Namun UMNO terus gagah mengharungi gelora yang kadangkalanya terlalu ganas termasuk kebimbangan parti itu akan karam apabila dilanda tsunami politik dalam dua pilihan raya umum (PRU) lalu .

Bagi Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO, Datu k Seri Dr. Ahmad Zahid Ham idi, pengalaman itu banyak mengajar UMNO untuk bangkit kembali dan menyusun semula gerak kerjanya.

Walau bagaimanpun ketika berkongsi aspirasi beliau menjelang sambutan ulang tahun ke-71 UMNO Khamis ini, Ahmad Zahid memberitahu wartawan Mingguan Malaysia DATUK ZULKE FLI HAMZAH, NIZAM HAMID, HAMDEN RAMLI, KAMIL MASLIH dan jurufoto FAUZI BAHARUDIN, ahli UMNO dan kepemimpinannya tidak boleh tengggelam dengan pujian tukang-tukang kipas yang menyebabkan mereka mengantuk dan terlena sehingga tidak bekerja untuk mengukuhkan parti.

Menurut beliau, PRU-14 nanti adalah waktunya untuk UMNO menebus kekecewaannya dalam PRU-12 dan PRU-13.

“Ini adalah waktunya yang paling baik untuk kita buktikan bahawa agenda agama, bangsa dan negara mengatasi agenda peribadi dan kita ketepikan perbezaan kalangan kita demi kemenangan UMNO
dan BN,” tegas beliau.

 

MINGGUAN: UMNO akan menyambut umurnya yang ke-71 tahun pada 11 Mei, pada titik manakah UMNO sekarang dan di manakah akan UMNO dibawa?
AHMAD ZAHID
: Alhamdulillah, selama tujuh dekad UMNO bukan sahaja merangkak dari peringkat penubuhan malah sekarang telah berlari. Satu larian yang pada hemat saya menjangkau hingga tahun 2050. Ertinya, kita mempunyai fasa seterusnya kerana UMNO harus diberikan kesinambungan rohnya dan UMNO tidak hanya memikirkan era lampau tetapi relevansi dengan waktu kini, malah akan mengimbau untuk tiga dekad akan datang. 
Ini memperlihatkan bahawa UMNO itu sentiasa dihidupkan dengan pemimpin yang datang dan pergi dengan prinsip UMNO tetap utuh, tetapi pendekatannya berbeza-beza, pengisian kepada erti kemerdekaan disesuaikan dengan cita rasa generasi di dalam sesuatu era kepimpinannya. 
Ertinya, UMNO insya-Allah akan terus relevan dan kaedah merelevankan itu bergantung kepada bagaimana kepemimpinan dalam UMNO itu meletakkan ramuan di dalam acuan perjuangan UMNO.

Sambutan pada 11 Mei ini akan diadakan secara besar-besaran di sebuah stadium, bolehkah Datuk Seri huraikan signifikan sambutan 71 tahun UMNO ini?
AHMAD ZAHID:
Kita pernah mengadakan sambutan beberapa tahun lalu juga di stadium. Sepatutnya kita mengadakan sambutan ulang tahun ke-70 juga di stadium tetapi oleh sebab insiden helikopter di Sarawak yang mengorbankan dua pemimpin UMNO, maka ia ditangguhkan pada tahun ini. 
Signifikannya bagi memperlihatkan kebersatuan bukan hanya kepemimpinan tetapi juga di akar umbi kerana kepemimpinan UMNO pernah digoyahkan dua tahun lalu. Dan ia dilakukan untuk memperlihatkan manifestasi yang insya-Allah, UMNO akan terus berada di garis hadapan kepemimpinan negara.

 Apabila menyebut di garisan hadapan, adakah Datuk Seri turut bermaksud UMNO juga mengatasi parti-parti lain, sekarang ini cabaran daripada Pakatan Harapan yang diketuai DAP sudah menggabungkan elemen yang dahulu pernah menjadi rakan dalam UMNO?
AHMAD ZAHID:
 Di garis hadapan kerana kita adalah peneraju kepada sebuah komponen parti pelbagai agama dan kaum di bawah BN (Barisan Nasional). Di garis hadapan juga bahawa kita telah memperlihatkan prestasi dan juga rekod pencapaian, yang pada hemat saya, jika dinilai dengan penuh keluhuran, harus diakui bahawa UMNO itu banyak memberi sumbangan kepada rakyat dan negara keseluruhannya. Di garis hadapan juga, UMNO telah meletakkan beberapa batu asas yang pada hemat saya bukan hanya untuk generasi lampau dan generasi kini tetapi diletakkan untuk generasi milenium yang akan datang. 
Ertinya kita meletakkan pengharapan kepada semua kumpulan sasar yang ada yang terdiri daripada rakyat keseluruhannya dan kita mengetepikan beberapa perbezaan atas nama negara.
 Kita menerimanya sebagai satu keharmonian yang sukar diwujudkan di peringkat awalnya tetapi tidak mustahil untuk diterjemahkan demi kepentingan negara.

 

SAMBUTAN ORANG MUDA


Transformasi Nasional 2050 (TN50) menarik minat banyak golongan muda mengenai perkembangan negara, bagaimana Datuk Seri melihat sambutan orang muda terhadap UMNO dengan pelbagai inisiatif seperti TN50 dilaksanakan? 
AHMAD ZAHID:
TN50 bukan hanya satu program untuk orang muda, ia mempunyai sekurang-kurangnya 13 kluster yang berbeza mengikut kumpulan yang bukan hanya kepada peringkat umur tetapi juga kepada profesion dan juga kepada beberapa kumpulan masyarakat yang dibentuk. Saya sendiri mempengerusikan kluster agama, keselamatan dan juga pesara. Saya diberi peranan untuk menakhoda tiga kluster. Kepedulian kepada semua kumpulan diambil kira biarpun sebahagian besar kepemimpinan kerajaan dan parti ketika itu mungkin tidak lagi berada di kefanaan dunia ini.
Yang dilakukan sekarang bukan untuk diri sendiri tetapi generasi akan datang. Ertinya sikap kepedulian ini diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana kita mahu melihat bahawa generasi milenium, selain daripada generasi Y yang ada sekarang ini, juga diberikan beberapa program yang bersesuaian dengan cara pemikiran dan cita rasa mereka.

 Datuk Seri, generasi muda dilihat semakin jauh daripada UMNO dalam dua pilihan raya sebelum ini, bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini ?.  
AHMAD ZAHID:
Ya, dua pilihan raya umum yang lalu, PRU-12 dan PRU-13 memang kita lihat agak lari dari segi bukan hanya jumlah kerusi tetapi juga undi popular. Saya tidak mahu menuding jari tetapi mungkin kaedah pendekatan komunikasi kita tidak bersesuaian ketika itu kerana ia hanya menggunakan pendekatan bersemuka sedangkan kaedah komunikasi itu telah bertukar kepada kaedah komunikasi tanpa lisan. 
Apatah lagi ia telah bertukar daripada komunikasi tanpa lisan melalui media cetak dan media elektronik kepada media alternatif, ertinya kaedah-kaedah media sosial telah dipergunakan sepenuhnya di mana UMNO dan BN agak terlewat untuk mengikuti trend perkembangan itu. Tetapi insya-Allah tidak lagi dalam PRU-14. UMNO akan mengambil langkah melalui kaedah-kaedah baharu.

 

TSUNAMI MELAYU & UMNO

Ada pihak meramalkan bakal berlaku tsunami pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti selepas berlakunya tsunami pengundi Cina sebelum ini, apa pandangan Datuk Seri? 
AHMAD ZAHID:
Saya berharap tsunami itu berlaku tetapi memihak kepada UMNO dan memihak kepada realiti kepentingan perpaduan dalam kalangan orang Melayu sendiri, atas nama agama, atas nama bangsa, demi kepentingan negara. Saya melihat dari dekat perkembangan ini, bukan ertinya kita mahu menolak agama atau bangsa lain tetapi hakikat keindukan itu mesti diperakukan oleh semua rakyat di negara ini.

UMNO disifatkan sebagai parti keramat kepada orang Melayu, bagaimana Datuk Seri melihat kekeramatan UMNO?
 AHMAD ZAHID:
Kekeramatan UMNO itu bukan hanya pada namanya tetapi kepada perkukuhkan semangat yang ada dan kita tahu bahawa (jumlah) ahli-ahli UMNO itu semakin meningkat. 
Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan telah mendapat maklumat bahawa keahlian UMNO setakat akhir bulan April lalu berjumlah tidak kurang daripada 3.6 juta orang. 
Bulan April sahaja terdapat peningkatan 37,000 ahli baru, bulan Mac 22,000 ahli, dan sebelum itu bulan Februari dan bulan Januari berada sekitar 15,000 ahli, ertinya ia tidak menurun, malah meningkat.
Yang cukup menyegarkan semangat kami apabila kaunter pendaftaran keahlian UMNO di ibu pejabat memperlihatkan trend kehadiran anak-anak muda untuk mendaftar  sama ada secara online atau hadir sendiri yang tidak kurang 250 orang purata sehari. 
Alhamdulillah, jika benar, kita merasakan timbul semacam satu minat dalam kalangan generasi muda dan mereka yang belum menjadi ahli UMNO untuk mendaftar sebagai ahli.

Adakah ini bermaksud orang Melayu masih bergantung harap kepada UMNO walaupun parti ini seringkali digegar fitnah dan tohmah kononnya UMNO sudah tidak relevan?
AHMAD ZAHID:
 Saya amat bersetuju dengan pandangan itu tetapi kita jangan tengggelam dengan pujian atau jangan tenggelam dengan tukang-tukang kipas yang buat kita mengantuk terlena untuk tidak bekerja, dan pada hemat saya, kita berasakan bahawa UMNO lebih tersusun.
 Tersusun bukan sahaja dalam menghadapi PRU-14 tetapi menghadapi beberapa cabaran sebelum ini termasuk dalam pindaan rang undang-undang.
 
Negara diasak dengan ancaman tidak hanya daripada kumpulan militan tetapi juga golongan liberal yang menyalah tafsir ajaran Islam, bagaimana Datuk Seri melihat tanggungjawab UMNO memelihara kesucian Islam?
AHMAD ZAHID:
Saya sendiri mempengerusikan Majlis Perundingan Islam (MPI) dan di sana terkumpul semua tokoh agama, para ilmuwan, agamawan dan ulama tanpa mengira latar belakang pegangan parti politik mereka dan tanpa memberikan ketaksuban di mana mereka terdidik sama ada dalam negara atau luar negara. Mereka bersatu untuk bersetuju dan bersatu untuk tidak bersetuju.
Di situ kita meletakkan keutamaan agama sebagai asas pengukuhan ummah dan kami telah mempunyai tiga lajnah atau kategori kumpulan berbeza untuk menangani isu-isu berkenaan. 
Pada hemat saya, keberadaan ulama-ulama yang pelbagai latar dan juga pemuka-pemuka dalam bidang akademik, ekonomi dan perundangan yang berada dalam MPI itu satu manifestasi mereka sanggup mengetepikan perbezaan-perbezaan demi agama dan negara kita.


SETIA BERSAMA UMNO ATAU BERPECAH


Sejarah pembabitan politik Datuk Seri amat panjang termasuk pernah ditahan di bawah ISA tetapi Datuk Seri tidak tenggelam untuk terus setia bersama kepada UMNO. Apakah pegangan Datuk Seri dalam menghadapi pelbagai cabaran ini?
AHMAD ZAHID:
Saya berpegang kepada tiga elemen iaitu taat kepada Allah, taat kepada Rasul dan taat kepada kepemimpinan.
 Soal ini adalah soal wala’. Ertinya ketaatan kepada kepemimpinan adalah prasyarat kepada keutuhan kepemimpinan sebagai satu institusi dan saya melihat, siapa juga pemimpin, saya harus taat.
 Biarpun kita mungkin berbeza pendapat tetapi kaedah perbezaan pendapat itu mungkin agak berbeza sewaktu kita muda tetapi apabila kita telah cukup matang, pendekatan perbezaan pendapat dapat disampaikan dengan cara lebih berhemah dan hasanah.

 Ada mereka yang keluar dari UMNO kata mereka bukannya tidak setia kepada UMNO tetapi mereka mahu menegakkan kebenaran, bagaimana untuk menyanggah hal seperti ini?
AHMAD ZAHID:
Ramai yang sudah tenggelam apabila UMNO itu terpecah ketika Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan, Pengerusi Biro Agama UMNO ketika dahulu itu yang berpendapat dengan pendapat sama, maka beliau telah menubuhkan Pas. 
Begitu juga Datuk Onn Jaafar apabila mahu membuka pintu UMNO kepada bukan Melayu, akhirnya beliau telah tubuhkan Parti Kemerdekaan. Tidak ramai pengikut pun, selepas itu tubuhkan Parti Negara, pun tidak ramai pengikut. 
Tengku Razaleigh juga pada satu ketika dahulu pernah menubuhkan Parti Semangat 46. Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tubuhkan PKR (Parti Keadilan Rakyat), Tun Dr. Mahathir Mohamad tubuhkan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). 
Kita lihat sahajalah sebab tidak pernah ada sejarah parti serpihan UMNO, selain daripada Pas, yang mempunyai tonggak kekuatan yang kukuh.

 Mereka masih berpegang pada konsep tegakkan kebenaran.  Setakat ini, apakah kebenaran dijunjung oleh mereka terutama PPBM atau ada hal-hal lain?
AHMAD ZAHID:
 Saya fikir kebenaran untuk diri mereka sendiri, bukan kebenaran untuk parti. 

 Bukankah perkembangan seperti ini yang menyebabkan orang Melayu pecah?
AHMAD ZAHID:
 Ya, pada tahun 1987 dan 1988 juga orang Melayu berpecah, ada team A dan team B tetapi akhirnya, hakikat sayang kepada UMNO itu masih wujud. Akhirnya UMNO itu wujud semula walaupun telah diharamkan dan didaftarkan semula atas nama UMNO Baharu. Akhirnya hakikat kewujudan UMNO itu masih diperlukan oleh orang-orang Melayu keseluruhannya.

Ramai yang berkata kewujudan PPBM dan PAN memungkinkan undi Melayu akan berpecah?
AHMAD ZAHID:
Ya, dahulu pun masa Semangat 46, analisisnya pun begitu, PKR juga analisis sama. Saya harap PPBM ini, analisis yang sama ini tidak akan direalisasikan kerana akhirnya orang Melayu berasa kepentingan kebersamaan itu harus menjadi tonggak keutamaan mereka.

Ramai juga orang di luar sana yang keliru mengenai hubungan antara UMNO dan Pas?
AHMAD ZAHID:
Kita tidak bertahaluf tetapi kita bertabayyun dan bertaawun, ertinya kita mempunyai kesefahaman terhadap isu dan melakukan pencerahan terhadap beberapa pendekatan.
 Ia bukannya kolaborasi politik dalam bentuk coalition atau bentuk sesebuah organisasi politik yang terdaftar. Oleh sebab itu, biar masyarakat keliru asalkan mereka tidak salah untuk memilih calon-calon UMNO dan BN apabila bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

PPBM bergabung dalam pakatan yang dikuasai oleh DAP, sebuah parti yang cauvinis, bagaimana untuk sedarkan orang Melayu mengenai bahayanya perkara ini? 
AHMAD ZAHID:
Selama ini pun DAP menjadikan parti-parti rakan mereka sebagai kuda-kuda tunggangan dan Pas menyedari bahawa mereka tidak harus diperkudakan lagi. 
Ini merupakan satu perkembangan yang baik tetapi kalau rakan-rakan dalam parti-parti (Pakatan Harapan) itu tidak menyedari mereka ditunggangi DAP yang mempunyai kepentingan cauvinistik, tentunya akhirnya mereka akan juga kecewa, yang menang di pihak sana hanya DAP.

Apakah pesanan Datuk Seri kepada ahli-ahli UMNO menjelang sambutan ulang tahun UMNO ke-71 ini terutamanya dalam menghadapi PRU-14? 
AHMAD ZAHID:
Kita berada di satu perjalanan yang tidak lagi sesukar dahulu, dan pada hemat saya, inilah ketika bagi kita menebus kekecewaan dalam PRU-12 dan PRU-13. 
Ini adalah satu ketika paling baik untuk kita buktikan bahawa agenda agama, bangsa dan negara mengatasi agenda peribadi dan kita ketepikan perbezaan kalangan kita demi kemenangan UMNO dan BN keseluruhannya. Inilah waktunya.

 

GENDANG PRU-14


Dengan sambutan ulang tahun UMNO dibuat secara besar-besaran, adakah ini juga bermakna gendang pilihan raya UMNO telah lebih kuat dipalukan?
AHMAD ZAHID:
Gendang itu sebenarnya telah dipukul beberapa ketika lalu, sama ada gendang itu kuat atau perlahan bergantung kepada tempo bagaimana penerimaan masyarakat keseluruhan.
Tetapi pada hemat saya, hakikat bahawa tarikh terakhir kita mengadakan pilihan raya adalah mengambil kira tarikh permulaan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah, ia akan berakhir pada 24 Jun 2018. Dan ada tempoh enam bulan selepas itu, iaitu sangat-sangat nazak kalau tempoh itu dilanjutkan.
Tentunya, bukan hanya UMNO dan Barisan Nasional sahaja yang berada dalam keadaan siap siaga tetapi parti politik lain juga saya yakin telah bersiap siaga, bukan hanya memperkemas dan menggerakkan jentera pilihan raya, malah saya dimaklumkan mereka telah bersedia dengan senarai calon dan mereka sedang bergaduh untuk menentukan siapa calon.

Pas yang telah keluar daripada pakatan pembangkang menyatakan kesediaan untuk bertanding tiga penjuru, adakah ini peluang mudah untuk UMNO dan BN menang dalam pilihan raya?
AHMAD ZAHID:
Tidak semudah itu kerana kita harus mengikut hakikat. Pas mempunyai kekuatannya sendiri. Pakatan Harapan juga cukup yakin mereka mempunyai kekuatan walaupun hampir terlerai dan terburai kesepakatan mereka.
Tetapi insya-Allah, UMNO dan rakan-rakan dalam BN semakin memperkukuhkan asas kerana kita telah melakukan muhasabah secukupnya terhadap kelemahan dalam PRU-12. Biarpun prestasi PRU-13 memperlihatkan UMNO meningkat jumlah kerusinya tetapi kita tidak cukup selesa sebelum kita menentukan seluruh jentera di semua peringkat dipersiap kemaskan keseluruhannya.