Sejak beberapa PRU lepas, pilihan raya kian rancak menjadi satu pesta paling berwarna-warni. Bukan saja di Malaysia, malah di mana jua. Di Amerika Syarikat (AS) begitu. Baru-baru ini di Belanda juga begitu. Selain Malaysia, dalam tahun ini kita juga dijangka menyaksikan pesta PRU yang sama di Perancis dan Jerman.

Dulu, di zaman sistem komunikasi tidak secanggih kini dan tahap pendidikan masyarakat tidak setinggi kini, rakyat banyak menyerahkan amanah kepimpinan kepada pemimpin yang mereka pilih. Pada masa itu rakyat, tak kira bangsa dan agama, dianggap cukup docile. Mereka mudah akur dengan jaminan, janji dan corak kepimpinan pemimpin mereka. Pesta PRU tak sehebat mana.

Tanpa mengulas lanjut evolusi pilihan raya yang berterusan berlaku, dengan elemen buruk-baik­nya, turut mengalami evolusi ialah pola pemikiran pengundi. Justeru, pemimpin dan pengikut politik mereka yang hendak meme­nangi PRU wajar mengubah haluan dalam meraih sokongan pengundi. Politik populis semakin digemari. Pengundi semakin bijaksana dan terdedah dengan pelbagai pilihan siapa yang mereka fikirkan lebih sesuai memimpin mereka.

Politik populis memberikan perhatian kepada selera semasa para pengundi. Rata-rata kita boleh hidu, isu-isu politik populis semasa paling popular dalam kalangan pengundi ialah (i) memilih kerajaan yang mereka rasakan kurang menyusahkan mereka, dan (ii) kerajaan yang mampu mewujudkan kemakmuran serta kesejahteraan kepada kehidupan mereka. Adakalanya mereka rela menjadi party-blind.

Dalam memilih pemimpin, pengundi bukan hanya ada dua pilihan; jika tolak calon ‘A’ mereka wajib terima calon ‘B’. Tidak. Mereka ada dua lagi pilihan; pilihan ketiga ialah tolak kedua-duanya dan satu lagi pilihan ialah The Fourth Option. Dalam sena­rio politik semasa, pengundi temui ‘pilihan keempat’ ini. Pengundi meletakkan calon pilihan mereka yang tidak semestinya mewakili mana-mana parti politik.

Telah ada gerakan global yang menjadi tarikan generasi muda untuk cenderung ke arah itu. Mi­salnya, sebuah pertubuhan antarabangsa yang baru setahun ja­gung umurnya tetapi pengaruhnya sudah begitu meluas. Avaaz, sebagai contoh, adalah sebuah gerakan sesawang global yang memperjuangkan agenda people-powered politics to decision-ma­king everywhere. Ini diperakui oleh The Guardian yang menyatakan, “Avaaz baru berusia lima tahun, tetapi gerakan ini sudah meletup dan mampu menjadi jaringan aktivis terbesar dan teramat berpengaruh.”

Bak kata Dambisa Moyo dalam artikelnya yang disiarkan oleh WEF pada 12 Januari lalu, sempena Davos 2017, “Our national leaders have failed us. It’s time to hand over power to global institutions”. Soalnya, berapa ramaikah dalam kalangan pemimpin dan pengikut politik tanah air membaca dan menghayati artikel se­perti ini yang tersebar luas dan dibaca oleh ramai bakal peng­undi, terutama generasi muda? Mungkin ramai masih alpa dan tidak menghiraukan gelombang perubahan yang mula dicetuskan itu.

Bukan Moyo seorang saja yang menyuarakan kewujudan gelombang ini, yang didepani oleh institusi global seperti WEF. Iain Conn juga menulis dalam nada sama dan disiarkan oleh WEF pada 20 Februari 2017, atas tajuk, Our national politics are pulling us apart.

Artikel seperti ini mengingatkan saya untuk kembali ke awal rencana ini, iaitu apa yang rakyat mahu daripada calon yang bakal mereka pilih pada PRU-14? Daripada denyut nadi rakyat yang sering saya dengar di sana sini, mereka kurang ghairah dan taksub dengan pembangunan fizikal sekalipun yang berskala mega.

Mereka lebih tertarik dengan isu-isu politik populis seperti usa­ha-usaha kerajaan mengurangkan kepayahan hidup atau kurang membebankan kehidupan mereka. Mereka lebih tertarik dengan pembangunan yang mencerminkan pembentukan nilai-nilai murni, seperti agenda kemakmuran, pembasmian kemiskinan secara perkongsian kemakmuran.

Apabila saya meneliti pilihan politik populis mengenai kedua-­dua hidangan itu yang lebih mempesonakan pengundi, maka saya teringat akan terbitan yang saya baca sebelum ini. Antaranya laporan oleh Legatum Institute of Prosperity (penerbit Global Index of Prosperity).

Terlintas dalam pemikiran saya bahawa, pola pilihan raya kita wajib berubah. Calon atau parti wajib lebih prihatin dengan apa yang rakyat, sebagai pengundi, utamakan. Inilah politik populis semasa. Mereka dahagakan kemakmuran berbanding kemajuan kebendaan. Mereka utamakan kualiti kehidupan dan kesejahteraan.

Menurut Legatum Institute of Prosperity yang berpangkalan di London, kemakmuran itu membawa maksud, adunan di antara kekayaan kebendaan dengan kesejahteraan sosial, terutama kebahagiaan dan kesihatan. Sejak satu dekad yang lepas, institusi ini telah menjalankan kajian bagi membentuk Indeks Kemakmuran, melibatkan 149 negara di dunia yang mencakupi hampir 90 peratus keseluruhan GDP dunia. Mereka menggunakan lapan petunjuk bagi mengukur indeks kemakmuran (sejak 2016 ditambah satu lagi petunjuk dengan memasukkan petunjuk alam sekitar).

Sejak 2010 hingga 2015 mi­salnya, kedudukan Malaysia pada tahap yang boleh dianggap ‘memuaskan’. Bagi 2016 berlaku satu lonjakan yang amat memberangsangkan walaupun kita masih jauh di belakang beberapa negara yang sepatutnya setara dengan kita.

Secara peribadi saya amat tertarik dengan Indeks Kemakmuran oleh Legatum Institute of Prosperity ini sekalipun saya menolak petunjuk Personal Freedom kerana bercanggah dengan budaya dan acuan fahaman kita. Tujuh lagi petunjuk boleh kita gunakan bagi mengukur sejauh mana tahap kemakmuran yang mampu kita capai atau yang sepatutnya kita capai.

Petunjuk kualiti ekonomi menyatakan kita jatuh merudum beberapa tahun kebelakangan, namun ada petanda ia mula pulih dalam 2016. Petunjuk mengenai peluang-peluang bisnes dan keusahawanan melonjak ke keduduk­an 16 dari tangga ke-40 tahun sebelumnya. Petunjuk bagi tadbir urus pula kembali menjunam dalam 2016, manakala petunjuk mengenai keselamatan masih belum memuaskan.

Mari kita buat perbandingan prestasi negara kita berbanding New Zealand yang melonjak besar dan buat pertama kali mengatasi Norway untuk menjadi negara paling makmur di dunia. Norway, walaupun turun ke tangga kedua, tetap antara negara paling makmur di dunia.

Banyak yang boleh kita takrifkan daripada kedua-dua jadual itu. Bagaimana mereka yang berhasrat bertanding dalam PRU-14 nanti boleh bermain dengan politik populis yang berkisar kepada agenda kemakmuran ialah sesuatu yang menarik untuk kita perhalusi bersama.

Parti-parti politik tradisional wajar berislah menjadi dalam kalangan parti populis untuk kekal relevan. Walaupun menjadi parti populis dianggap sebagai retorik oleh sesetengah pihak, hakikatnya pengundi tertarik dengan pendekatan itu.

DATUK HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).