Dilaporkan sebuah universiti awam terpaksa membelanjakan kira-kira 60 peratus daripada peruntukan kewangan mereka hanya untuk membayar gaji kakitangan sahaja. Ada universiti yang mempunyai 50 profesor, manakala bilangan pelajarnya hanyalah kira-kira 7,000 (1:140). Ada pula universiti awam yang hanya mempunyai 30 profesor tetapi bilangan pelajarnya hampir 15,000 (1:500).

Ada pula universiti awam yang mempunyai hampir 25,000 pelajar dengan 300 profesor (1:83). Disebabkan pendapatan daripada yuran pelajar sangat terhad dan sukar dinaikkan, manakala penjanaan pendapatan universiti ba­nyak bergantung pada penggunaan kepakaran tenaga pensyarah yang optimum. Justeru dengan kepakaran yang ada, profesor perlu menjana pendapatan universiti.

Paul Hoskins, seorang pengkaji mengenai penjanaan pendapatan universiti mengatakan bahawa pihak universiti hanya mengeluarkan kira-kira satu peratus untuk kos pemasaran berbanding pihak industri yang mem­belanjakan sehingga 15 peratus daripada pendapatan mereka untuk menjalankan kegiatan pemasaran. Kos pemasaran yang seimbang menjamin rangkuman sepenuhnya dalam pemasaran. Namun demi­kian, pemasaran berkualiti perlu diberi keutamaan berbanding kuantiti pemasaran. Dikhuatiri, universiti awam lebih mengutamakan kuantiti berbanding kualiti. Dalam konteks ini, pemasaran juga bermaksud kaedah untuk menjana pendapatan kepada universiti.

Banyak universiti awam menyedari pentingnya penubuhan yayasan universiti untuk menjana pendapatan sendiri. Penubuhan yayasan mendorong pihak universiti mempunyai hubungan yang lebih luas dengan industri. Namun, pendekatan universiti perlu lebih bersifat komersial. Maka, pihak bertanggungjawab perlu lebih berorientasikan perniagaan dengan merangkum wawasan universiti sekali gus. Contohnya, bayaran perlu dibuat untuk menerbitkan jurnal berimpak tinggi. Sebaliknya, blog dan artikel jurnal boleh dijadikan audio video untuk menjana pendapatan. Ramai yang lebih suka menonton audio visual berbanding membaca jurnal. Universiti California di Amerika Syarikat (AS) telah berjaya meraih AS$182 juta melalui fi hak cipta dan harta intelek pada 2011.

Dalam kesibukan pensyarah membantu universiti untuk menjana pendapatan sendiri, sedar tidak sedar peruntukan untuk menjalankan penyelidikan mereka pula dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Sebenarnya, semasa menyediakan cadangan penyelidikan sebelum mendapat kelulusan, perbelanjaan yang dikemukakan tidak mengambil kira GST. Apabila geran penyelidikan diperoleh, tiba-tiba geran berkenaan yang sudah semestinya dipotong, dikenakan pula GST.

Sesungguhnya, peruntukan untuk membeli peralatan bagi menjalankan kegiatan penyelidikan bukanlah melibatkan jual beli barangan untuk maksud jualan. Peralatan yang diperlukan untuk menjalankan kajian adalah alat-alat yang sangat diperlukan. ­Justeru, sewajarnya peruntukan berkenaan dikecualikan sebarang bentuk cukai. Setiap peralatan yang dibeli melalui geran penyelidikan bukanlah menjadi hak milik penyelidik tetapi milik unit, jabatan atau fakulti berkenaan.

Kebanyakan geran penyelidikan yang diperoleh penyelidik di universiti adalah daripada kerajaan, universiti, syarikat swasta dan perbadanan awam. Sebahagiannya diberikan geran untuk membantu menjayakan penyelidikan untuk membeli peralatan yang mahal dan sukar diperoleh di dalam negara. Persoalan sama ada penyelidikan berkenaan menghasilkan output atau perkhidmatan bukanlah ukuran kerana sudah tentu setiap penyelidikan ada hasilnya untuk kegunaan semua. Kita perlu ingat bahawa penyelidikan pada zaman sekarang melibatkan teknologi canggih yang harganya jutaan ringgit. Sekiranya dapatan penyelidikan boleh dikomersialkan, maka nilainya juga sudah tentu jutaan ringgit.

Lantaran, pengenaan GST terhadap geran penyelidikan akan meningkatkan kos untuk menjalankan penyelidikan. Makna­nya, penyelidik akan dibebani kos yang lebih tinggi. Terutama sekali bagi penyelidikan dalam bidang-bidang yang memerlukan peralatan canggih dan mahal ­seperti ketenteraan, telekomunikasi, pengangkutan darat, laut dan udara, kesihatan dan perubatan dan sebagainya. ­Justeru, kita perlu belajar daripada beberapa amalan penyelidikan di negara luar yang meningkatkan geran penyelidikan dan mengecualikan peruntukan itu daripada cukai. Begitu juga dengan penjanaan pendapatan melalui wakaf yang sepatutnya diberikan pengecualian cukai pendapatan di bawah Seksyen 44 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dalam keghairahan universiti awam untuk menjana pendapatan, pihak-pihak ber­kenaan perlu lebih prihatin dalam memastikan kualiti penyelidikan tidak terganggu. Sebaliknya, dengan kekangan bajet, insentif perlu diberikan dalam bentuk pengecualian cukai bagi menjamin penyelidikan berkualiti dan bukanlah menjalankan penyelidikan untuk maksud menjalankannya semata-mata. Penyelidikan bukanlah hanya menghasilkan laporan yang cantik, malah penyelidikan sepatutnya melahirkan dapatan dan penemuan ilmu baharu demi kesejahteraan manusia sejagat.

PROFESOR DR. ISMAIL OMAR ialah Pensyarah di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.