Ini seperti persekitaran hidup kita sama ada kita hendak hidup atas persepsi orang lain atau kita berpegang kepada pendirian ­melakukan yang terbaik dan men­jadi seorang yang baik sepanjang hidup kita.

Pada 2008, kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Ab­dullah Ahmad Badawi telah mengambil langkah berani de­ngan mewujudkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bebas dan telus. Pendekatan itu yang memenuhi kehendak rakyat sebenarnya adalah satu langkah berani. Antara lain penubuhan SPRM menunjukkan bahawa sebuah suruhanjaya bebas dan telus telah diwujudkan. Ia juga membawa kepada peningkatan sabitan kes-kes ra­suah.

Lima tahun sebelum itu beliau mengorak langkah menubuhkan Institut Integriti Malaysia, sebuah agensi yang diberi tanggungjawab untuk melahirkan masyarakat dan negara yang berintegriti tinggi. Pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggantikan Abdullah pada 2009 meneruskan usaha mewujudkan persekitaran yang bebas dan telus menerusi program transformasi.

Usaha-usaha ke arah itu dite­ruskan dengan inisiatif-inisiatif seperti penubuhan Unit Integriti di setiap agensi, dan yang terbaharu adalah pembentukan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus (JITN). Makmal khas NKRA Anti Rasuah juga diperkenalkan.

Mana-mana pihak yang rasional akan merumuskan bahawa skor CPI mengenai Malaysia yang dikeluarkan TI tidak menggambarkan situasi yang sebenar - tindakan agresif SPRM dalam membanteras rasuah habis-habisan di negara ini terutama sejak dua tahun kebelakangan ini. ­Justeru, sebagaimana dikatakan oleh Ke­tua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, ramai yang turut terkejut dengan dapatan CPI sedangkan SPRM telah memperlihatkan keberkesanan dalam menahan dan menangkap mereka yang terlibat dalam ra­suah.

Oleh itu, perlu ditegaskan bahawa mengatakan siasatan membabitkan kes-kes besar membawa kepada kemerosotan skor dan ranking CPI juga tidak mahu akal dan tidak boleh diterima sama sekali.

Dzulkifli dipetik media memberitahu SPRM secara konsisten membuat tangkapan dan pendakwaan setiap minggu dan tindakan lebih agresif dilakukan sepanjang 2017.

“Kalau kita lihat setiap minggu akan ada tindakan yang diambil dan kami juga telah membuat beberapa siri tangkapan yang berterusan pada 2017. Itu agak ketara berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini. Tahun 2017 telah menunjukkan tindakan agresif yang telah kita ambil ter­hadap perasuah-perasuah di dalam negara ini.

“Apabila indeks ini dikeluarkan, kita melihat ia tidak menggambarkan tindakan yang telah kita lakukan,” kata beliau.

Berdasarkan CPI TI, kedudukan Malaysia bagi 2017 jatuh daripada tangga 55 kepada 62 daripada 180 buah negara dengan penurunan dua mata iaitu daripada 49 kepada 47. Di peringkat ASEAN, Malaysia berada di tempat ketiga di belakang Singapura dan Brunei. Malaysia melepasi skor purata di peringkat global iaitu 43 mata serta skor purata di peringkat Asia Pasifik iaitu 44 mata.

Presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar berkata, penurunan skor itu disebabkan oleh beberapa kes berprofil tinggi yang masih dalam siasatan. Sementara itu, di peringkat negara-negara Islam seluruh dunia, Malaysia menduduki tangga kelima. Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendahului senarai negara Islam dengan menduduki tangga ke-22 dunia, diikuti Qatar (29), Brunei (32) dan Arab Saudi (57).

Maka, saya dengan tegas meminta pihak kerajaan termasuk SPRM usah pedulikan dapatan CPI, sebaliknya terus meningkatkan usaha, apa juga tindakan bagi menangani isu dan masalah rasuah. Langkah itu lebih penting berbanding kecewa atau lemah semangat disebabkan laporan CPI.

SPRM wajar dan perlu meneruskan apa yang dilakukan sekarang. Saya pasti rakyat akan faham yang pihak berkuasa terus melakukan yang terbaik bagi membanteras rasuah dan sebagainya.

Sabitan kes-kes rasuah pada satu hari kelak akan membuktikan kita berada di landasan yang betul dalam memerangi kes ra­suah dan dalam usaha memupuk nilai-nilai integriti dan murni dalam kala­ngan rakyat. Lipatan sejarah akan membuktikan ke­pimpinan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam amalan ra­suah, salah guna kuasa atau penyelewengan.

Maka kita harus menyokong usaha SPRM yang mahu memper­kenalkan Indeks Rasuah Malaysia. Pada pandangan saya sekurang-kurangnya ia akan memberi gambaran sebenar mengenai situasi di negara ini. Dapatan indeks harus didedahkan kepada umum sebagai satu bentuk panduan dan te­ladan. Kita perlu bersikap terbuka dalam bab ini. Sebagaimana di­sebutkan SPRM, kita tidak mahu indeks ini diukur dengan persepsi semata-mata tetapi berdasarkan fakta dan bukti.

Dapatan CPI tidak wajar dipo­litikkan. Sebaliknya semua pi­hak termasuk pembangkang wa­jar memberi sokongan kepada SPRM, Institut Integriti Malaysia dan semua agensi yang terbabit agar isu rasuah dan integriti dapat ditangani dengan berkesan. Setiap anggota masyarakat termasuk ahli politik semua parti mempunyai peranan. Jangan salahkah Kerajaan Pusat semata-mata.

DATUK SERI DR. IRMOHIZAM IBRAHIM ialah Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen Menangani Rasuah (JKMR) SPRM 
merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor.