Ditanya wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL kepada Penasihat Sosiobudaya kerajaan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk kongres, Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam pertemuan sejam dengan beliau di ibu negara semalam, jawapan yang diberikan agak mengejutkan.

“Sebenarnya orang-orang tua pun lagi tak faham apa itu budaya.

“Budaya sering dikaitkan dengan joget dan ukiran tetapi budaya paras tinggi agak 'melaut’,” kata Rais yang berharap wawancara pendek ini dapat merungkai persoalan yang bermain di benak masyarakat terutama golongan ibu bapa.
 

Mingguan Malaysia: Apa signifikannya Kongres Budaya 2017 ini?

RAIS: Banyak orang tak faham apa nak buat kongres ini. Saya ingin tekankan soal tamadun orang Melayu khasnya dan budaya seluruh negara. Pertama, semenjak (Perdana Menteri kedua) Tun Abdul Razak mengumumkan Dasar Kebudayaan Nasional 1971, soal kebudayaan dan ketamadunan negara bangsa tidak pernah mendapat tempat yang sewajarnya.

Ini bermakna pada ketika 46 tahun tempoh pembudayaan itu, ia menempuh satu masalah besar. Pembudayaan sekadar dianggap joget, muzik dan ukiran. Mereka tidak melihat pembudayaan itu pada paras budaya tinggi. Erti budaya tinggi ialah nilai-nilai yang membentuk bangsa dan negara.

Soal tatanegara dan Rukun Negara ada dibuat. Yang menjadi masalah adalah ia tidak disebatikan dengan pendidikan tanah air dan sistem latihan bangsa. Kalau tidak capai semua ini, anak-anak muda ini tidak nampak.

Selama 46 tahun walaupun Dasar Budaya Kebangsaan 1971 berjalan terensot-ensot, namun soal matlamat melatih dan membuat tuangan negara bangsa menerusi pembudayaan tidak ada. Ini berbanding dengan negara-negara yang telah berjaya memupuk negara bangsa seperti Perancis, Britain, Jepun, Korea dan Taiwan dan China. Mereka membudayakan nilai hidup semenjak sekolah rendah lagi - bagaimana menyimpan kebersihan atau memastikan kebersihan sekitar

Itu diajar semenjak kecil sampai ke sekolah menengah dan universiti. Antaranya, membersihkan tandas sendiri, membersihkan rumah sendiri, menyayangi sungai dan memberi anggapan positif kepada gunung-ganang dan persekitaran laut kita. Ini tidak pernah diajar di sekolah kita dan dalam latihan kita walaupun kita telah berlamentasi tentang tandas kotor sejak berpuluh tahun. Cuma sejak era Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri keempat) sampai sekarang, hanya lamentasi sahaja, yang bermakna kata-kata dukacita dengan diarahkan sistem pembelajaran dan pendidikan membuat latihan.

Malah sekarang apabila disuruh anak-anak bersihkan tandas, akan ada ibu bapa menyatakan itu bertentangan dengan hak asasi manusia. Alangkah malangnya namun pihak berwajib tidak mampu mengubah sikap ini.

Yang menjadi masalah sekarang anak-anak tidak lagi menghormati ibu bapa, guru dan tidak mahu bergotong royong. Mereka tidak suka membersihkan alam sekitar dan tidak tahu menikmati dan menghargai seni.

Apa kesannya nanti?

RAIS: Dengan tiadanya (budaya paras tinggi) ini maka kita menjadi satu masyarakat yang melopong dengan melihat kebendaan semata-mata. Bersekolah pun hanya untuk dapat sijil. Cuma bermati-matian dapat sijil, dapat material tetapi

asuhan agama negara ini agak dukacita. Hanya luaran. Macam mana sekadar menghafal ayat dan ritualnya tetapi asuhan dalaman tidak ada. Jadi, inilah sebabnya maka kita terasa Kongres Budaya 2017 ini elok kita buat, sementelahan lagi pula dalam pembudayaan tadi mesti ada bahasa kebangsaan yang berteraskan nilai tertinggi.

Bercakap mengenai bahasa kebangsaan, apa realiti sebenar kedudukannya?

RAIS: Bahasa Melayu tiada di `tempat itu’. Kita sudah diinggeriskan sedemikan rupa sehingga dasar dua bahasa tadi sudah dicicirkan oleh bahasa Inggeris. Oleh kerana Bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa utama dari segi sebenar, maka kita tidak lagi membuat perkara berasaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Lepas itu banyaklah `cirit-birit’ masalahnya. Inilah sebabnya saya sendiri berasa bahawa suara untuk menjadi Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perdagangan lingua franca setakat khidmat bibir.

Orang Melayu sudah diinggeriskan bahasanya dan mereka sukar untuk pulang ke tempat asal.

Beranikah kerajaan untuk membuat revolusi bahasa kembali? Ini kita harus tunggu dan lihat.

Selain 'kembalikan’ bahasa Melayu, apa lagi matlamat Kongres ini?

RAIS: Satu lagi sebab kita adakan Kongres ini kerana selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, negara ini mewujudkan Rukun Negara. Tujuannya murni sangat mulia untuk memberi satu dasar dan juga pelaksanaan tentang lima perkara itu.

Cuma masalahnya Rukun Negara 'diundang-undangkan’ jadi terpijak pergi tidak seperti Pancasila (di Indonesia) yang merupakan sebahagian daripada negara dan menjadi teras bina negara (Indonesia).

Sedangkan di Malaysia, Rukun Negara setakat angkat tangan semasa pagi merdeka, kemudian mencatatkannya di belakang buku latihan sekolah. Tidak lebih daripada itu. Kemurniaan isiannya tidak diajar. Tidak ada dalam latihan polis, tentera dan guru. Dukacita sekali. Jadi, setelah itu dipersoalkan kenapa anak muda sekarang liar.

Mereka tidak kisah lagi apa erti negara bangsa. Inilah sebabnya hal saya sebut tadi tidak direntetkan dalam perjuangan hidup 46 tahun ini.

Satu lagi alasannya (penganjuran Kongres) ini berkaitan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang saya berani menyatakan sekiranya tidak ada roh pembudayaan, ia akan gagal. Ini seperti mana Wawasan 2020 gagal dalam soal rohaniah dan isiannya begitulah juga TN50. Tetapi TN50 boleh berjaya jika pembudayaan budaya bangsa dijadikan salah satu tunjang prinsipnya.

Ini semua akan kita kemukakan kepada Perdana Menteri dan Raja-raja Melayu.

Tempoh hari Tan Sri bercakap mengenai peranan Raja-raja Melayu dalam aspek pembudayaan dan bahasa. Boleh huraikan lagi?

RAIS: Satu faktor diadakan Kongres ini kerana matinya adat Melayu. Tetapi Perkara 160 mengandungi pembelaan yang ditunggu. Bahasa Melayu, Islam dan adat…ini kerja besar Raja tetapi Raja Melayu tidak melaksanakan program ini.

Ini serius kepada saya sama ada orang hendak bersetuju, saya tidak dapat nyatakan. Saya boleh cabar mana-mana pihak bahawa kegagalan kita bersama termasuklah raja-raja yang hanya faham bagaimana orang hendak berpatik kepada mereka

tetapi mereka tidak memainkan peranan memperkukuhkan adat dan bahasa yang agama (Islam) dan Bahasa Melayu sebenarnya dalam tangan mereka.

Seterusnya 7 Wasiat Raja-Raja Melayu juga tidak dipedulikan bukan sahaja oleh rakyat tetapi raja sendiri. Saya terasa memang jadi humour sekarang baru kita tahu 7 wasiat ini ada di tangan Raja-raja Melayu.

Raja-raja Melayu sepatutnya memperjuangkan hal ini di bawah Majlis Raja-raja tetapi tidak pernah pula dibawa wasiat raja ini kepada mesyuarat Majlis Raja-raja.

Selagi Raja Melayu tidak peka tentang memainkan peranan menggunakan sebaik mungkin Islam, bangsa Melayu dan adat, selama itulah kedudukan raja-raja akan menjadi seperti telur di hujung tanduk.

Oleh itu kita memohon sangat Raja-Raja Melayu memainkan peranan menggesa kerajaan negeri masing-masing memuliakan Bahasa Melayu dan menghidupkan semula adat Melayu. Jika tidak, mereka tidak akan lagi dapat maruah dan kemuliaan seperti yang mereka beranggapan pengaruh dari luar sangat kuat. Pengaruh pembelajaran moden dalam kalangan kira-kira 12,000 pelajar Malaysia yang pulang ke tanah air nanti bukan dari Mesir sahaja.

Mereka dikhuatiri nanti akan ubah dasar-dasar nilai yang salah satunya cicirkan adat Melayu.

Jika mereka pulang tidak ada limitasi balik, mereka akan menentang sistem-sistem ini dalam tempoh soal rangka tamadun.

Situasi bagaimana hendak maju balik juga terasas kepada budaya berekonomi dan budaya berpolitik.

Dalam aspek budaya ekonomi sekarang, orang Melayu tidak tahu sebenarnya pencapaiannya, 30 peratuskah atau 25 peratuskah?

Jadi, Dr. Rais Saniman (Tokoh Ekonomi Negara yang juga Perunding Kanan Chr. Michelsen Institute (CMI) Norway) tempoh hari membuat kajian mendapati soal ini sangat penting. Maka,

harus ada database atau pangkalan data yang sebenar. Ini termasuk dalam pembudayaan

perjuangan kita dalam kongres ini.

Menerusi Kongres ini diharap penilaian dan kedudukan Melayu dapat diserlahkan bersama kedudukan rakyat Malaysia.