Mungkin sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, namun perasaan sepanjang perjalanan tersebut sebenarnya bercampur baur antara teruja serta kebimbangan bahawa kita boleh jatuh pada bila-bila masa.

Saya berkesempatan menaiki kereta kabel di Table Mountain yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Cape Town ketika menyertai delegasi Datuk Bandar Kuala Lumpur ke Afrika Selatan beberapa tahun dahulu.

Walaupun ia pengalaman yang agak mendebarkan, saya akui berasa agak selamat sepanjang perjalanan apabila melihat keadaan kereta kabel dan stesen dijaga dengan baik. Sudah tentu kita boleh memahami perasaan para pelancong yang terkandas selepas kereta kabel Langkawi SkyCab mengalami masalah teknikal pada petang, 18 Februari lalu.

Saya percaya mereka menaruh keyakinan yang amat tinggi terhadap tahap keselamatan Langkawi SkyCab kerana Smartertravel.com pada tahun lalu telah memilihnya sebagai antara 10 sistem kereta kabel terbaik di dunia.

Sistem kereta kabel sepanjang 4,000 meter itu menghubungkan Desa Oriental di Teluk Burau de­ngan Gunung Mat Chinchang pada ketinggian 708 meter. Langkawi SkyCab diletakkan setara dengan Loen Skylift di Norway, kereta kabel Cabrio Stanserhorn (Switzerland) dan Sugarloaf Mountain Bondinho (Rio de Janeiro, Brazil).

Oleh itu, insiden di mana sejumlah 1,048 pelancong dan 78 kakitangan terkandas selepas kereta kabel Langkaw SkyCab mengalami masalah teknikal seharusnya menjadi pengajaran ke­pada semua pengendali kereta kabel yang terlibat dalam industri pelancongan.

Berdasarkan perkongsian pe­ngalaman mangsa kepada pihak media, ramai yang tidak me­nyangka mereka akan terperangkap di dalam gondola selama beberapa jam pada hari kejadian.

Namun, tahniah diucapkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Panorama Langkawi Sdn. Bhd., operator kereta kabel terbabit yang juga merupakan anak syarikat Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) atas usaha mereka membantu menurunkan semua mangsa sehingga tengah malam.

Walaupun tidak ada kece­de­raan atau kematian dilaporkan ber­laku, insiden tersebut sepatutnya dapat dielakkan kerana Langkawi SkyCab mendapat pujian ramai sebelum ini.

Bagi mendapatkan semula kepercayaan pelancong tempatan dan asing, saya menggesa semua pihak terlibat dengan industri pelancongan dan hospitaliti untuk memahami dan mengamalkan budaya keselamatan dan melaksanakan konsep Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang baik di tempat kerja kerana ia juga penting untuk ke­selamatan orang ramai.

Agensi berkaitan serta operator kereta kabel dan kemudahan pelancong yang lain mesti me­lakukan audit keselamatan secara kerap dan menyeluruh bagi memastikan semua kemudahan yang disediakan selamat sepanjang masa manakala kemalangan pula dapat dicegah.

Pihak berkuasa juga harus memastikan bahawa setiap operator mempunyai pelan kecemasan untuk menyelamatkan para pelancong dan kakitangannya jika kemalangan berlaku di tempat mereka.

Operator terbabit juga harus melaksanakan latihan keselamatan sebagai sebahagian daripada rancangan pengurusan KKP mereka agar semua kakitangan bersedia untuk menghadapi sebarang jenis kecemasan.

Insiden seperti yang berlaku di Langkawi sebenarnya boleh dicegah jika mereka yang berada dalam industri pelancongan turut menerima dan melaksanakan amalan KKP yang baik termasuk melaksanakan konsep Pengenalpastian Bahaya, Penilaian Risiko dan Kawalan Risiko atau HIRARC.

Memandangkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan ingin membawa lebih ramai pelancong, dengan 36 juta pelancong  disasarkan pada tahun 2020 adalah penting untuk memas­tikan amalan KKP yang baik dilaksanakan dalam industri pelancongan.

Masanya telah tiba bagi semua pihak yang terlibat dalam industri pelancongan dan hospitaliti untuk mengambil serius mengenai kemalangan yang turut melibatkan pelancong dan orang ramai.

Kita perlu ingat bahawa ketika musim cuti sekolah, ramai pelancong domestik dan asing akan berada di kawasan peranginan bagi menghabiskan masa bersama ahli keluarga dan rakan-rakan mereka.

Adalah penting bagi mereka yang terlibat dalam industri pelancongan dan perhotelan untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi menjadikan percutian mereka bebas daripada kemalangan.

Seboleh-bolehnya kita mahukan pelancong luar pulang ke negara mereka dengan selamat dan membawa kenangan manis di Malaysia tanpa ada sebarang kemalangan atau masalah lain.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) turut mempromosikan konsep ‘Wawasan Sifar’ untuk industri berkenaan, sejajar dengan inisiatif global yang diketuai oleh Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).

Pelaksanaan ‘Wawasan Sifar’ bukan bermakna kita ingin mencapai kemalangan sifar tetapi berkaitan usaha mencari penyelesaian untuk membantu mencegah kemalangan dan kematian di tempat kerja.

Jika mereka yang terlibat da­lam sektor pelancongan sedia untuk berubah ke arah kebaikan, saya percaya sektor terbabit boleh menjadi antara yang terawal melaksanakan konsep ‘Wawasan Sifar’ tersebut.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).