Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Inilah politik! 
Selamat bersidang...

MALAM kelmarin saya diundang ke satu majlis ‘kenduri politik’ di sebuah kawasan perumahan elit di Bukit Damansara. Kira-kira enam orang MB ha­dir. Hampir kesemua ahli-ahli MT turut hadir.

Makanan ala kampung adalah menu utama, siap dengan udang galah yang besar-besar serta durian raja musang sebagai pencuci mulut. Mungkin hosnya mahu meraikan tetamunya menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2015 ini. Masing-masing dengan kotak perbincangan masing-masing.

Ada yang dipanggil menyanyi. Ada juga beberapa MB yang mendendangkan lagu. Semuanya tidak menunjukkan muka bermasalah. Tuan rumah yang mengendalikan majlis bijak menggembirakan tetamu. Semua gembira.

Di meja saya sesekali ada MT yang bertanya “ramaikah?” Saya kemudian membelek smart phone dan mencari jawapan yang ditanya.

Semasa kenduri itu berlangsung, di satu penjuru di tengah bandar raya KL, Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin sedang berucap di Kelab Sultan Sulaiman. Ramai yang hadir sekadar ingin tahu apa yang akan disampaikan. Malangnya, ramai yang meluahkan perasaan di alam maya sambil mengomel “cerita lama...” “Tiada cerita baharukah. Asyik-asyik isu 1MDB.” Tun Mahathir Mohamad dan Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal juga hadir.

Muhyiddin mengambil pendekatan menyerang bosnya secara terbuka. Begitu juga Shafie.

“Disebabkan majlis itu saya kini 200 percent di belakang Presiden UMNO!” - kata seorang pengamal media sosial yang pergi mendengar ucapan itu. Apa maksudnya kita kena tafsir sendirilah.

Majlis di Dewan Sultan Sulaiman itu gagal memberi impak. Ramai yang mengatakan Muhyiddin sudah tersalah percaturan kerana mengadakan perhimpunan itu. Beliau sepatutnya “stay cool, bertenang dalam menangani krisis dirinya”.

Ramai yang berkata Muhyiddin bukan Anwar Ibrahim untuk menarik sokongan massa ke jalanan. Kedua-duanya terlalu jauh dari segi aura politik dan stail berpidato.

Tidak pasti siapa yang menasihatinya? Pergolakan dalaman parti adalah lumrah dalam UMNO. Ada putarannya krisis akan berlaku. Sebagai sebuah parti yang terlalu matang, ia harus diselesaikan secara matang. Kematangan itu bergantung sejauh mana ia ditangani.

Adakah Muhyiddin ‘cari pasal’ bagi membolehkan beliau dipecat? Adakah UMNO akan memecatnya serta-merta ekoran perhimpunan Kelab Sultan Sulaiman itu? Atau, adakah parti itu akan menunggu sehingga berakhirnya Perhimpunan UMNO untuk memecatnya atau juga tiada tindakan diambil? Semuanya kita kena tunggu dan lihat.

Apabila bersembang dengan para strategis politik sebuah universiti, beliau berkata UMNO harus menangani isu itu dengan segera.

Dalam seni perang politik siapa cepat bertindak dia menang. Krisis harus ditangani dengan cepat. Seni perang yang gelap (the black art of war) sering mempromosi supaya dua jeneral atau pemimpin ter­tinggi akan bunuh membunuh, yang hasilnya satu akan mati, atau kedua-duanya akan mati. Pihak musuh akan cuba mengapi-apikan suasana untuk memastikan matlamat mereka tercapai.

Perhimpunan UMNO yang bermula hari ini harus dijadikan satu medan untuk memperkukuhkan semula ukhuwah antara anggota parti.

Walaupun ada yang mengatakan perhimpunan kali ini dijalankan secara “autokratik” berdasarkan sesiapa yang akan berucap, sekatan yang ketat dan sebagainya, parti itu mempunyai pendekatannya tersendiri.

Kita harus ingat parti pemerintah di Singapura, PAP yang baru selesai mengadakan perhimpunan agungnya, telah menjalankan sesi itu secara air tight - tertutup dan tiada liputan media.

Tiada siapa pun yang gusar dan gundah dengan arahan parti PAP itu. Itu pasal sebagai orang media, saya melihat bahawa kebebasan media sosial di negara ini terlalu terbuka, sehingga sering menyusahkan negara.

Semua tumpuan negara sudah pasti ke arah Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Mereka mahu melihat sejauh mana parti terbesar di negara ini berupaya meyakinkan rakyat jelata. Kuatnya UMNO maka kuatlah negara ini.

Semua pihak waima pihak pembangkang mengakui hakikat itu. Namun dalam politik sudah tentu ada musuh. Sama ada musuh dalam selimut. - trojan horse, atau musuh yang nyata, strategi melawan harus diperkukuhkan. Bohonglah jika parti politik mengatakan ia tiada musuh.

Musuh nyata sedang menggunakan segala jentera keganasan persepsi - memetik istilah baharu Pusat Kajian Perang Saraf Media UiTM - untuk menyesatkan pemikiran rakyat.

Kekuatan tiga juta lebih ahli UMNO, perlu digerakkan secara sistematik untuk memenangkan semula hati rakyat.

Itulah sepatutnya matlamat Perhimpunan UMNO kali ini. Letak ketepi retorik. Rakyat mahu melihat apa yang UMNO boleh buat untuk membela mereka. Beri jaminan kepada rakyat dan ulangi jaminan itu. Cuba tutup kemelut dalaman yang berlaku dengan satu pendekatan yang lebih positif.

Bagi Muhyiddin pula saya tidak tahu apa pendekatan yang beliau sedang gunakan? Selepas majlis di Kelab Sultan Sulaiman itu malam kelmarin dan sepanjang sidang UMNO ini, Muhyiddin akan duduk di sebelah bosnya Najib.

Saya cuba membaca apa pe­rasaannya ketika itu? Sebagai orang bukan politik saya berkata dalam hati saya “inilah politik!”

Selamat bersidang.

KEMBALI KE PANGKAL JALAN

SEMPENA dengan Perhimpunan Agung UMNO ini seorang sahabat bersembang dengan saya. Idea beliau hebat juga. Beliau bercakap mengenai UMNO yang harus berubah. Istilah beliau ialah UMNO perlu diformulasi dan dikonsepsikan semula. Berat istilah-istilah itu. Namun ada kebenarannya.

Katanya, UMNO kini kehilangan satu kekuatan nilai spiritual, asas dan falsafah perjuangan yang amat berharga.

Nilai, asas dan falsafah ini adalah terangkum dalam nasionalisme atau semangat kebangsaan Melayu/Pribumi. Lantas pendekatan paling berkesan untuk mengatasi kehilangan ini adalah kembali ke pangkal jalan. Fahami semangat kebangsaan atau nasionalisme ini, kaji apa ciri-cirinya yang paling evergreen dan kenal pasti faktor perangsangnya.

Berasaskan latar belakang di atas, ingat semula kata-kata Dato’ Onn Jaffar bahawa UMNO diwujudkan supaya Melayu selamat, dan UMNO akan selamat jika Melayu kuat dan bersatu padu. Inilah ayat keramat yang merangsang ledakan nasionalisme Melayu pada tahun 1946.

Namun ledakan nasionalisme ini berlatar belakangkan ancaman kepada Melayu pada ketika itu, iaitu tindakan penjajah mahu menghapuskan identiti Melayu dan institusi kesultanan Melayu. Lantas semangat nasionalisme itu dipupuk dan diperkukuhkan menjadi satu kuasa untuk memerdekakan Tanah Melayu.

Hari ini UMNO masih memerlukan semangat nasionalisme Melayu dalam konteks Malaysia yang majmuk. Oleh yang demikian, semangat nasionalisme ini perlu diformulasi, dikonseptualisasi atau dikaji semula supaya terus menjadi satu kuasa penyatuan, permuafakatan dan solidariti Melayu demi kepentingan semua rupa bangsa di Malaysia.

Pendekatannya: Himpunkan semula para pejuang UMNO, adakah gerakan massa dari peringkat cawangan hingga ke peringkat nasional, adalah perbincangan town hall, adakan wacana akademik dan intelektual, adakah road show, adakan forum, dan konvensyen atas satu tema - memformulasikan semangat nasionalisme Melayu di abad ke-21.

Semua aktiviti ini dilaksanakan dalam masa tiga hingga enam bulan. Klimaksnya adalah konvensyen nasionalisme Melayu abad ke-21 me­rangkumi perbincangan dalam pelbagai aspek Melayu supaya kukuh, kuat, bersatu hati, dan bermuafakat.

Gunakan strategi pemujukan, gunakan pendekatan-pendekatan penyelidikan untuk mencipta satu imej psikologi bahawa Melayu dalam keadaan tidak selamat dan perlu kukuh, bersatu dan bermuafakat untuk kembali selamat. Gunakan konsep wassatiyyah sebagai asas nasionalisme Melayu abad ke-21. Beliau yakin menerusi strategi itu Najib Razak akan berupaya me­lonjakkan imejnya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain