My truth, your truth and the truth.

Yang kita bimbangkan adalah segelintir media asing cuba memperjuangkan kebenaran (truth) mereka. Sewajarnya bukan my truth, your truth tetapi the truth (kebenaran itu). Dan the truth untuk digapai, haruslah berlandaskan bukti konkrit dan bukan daripada sumber tidak berwibawa.

Corak pemberitaan media asing­ agak terbiasa ‘terpengaruh dengan sentimen’. Apa lagi jika ditulis dalam bentuk begitu me­yakinkan dengan teknik penulisan seolah-olah profesional.

Contohnya, apa yang dijaja oleh Sarawak Report selama ini terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta Kerajaan Malaysia yang rupa-rupanya hanya sekadar fiksyen semata-mata.

Ini ekoran penolakan Mah­kamah London pada 2 Ogos lalu berkenaan hujah Clare Rewcastle Brown, yang mendakwa dia enggan membawa satu kes membabitkan dirinya dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke mahkamah di Malaysia kerana badan kehakiman, Kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri mengamalkan rasuah dan bersekongkol dengan presiden Pas itu.

Bukankah ini sekali gus membuktikan Ketua Pengarang Sarawak Report itu berhujah tanpa bukti kukuh? Hujah Clare itu bukan sahaja ditolak oleh hakim, malahan menunjukkan dia gagal untuk mengemukakan bukti bagi menyokong tuntutan dalam kes itu walaupun mengambil masa selama berbulan-bulan.

Hakikatnya, mahkamah secara jelas menyatakan bahawa dia tidak boleh secara membabi buta melabelkan negara berdaulat (atau badan kehakimannya) sebagai korup tanpa bukti kukuh. Ini terutamanya sejak United Kingdom (UK) dan Malaysia berkongsi hubungan dua hala yang baik.

Raggie Jessy dalam satu rencana dalam laman thethirdforce.net. turut me­ngulas keputusan Mahkamah London itu yang menetapkan Abdul Hadi hanya perlu membayar RM80,000 dan bukannya RM4.5 juta (£800,000) sebagaimana yang dituntut oleh Clare sebagai deposit jaminan keselamatan sekiranya Presiden Pas itu kalah dalam kes berkenaan.

Saman itu dikemukakan Pas apabila Clare melalui Sarawak Report menuduh Najib telah mera­suah Abdul Hadi selaku presiden Pas sebanyak RM90 juta daripada dana 1MDB.

“Dan jangan lupa, kita bercakap tentang badan kehakiman Malaysia, badan kehakiman yang memberikan lebih banyak kemenangan kepada pembangkang di Malaysia berbanding dengan kerajaan Malaysia sendiri, dengan purata 8:2 yang memihak kepada pembangkang.

“Malah, Majlis Peguam Malaysia telah dituduh berpolitik terhadap kerajaan dengan bukti me­nunjukkan bahawa suatu dana telah disalurkan dari asas yang diragui, yang diketahui mempunyai hubungan dengan organisasi pengganas dunia,” ulas Jessy.

Tegas Jessy, penolakan mah­kamah London berkenaan tuduhan tanpa bukti mengenai sistem kehakiman di Malaysia memberi implikasi negatif kepada Clare dan Sarawak Report.

“Jadi ia menampakkan kebodohan Clare, mungkin dia tidak menyedari bahawa kegagalannya mengemukakan bukti di mahkamah London telah mendorong hakim untuk memberikan penghakiman priori terhadap idea Najib atau badan kehakiman Malaysia adalah korup. Dalam erti kata lain, kini telah terbukti bahawa dakwaan Clare dalam pendedahannya sebelum ini hanyalah suatu kerja fiksyen.

“Dan ini bermakna rakyat Malaysia boleh yakin bahawa Sarawak Report hanyalah portal berita palsu yang menghasilkan transkrip e-mel, resit membeli-belah, dokumen perbankan, laluan wang dan apa yang ada pada anda tidak ada yang sahih, tidak ada yang boleh dipegang dalam mahkamah undang-undang,” ulas­nya lagi.

Moralnya, rakyat Malaysia perlu berhati-hati dengan tindakan campur tangan asing.

Sehingga hari ini pun Pakatan Harapan yang dikepalai DAP hanya menggunakan­ isu 1MDB sebagai um­pan untuk menabur kebencian rakyat terhadap kerajaan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Kita jangan alpa terhadap kemungkinan ancaman campur tangan asing. Ini lebih-lebih lagi selepas sambutan Hari Kebangsaan ke-60 dan menjelang Hari Malaysia 16 September ini - yang memerlukan rakyat negara ini disematkan semangat patriotik yang tinggi.

Kerajaan Melayu Melaka dulu gah sampai ke seluruh pelosok dunia. Siapa dapat bayangkan kerajaan hebat itu akan jatuh? Lagipun berapa banyaklah orang Portugis yang serang Melaka waktu itu. Entah berapa kapal sahaja. Tetapi kerana orang Melaka berpecah belah, benteng pertahanan orang Melaka punah. Dengan mudah sahaja Melaka hancur. Kita semua tahu siapa dajalnya masa itu. Si Kitul yang buat kacau, buat fitnah dan timbulkan kebencian dan syak wasangka. Akhirnya pemimpin Melaka berbalah. Me­laka jadi lemah.

‘Baling batu sembunyi tangan’ terhadap Malaysia perlu ditangkis.

Dan kita sepatutnya bertanya kepada Pakatan Harapan:

“Inikah sahaja tahap ‘kelas’ pembangkang di negara ini yang kelihatan bersungguh-sungguh pula mahu membawa masuk anasir asing demi kepentingan politik peribadi.”

Inikah ‘kelas’ pembangkang?