Sebaliknya, suatu tekad politik yang tinggi melakukan transformasi dalam semua bidang dan peringkat. Terbukti Manifesto BN PRU-13 hampir 100 peratus programnya terlaksana.

Ia adalah gambaran track-record berasaskan kemampuan merancang dan kemampuan ­me­laksana. Dengan pertumbuhan ekonomi yang sihat dan pembangunan modal insan yang terancang, natijahnya menyumbang ke arah pembangunan yang lebih lestari.

Aku Janji BN ini sifatnya merangkumi. Ia memberi tumpuan kepa­da setiap negeri di Malaysia khususnya Sabah dan Sarawak. Pendekatan berdaya maju ini amat bermakna kepada warga bandar dan luar bandar khu­susnya di wilayah pemba­ngunan Felda. Kemudahan awam seperti hospital, klinik dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dibangunkan. Prasarana pengangkutan yang sifatnya me­rentasi bakal dibina dan ia memudahkan jalan perhubungan dan memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi dan ke­usahawanan.

Gaji kakitangan kerajaan me­ningkat, amaun Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) bertambah, mengurangkan kos sara hidup diberi perhatian, manfaat cukai barang dan perkhidmatan (GST) dikembalikan kepada rakyat, status wanita dipertingkat, binaan rumah mampu milik diperhebat, fokus terhadap pembangunan belia dipertingkatkan dan program untuk warga emas, pesara dan kelompok kurang upaya diperbanyakkan.

Manifesto BN yang terkandung 14 teras dan 364 inisiatif adalah suatu testimoni perancangan lima tahun Malaysia masa depan yang bukan berdiri atas angan-angan dengan tujuan memancing undi tetapi ia dirancang secara strategik supaya matlamat transformasi menjadi negara maju tercapai dan kedudukan Malaysia di dunia antarabangsa semakin terserlah.

Manifesto pem­bangkang semacam kehila­ngan arah. Ia bersifat populis, menjebak sokongan rakyat dan bukti yang jelas ialah krisis air yang berlaku di Selangor yang sehingga kini belum mampu diselesaikan, isu rasuah yang berlaku di Pulau Pinang yang sedang dibicarakan di mahkamah dan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebagai negara bermasyarakat majmuk, manifesto BN meraikan masyarakat berbilang kaum di semua peringkat. Ia membela masyarakat minoriti khususnya kaum India dan masyarakat Cina dalam pendidikan malah pembangunan masyarakat rumah panjang di Sarawak.

Isu perpaduan amat penting bagi Malaysia. Tidak harus ada dalam kalangan kaum mempunyai dendam perkauman terhadap kaum lain.

Kewujudan kartel orang te­ngah mengaut keuntungan dalam pemasaran dan penjualan dari­pada penat-jerih nelayan dan petani menyebabkan kos harga barang meningkat dan mengakibatkan kebencian kepada kerajaan. Ia juga adalah suatu strategi politik pembangkang yang amat hodoh dan cauvinis.

Manifesto BN memberi fokus tentang hari depan Malaysia yang bakal berdepan dengan pelbagai cabaran seperti yang terdapat dalam Revolusi 4.0, teknologi siber yang sedang berkembang, perubahan sosiobudaya yang pantas berlaku dengan mewujudkan strategi Transformasi Nasional 2050 (TN50) mempersiap-siagakan pemikiran generasi muda dengan senario masa depan dan persiapan terancang.

Salah satu strategi bijaksana dalam manifesto BN ini adalah memperkasa pendidikan Islam di pondok dan institusi pendidikan. Tradisi tahfiz menjadi perhatian kerajaan untuk ditransformasikan.

Keperluan sumber daya insan pada masa depan tidak saja di­niah (agama) sifatnya tetapi bentuk institusi yang menghasilkan integrasi ilmu (aqli-naqli) supaya generasi muda mempunyai fikrah yang holistik dan mampu menghadapi perubahan zaman dan cabaran lingkungan.

Penubuhan Kolej Universiti al-Quran yang diumumkan oleh kerajaan pada 2014 terkandung dalam manifesto ini adalah suatu rahmat yang perlu disyukuri.

Anak-anak yang sedang tekun belajar dalam program Ulul­albab di Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Mene­ngah Ke­bangsaan Agama mempunyai peluang melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi dalam bidang al-Quran dan tafsir di samping subjek diniah yang lain seiring dengan subjek ilmu-ilmu kemanusiaan, sains dan teknologi.

Ini menepati resolusi Persidangan Pendidikan Islam di Mekah (1977) yang menyarankan supaya pendidikan umat Islam harus berlandaskan tauhid dan tidak menolak kepentingan subjek sains dan teknologi. Ini sangat penting direalisasikan dan kerajaan komited dengan strategi ini supaya umat Islam tidak hanya menjadi pengguna kepada kekuatan orang Barat tetapi bakal menjadi penyumbang kepada umat manusia yang lain.

Terpengaruh dengan manifesto yang menjanjikan bulan dan bintang akan akhirnya menyebabkan negara berada dalam keadaan konflik dan cacamarba. Memilih sebuah kerajaan yang mempunyai track-record yang cemerlang adalah asas membuat pilihan.

Pilihan yang tepat dan benar adalah suatu amanah. Fikirkan generasi hari depan anak-anak kita yang memerlukan negara meraikan potensi mereka supaya mereka dapat menyumbang ke arah Malaysia yang gagah.

Ini hanya boleh berlaku jika kestabilan politik wujud, kemajuan ekonomi dan pembangunan modal insan terjadi.