Sesuai dengan falsafah RSP Architects Sdn. Bhd.. yang diterajuinya, 'arcitecture menghubungkan manusia dan alam sekelilingnya’, Hud bersama arkitek profesional, pereka dalaman, perancang dan juruteranya berhasrat mendedikasikan alam seni bina dalam mencapai kecemerlangan.

Ar Hud, graduan Master of Arcitecture dari Universiti California of Berkeley (1988) antara universiti terbaik di dunia dalam bidang seni bina, merupakan salah seorang arkitek yang masih mengilhamkan reka bentuk sketch menggunakan tangan.

Ar Hud yang berpengalaman selama 29 tahun dalam dunia arkitek, memang tidak asing lagi dalam senibina ikonik di negara ini terutama projek-projek mega di Lembah Klang.

“Di KL Sentral terdapat tujuh buah bangunan. dua di Putrajaya dan di sekitar KLCC dan Jalan Ampang lebih sedozen, bangunan yang telah saya hasilkan” cerita Ar Hud sambil memandang ke arah balkoni pejabatnya, RSP Arcitecture Sdn. Bhd. yang terletak di suite 3A-16 Plaza Sentral.

Antara bangunan unik yang pernah mendapat sentuhan reka bentuk beliau ialah Komplek Islam Putrajaya, MITEC Jalan Duta, Bangunan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, Menara Felda, Ibu Pejabat MITI, Menara Bank Islam Malaysia Berhad Jalan Tun Perak, Paradigm Mall dan 8 Conlay.

Mengenai Kompleks Pusat Islam Putrajaya, Ar Hud memberitahu bangunan ini direkabentuk bercirikan bangunan Islam kontemporari yang mengajak umat Islam melangkah maju ke hadapan.

“Saya hendak serlahkan konsep Islam progresif, umat Islam sentiasa mara ke depan. Seni bina ini diilhamkan dari cahaya. Konsep cahaya diterapkan sebagai pedoman hidup dan mengajak umat Islam sentiasa melangkah ke hadapan,”katanya.

Kompleks Pusat Islam ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menempatkan kira-kira 15 agensi di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bagi menjelaskan lagi idea asalnya, Ar Hud cuba ketengahkan konsep cahaya itu sebagai simbolik peralihan antara siang dan malam antara tanda-tanda kebesaran Tuhan.

“Di waktu malam cahaya menembusi facade bangunan bagai bintang-bintang bergemerlapan. Jika kita lihat dari tepi tasik Putrajaya dengan jelas cahayanya bergemerlapan bak bintang, indah, dan tersergam,” katanya.

Berbicara mengenai bangunan SPRM di Putrajaya pula, Ar Hud menyatakan beliau mereka bentuk bangunan tersebut supaya ianya transparent kepada orang awam.

“Ada orang mengatakan macam bahtera di dalam Instagram. Sebenarnya saya nak ketengahkan public awareness dan transparency. Bangunan yang lebih mesra rakyat,” katanya.

Bangunan MITEC di Jalan Duta pula direka sebagai pusat pameran yang berkali ganda lebih besar daripada bangunan Konvensyen KLCC merupakan sebuah bangunan pameran ikonik terbesar di Asia Tenggara di bawah satu bumbung. Kos bagi pembinaannya menelan belanja lebih RM600 juta dan siap awal 2017. Kini, MITEC menjadi pusat urusetia Sukan SEA Ke-29, Kuala Lumpur 2017.

“Bangunan MITEC ini direka berkonsepkan biji getah, salah satu 'industri crop' pertama negara kita. Biji getah yang berkulit seperti kerang memang bersesuaian untuk rekabentuk long span. Malaysia telah dapat maju hasil daripada industri getah dan kita adalah merupakan sebuah negara pengeksport getah terbesar di dunia.

“Kalau tengok secara fundamentalnya, memang bersesuaian konsep biji getah ini untuk menunjukkan kejayaan asas Malaysia kepada negara asing. Saya mengamati kegunaannya, dan mengamati sejarah negara kita dahulu untuk memandang jauh ke hadapan,” katanya.

Menara FELDA di Persiaran KLCC, Kuala Lumpur pula diilhamkan pembinaan oleh Perdana Menteri untuk melambangkan kejayaan peneroka FELDA di seluruh negara.

“Sebagai arkitek saya perlu meneliti secara halus kerana bangunan ini perlu melambangkan aktiviti peneroka. Ilhamnya daun getah. Bentuk daun getah terbalik. Saya ambil ciri urat-urat daun, abstrak dari daun getah. Bangunan bahagian atas melambangkan daun getah setinggi 50 tingkat,” katanya.

Bagi bangunan 8 Conlay pula diinspirasikan dengan nombor - 8, angka bertuah masyarakat Cina. Menariknya, bangunan ini sedang dibina di petak nombor 8 Jalan Conlay dengan kos pembinaan melebihi RM1 bilion dan dijangka siap dibina pada tahun 2020.

Justeru tidak menghairankan apabila Ar Hud mendapat pelbagai pengiktirafan dan anugerah antaranya, FIABCI Award, Asia Pacific Property Awards, PAM Award dan The Edge Dream Home Award di atas kecemerlangan mahakarya seni bina ikoniknya. Seterusnya, negara kita dapat berbangga dengan pencapaian arkitek anak bangsa ini yang mampu berganding bahu dengan rekabentuk bangunan-bangunan antarabangsa. Ar Hud berharap, pihak kerajaan dan juga swasta dapat memberi peluang seterusnya kepada arkitek-arkitek negara kita bukan sahaja di dalam malah di luar negara.