Tidak dinafikan, pembangunan pesat infrastruktur di ibu negara semakin berdaya maju seperti bandar raya lain di dunia.

Namun, adakah isu mentaliti segelintir pen­­duduk berkaitan kebersihan dan vanda­lisme telah berubah?

Mhd. Amin Nordin yang ditemui Utusan Malaysia kelmarin menaruh keyakinan tinggi untuk melihat hasrat Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya bertaraf dunia 2020 tercapai.

“Salah seorang kenalan saya di Amerika Syarikat (AS) menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp mengatakan, Malaysia ada banyak kelebihan berbanding AS. Infrastruktur di Malaysia bertaraf dunia. Dibandingkan jalan raya di negara ini de­ngan sesete­ngah tempat di AS terma­suk New York, Malaysia menang awal-awal lagi.” kata beliau.

Mhd. Amin Nordin gembira dan berbangga dengan kenyataan pujian itu, sambil tidak menafikan infra­struktur di negara ini bertaraf dunia dan berdaya maju.

“Saya telah menjelajah banyak negara di dunia melihat segala pembangunan infrastruktur, budaya, perkhidmatan dan sebagainya. Contohnya, jika kita lihat jalan raya di luar London, United Kingdom (UK) saya lihat berlubang-lubang juga. Berban­ding di Malaysia, kita punya infra memang kelas la.

“Namun kita bukanlah sempurna, ka­dang-kadang ada jalan berlubang di pusat bandar tapi di luar pusat bandar, jalan raya kita masih okey. Keadaan jalan dan landskap di ibu kota lebih baik daripada negara luar,” katanya.

Jauh di sudut hati beliau mahu melihat setiap penduduk bergerak seiring dengan kemajuan bandar raya ke arah bertaraf dunia.

Begitupun, mentaliti segelintir warga ko­ta masih su­kar diubah. Me­reka terlalu sukar untuk men­disiplinkan diri dan mematuhi undang-undang.

Untuk ke arah bandar raya bertaraf dunia, ia bukan semata-mata berpaksikan pembangunan infrastruktur dan pengangkutan awam yang efisien sahaja tetapi sikap warga kota perlu bergerak seiring dengannya.

“Segelintir warga kota masih ketinggalan daripada segi tata susila dan budi bahasa seperti Jepun, Korea Selatan dan negara lain. Contohnya, kita boleh lihat cara rakyat Jepun ketika menaiki tren, mereka beratur dan sungguh tersusun.

“Sesete­ngah rakyat negara ini masih tidak macam itu. Kita masih tidak berada di tahap seperti negara tersebut.

“Memang saya setuju segelintir rakyat Malaysia masih tidak bersyukur, tidak berdisiplin, langgar peraturan, letak kereta sesuka hati. Isu ini khususnya berkaitan mentaliti ambil masa untuk mereka berubah,” katanya.

Sebagai contoh, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas ditimpa sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas bangunan blok 102, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai baru-baru ini.

Membuang pelbagai objek selain sampah dari tingkat atas ba­ngunan bagaikan sudah menjadi tabiat sebati dalam kehidupan mereka. Selepas ini jangan sampai televisyen, botol kaca, meja atau peti sejuk pula menghempap kepala orang pula.

Berbicara soal pembangunan, Mhd. Amin Nordin turut berkongsi pendapat mengenai ‘wajah’ Kuala Lumpur pada masa akan datang. Beliau menjangkakan lebih ramai yang mendiami ibu kota akan tinggal di bangunan kediaman bertingkat, tidak lagi tinggal di ‘rumah atas tanah’.

Penduduk bandar perlu menerima realiti bahawa akan ada banyak pembangunan pesat se­perti pembinaan kediaman yang lebih tinggi kerana ia tidak dapat dielakkan.

“Seperti bandar-bandar lain di dunia, Kuala Lumpur akan meng­alami nasib seperti ini pada tahun-tahun akan datang disebabkan faktor pertambahan jumlah penduduk dan kekurangan ruang seperti tanah.

“Sekarang kita mempunyai 1.8 juta orang di bandar ini. Apabila kita mencapai tiga juta penduduk, kita akan lihat lebih banyak ba­ngunan kediaman yang tinggi dengan saiz unit yang lebih kecil, tapi mahal harganya,” katanya.