SHEIKH SULAIMAN MOOLA
SHEIKH SULAIMAN MOOLA

Persoalan sedemikian mungkin menjadi lebih kuat lagi ketika Ramadan. Ini kerana, ia adalah satu bulan yang dijanjikan Allah dengan pelbagai keberkatan, kerahmatan dan keredaan-Nya.

Bagi seorang pendakwah muda kelahiran Afrika Selatan, Sheikh Sulaiman Moola, beliau menyifatkan keinginan mendalam itu sebagai gambaran kekuatan iman pada hati seseorang individu.

Beliau berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda, bermaksud: “Apabila kebaikan akan membuatkan kamu gembira dan aman, manakala keburukan pula akan membuatkan kamu sedih serta terluka, itu antara tanda-tanda orang beriman,” - Riwayat Muslim dan Bukhari.

“Dalam membicarakan persoalan sedemikian, kita pasti akan menyentuh aspek istighfar dan taubat. Untuk merasai kenikmatannya, kita perlu terlebih dahulu memahami sifat kedua-dua aspek tersebut,” katanya dalam satu siri ceramahnya di laman sesawang, LoveAllah328, baru-baru ini.

Ikuti soal jawab bersama beliau di bawah ini:

Pemahaman yang bagaimana tuan maksudkan?

Sheikh Sulaiman Moola: Pada kebiasaannya, ramai yang menganggap dua aspek itu sama tetapi jika diteliti, wujud perbezaan dan antara contohnya adalah dalam Surah Hud:3 iaitu bermaksud, “...mintalah ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya...”

Dengan kata lain, istighfar adalah memohon keampunan daripada-Nya, manakala taubat pula, berazam untuk tidak melakukannya lagi pada masa hadapan.

Namun begitu, apakah sifat-sifat yang sepatutnya ada pada istighfar dan taubat kita itu? Adakah ia sekadar ucapan atau permohonan maaf sahaja?

Apakah sifat-sifatnya?

Apabila memohon keampunan Allah, kita mestilah ikhlas atau benar-benar rasa bersalah atas dosa yang telah dilakukan.

Ia tidak boleh sekadar ucapan biasa atau seakan-akan seperti penghargaan sahaja. Atau seperti memohon maaf kepada seorang kawan kerana kita akan lalui dua situasi.

Situasi pertama, mungkin permohonan maaf tersebut tidak diterima atau kalau diterima, hubungan dengan dia tidak akan sama seperti sebelum ini.

Maksud tuan?

Terdapat keindahan yang tiada bandingan apabila kita memohon keampunan daripada Allah, sebagaimana dinyatakan dalam satu hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Tirmizi, maksudnya:

“...Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu telah mencapai setinggi langit kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku, nescaya aku akan mengampunimu dan Aku tidak peduli...”

Keduanya, apabila Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita, Allah tidak hanya menghapuskan permusuhan yang wujud antara kita dengan-Nya tetapi dalam masa sama, Dia cukup menyayangi orang yang suka bertaubat.

Dalam masa sama, harus diingati bahawa kesungguhan kita memohon keampunan daripada-Nya bagi dosa-dosa lalu dan bukannya untuk masa-masa hadapan.

Boleh jelaskan lagi?

Allah SWT tahu tentang hakikat kita selaku manusia yang mempunyai banyak kekurangan dan kelemahan. Pada tahap tertentu, kita pasti akan melakukan dosa yang sama.

Sama seperti kenapa kita kena basuh pakaian setiap hari kerana menyedari risiko akan kotor. Jadi, amalan itu kita teruskan tanpa rasa letih dan jemu.

Begitulah dengan amalan istighfar dan taubat itu. Kita mohon keampunan-Nya tetapi kerana sifat semula jadi manusia, dosa sama kita lakukan pada masa hadapan.

Tetapi kita tidak seharusnya berasa letih atau berhenti memohon keampunan-Nya selagi masih bernyawa.