“Dalam kehidupan sedari kecil, ibu bapa didik saya dan diamalkan semasa bekerja  sampai sekarang, apa jua tanggungjawab yang diberikan kepada saya akan dilaksanakan sebaik mungkin. 

“Dan kalau memerlukan pengorbanan masa, pengorbanan apa jua pun saya, akan buat  pengorbanan ini. Kalau rasa terlalu berat dan tak boleh  lakukan baru saya akan tolaklah. 

"Tapi oleh kerana saya telah terima tanggugjawab ini saya akan buat sebaik mungkin,” tegas Marina lagi. Mengimbau kembali pengalamannya selama 39 tahun berkhidmat sebagai pentadbir sukan, Marina ternyata telah melalui pelbagai cabaran bermula sebagai seorang guru, jurulatih, pengetua dan sebagai seorang pengarah sukan.  

Kesemua pengalaman berharga itu sedikit sebanyak   melatihnya untuk memikul apa jua tanggungjawab yang diamanahkan. 

“Saya rasa untuk menjadi seorang CDM sempena Sukan SEA ini,  saya mempunyai satu kelebihan. Saya banyak kenal atlet-atlet dalam kontinjen Malaysia. Separuh daripada mereka pernah menjadi anak murid saya,” ungkapnya dalam senyuman yang penuh ceria. 

Ada antara atlet adalah anak kepada kawan-kawan seperjuangan Marina semasa beliau menjadi ratu trek kebangsaan suatu waktu dulu. 

Meskipun ada juga atlet tersebut bukan pelajar beliau semasa menjadi Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil tetapi disebabkan minat, beliau sentiasa mengikuti  perkembangan atlet tersebut yang sering disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan. 

Komitmen  

Mengenai persiapan keseluruhan menghadapi temasya kali ini, secara jujur Marina mengakui amat berpuas hati dengan persiapan serta kesungguhan yang ditunjukkan para atlet dalam keseluruhan acara yang dilawatinya seperti silat, menembak, olahraga, bola jaring, akuatik, badminton, sukan perahu layar serta bola sepak. 

Malaysia akan diwakili seramai 871 atlet dalam 38 jenis sukan meliputi 404 acara.

“Saya dah banyak melawat pasukan dan di merata-rata tempat saya pergi semasa mereka buat latihan, mereka (atlet) menunjukkan komitmen yang sangat tinggi. 

“Saya yakin Malaysia boleh jadi juara,  bukan berdasarkan pengalaman atau kepakaran saya, tetapi dari segi komitmen yang saya nampak daripada atlet semasa  melawat selama setahun setengah,” katanya penuh yakin. 

Kali terakhir Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan temasya Sukan SEA ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada tahun 2001 dengan mengumpul 111 pingat emas, 98 perak dan 86 gangsa.

Marina mengakui Program ‘Kita Juara’ yang diatur oleh Majlis Sukan Negara (MSN) begitu mantap. 

Melalui program itu lebih ramai atlet diberi peluang berlatih dalam satu sistem yang mantap dan bersistematik. 

“Dan daripada jumlah yang besar telah dikecilkan sehingga kita dapat atlet yang kita katakan yang betul-betul layak untuk mewakili Malaysia dalam sukan SEA kali ini,” akuinya. 

Melalui program ‘Kita Juara’, Marina mengakui sudah mula nampak tanda-tanda keberkesanan program tersebut kerana atlet-atlet negara sekarang sudah membuat  catatan masa lebih baik. 

“Sebagai contoh, Jun Hoong pun sudah jadi juara dunia,” katanya mengulas pencapaian terbaik atlet yang di lahirkan melalui program ‘Kita Juara’ oleh MSN. Cheong Jun Hoong bergelar juara dunia apabila meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest pada 9 Ogos 2016. 

Pingat emas ini adalah yang pertama buat negara sepanjang penyertaan atlet dalam kejohanan akuatik dunia itu apabila Jun Hoong meraih 397.50 mata menumpaskan juara Olimpik, Ren Qian.   Dari segi ramalan dan jangkaan pingat diperoleh negara, Marina enggan menjawab sebaliknya menyerahkan kepada Menteri Belia dan Sukan untuk mengumumkannya nanti. 

Namun beliau menegaskan semua atlet negara yang bertanding berpeluang mendapat pingat yang dipertandingkan dalam temasya kali ini jika menunjukkan prestasi sebenar dalam sukan yang disertai.

“Saya rayu kepada mereka (atlet) supaya menjaga kesihatan. Elakkan sebarang kecederaan. Jika perlu dapatkan perlindungan tambahan. Korbankanlah masa. Teruskan, fokus untuk latihan. Apa saja boleh berlaku,” katanya.