala Lumpur pernah cuba halau kami dari situ yang kami ada ha­nyalah office seluas 300 kaki persegi besar dengan staf dua orang kerja,” kata beliau.

Hasil kegigihannya, Abdul Malik berjaya beli semula wisma yang beliau sewa dahulu. Saya pantang dicabar dalam hidup biarpun perniagaan saya difitnah sehingga mengancam keluarga dan diri sendiri.

Hari ini, apa yang Abdul Malik usahakan membuahkan hasil. Beliau memiliki pelaburan hartanah dan bangunan-bangunan. Selain itu, pengurup wang asing, mengedar alat mainan serta perniagaan import eksport bara­ngan am terutama penerbitan dan pengedaran filem.

“Barangan utama syarikat Malik Streams Corporation Sdn. Bhd. antaranya selimut, bara­ngan elek­tronik termasuk 62 jenis lampu suluh, troli, beg, komputer riba, beg sekolah.

“Perniagaan ini bermula tahun 2007 dengan cuma sebuah kedai. Kini saya peruncit dan pemilik bangunan di Jalan Silang, belakang pusat beli-belah Kota Raya yang mempunyai 100 pekerja di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Malik tidak melepaskan peluang mengimport barangan dari China, Korea, Nepal, Bangladesh, Turki, India dan Jepun. Nilai import barangan - kira-kira 100 kontena dalam setahun.

Setelah 10 tahun dalam dunia perniagaan, Abdul Malik ditanya Tumpang lalu akan perancangannya.

“Kami ada plan nak beli tanah dan kilang (bisnes elektronik) di China. Di seberang laut sekarang, kami sudah ada 250 pekerja,” kata Abdul Malik.

Abdul Malik dalam setahun ini menjadi sebutan melalui filem Kabali.

Bukan hanya semata-mata beliau popular apabila menjadi salah satu penerbit bersama filem itu, tetapi lebih daripada itu, dia dikenali kerana keupayaannya berjaya akses kepada pelakon terkenal India yang juga hero Kabali, Rajinikanth.

Bagi sesiapa pun di India yang mengenali Rajinikanth, beliau tidak pernah sesekali meme­nuhi jemputan mana-mana pihak untuk melakukan acara pembukaan, pelancaran, perasmian kedai, bangunan atau jauh sekali condong kepada mana-mana parti politik.

Malah, Perdana Menteri India, Narendra Modi sendiri pernah bertemu dengan Rajinikanth meminta beliau berbuat demikian. Namun beliau menolak dengan baik.

Tetapi apabila Abdul Malik memintanya untuk merasmikan gedung Wisma Malik miliknya yang terletak di Jalan Silang pada 2016, Rajinikanth terus mene­rimanya. Kejutan itu membawa media di seluruh dunia khasnya di India memaparkan banyak gambar pembukaan bangunan itu di muka depan akhbar mereka.

Rajinikanth juga bersetuju untuk tinggal lebih 50 hari di negara ini bagi menghabiskan penggambaran filem Kabali yang hampir 80 peratus pembikinan dilakukan di Malaysia.

Falsafah beliau yang ingin dikongsinya bersama pelajar lepasan SPM:

“Pendidikan bertindak sebagai bahan mentah yang diperlukan untuk membina kejayaan, pengalaman memberikan bentuk, struktur dan pemasaran kepada produk siap.”

“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.”