Eh, akak cun tak dapat bayangkanlah kalau akak cun berada di tempat kawan akak cun, dah kena rembat agaknya mamat ‘madu’ tu. Macam rembatan pemain bola sepak paling mahal Manchester United, Alexis Sanchez. Lepas tu akak cun cuba ingat balik lirik lagu Selamat Jalan Romeo!. Nyanyikan dia lagu tu. Itu pun kalau dia hendak dengarlah lepas sudah kena rembat.

Akak cun simpati sangat dengan nasib kawan akak cun yang seorang ini. Bukan sekali dua dia kecewa. Tak silap akak cun bilangan lelaki yang mempermainkan perasaannya sebelum ini sudah melebihi sebelah tangan jugalah.

Dari segi luaran, memang dia nampak tenang. Tapi kalau di x-ray hatinya mesti penuh calar-balar. Kalah kena cakar harimau.

Katanya, dia terima hakikat bahawa hubungannya dengan mamat ‘madu’ iaitu lelaki berstatus duda yang dikenali selama hampir empat tahun itu akhirnya kecundang. Itulah tempoh paling lama seorang lelaki yang bertakhta di hatinya.

Sebelum ini, hubungannya dengan beberapa lelaki cuma bertahan antara enam bulan hingga setahun saja. Ia berakhir dengan kesemua lelaki terbabit menghilangkan diri dan alih-alih tahu dah kahwin senyap-senyap!

Peliknya tak pula dia serik dengan pengalaman lepas. Boleh lagi bergurau, katanya: “Usaha tangga kejayaan”.

Ikut ceritanya, dia kenal mamat ‘madu’ tu melalui proses ketat orang tengah yang mengenakan syarat hanya lelaki serius hendak kahwin saja dibenarkan berkawan dengannya. Syarat dipersetujui dan ikut pelan asal, kawan tiga bulan dan terus kahwin.

Dari tiga bulan membawa ke enam bulan dan seterus­nya bertahun. Setiap kali dateline menghampiri, pelbagai alasan diberi - bisnes baru nak berkembanglah, anak-anak di bawah jagaan bekas isteri nak ambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lah, jadi tak nak rosakkan emosi mereka dan macam-macam lagilah alasan nak bertangguh kahwin.

Paling tak boleh blah, alasan terakhir mamat ‘madu’ tu nak ke luar negara pula sebab nak kembangkan bisnes. Minimum lima tahun menetap di sana. Kalau nak kahwin juga, dia ajak menikah di selatan Thailand. Katanya mudah.

Nampak sangat ada ‘sesuatu’. Orang bodoh saja yang boleh layan cakap-cakap macam ini. Setelah ‘ditembak’ dengan macam-macam soalan oleh kawan akak cun itu, maka terkeluarlah lagi alasan bodohnya. Selama ini dia bertangguh kahwin sebab kawan akak cun itu menentang poligami!

Apa punya alasan ini? Filem Black Panther pun tak complicated macam ini. Lelaki macam ni sebenarnya mencipta macam-macam alasan bodoh untuk tidak mahukan komitmen berkahwin.

Selidik punya selidik, terkeluar pula cerita kononnya keluarga dia telah mengatur jodohnya dengan seorang andartu yang mempunyai pertalian keluarga. Kalau sebelum ini dia mendakwa keluarga sudah tahu dia berkawan dengan kawan akak cun itu, kenapa mahu sabotaj perhubungan mereka?

Lagipun dia duda, akak cun tak rasa keluarga hendak campur tangan lagi dalam bab macam ni. Itu semua alasan yang sebenarnya memperlekeh kawan akak cun itu.

Paling entah apa-apa bila dia kata semua perancangan akan jadi mudah jika kawan akak cun itu bersetuju dari awal untuk berpoligami. Dan janjinya akan menjadikan kawan akak cun sebagai isteri pertama manakala wanita pilihan keluarganya itu sebagai isteri kedua. Gila tak?

Akak cun sokong 100 peratus tindakan kawan akak cun itu yang nekad memutuskan hubungan. Bagus! Orang perempuan jangan tunjuk terdesak sangat hendak kahwin walau usia sudah mencecah ‘4 series’.

Sebenarnya kawan akak cun itu tak lah menentang poligami. Cuma yang dia marahkan sikap mamat ‘madu’ tu yang tak jujur. Cakap putar belit.

Bagi akak cun, dah alang-alang berpoligami, biarlah yang menyenangkan hidup. Kalau kewangan pun tak kukuh, buat apa hendak cari pasal. Silap-silap isteri pula tanggung suami!

Walaupun akak cun tak pernah berada dalam situasi itu, namun akak cun faham apa yang dirasai kawan akak cun. Dalam usia macam itu hendak memilih pun dah susah. Orang kata, stock terhad.

Nak cari lelaki seusia, kebanyakannya sudah berkahwin. Yang bujang pula ramai yang muda. Nak berkawan pun cuak sebab zaman sekarang ramai lelaki muda nak tumpang hidup senang atau kikis duit perempuan, apatah lagi andartu yang loaded. Susah hendak cari keikhlasan di sini.

Kalau dapat lelaki muda yang betul ikhlas, bertuahlah. Tapi kalau dah dapat ‘hidu’ niat sebaliknya, baiklah angkat kaki.

Kebahagiaan sebenarnya di tangan diri sendiri. Kalau hidup seorang lebih baik, buat apa cari masalah. Kebahagiaan bukan datang daripada perkahwinan saja. Ramai juga kawan akak cun yang dah berkahwin terutama lelaki tapi ‘meriah’ hidup macam orang bujang. Buat apa kahwin kalau hendak kembali bujang? Ini lagi satu penyakit orang lelaki.