Segala imej dan reaksi yang terpancar pada wajah yang dihantar kepada seseorang, itulah aura yang ada dalam diri ini yang dinamakan sebagai `undang-undang getaran atau gelombang jiwa’.

Senyuman ialah imej dan reaksi yang pertama dan paling berkesan dalam memberikan aura positif kepada diri kita. Senyuman dari hati yang bersih dan ikhlas akan menyediakan corak kehidupan yang mengagungkan Allah SWT dengan patuh kepada perintah-Nya dan memuliakan manusia dengan menjaga silaturahim.

“Indahkan dirimu dengan senyuman, jagalah senyum, indahlah hidupmu.”

Konsep membina kehidupan positif melalui senyuman itu diperjelaskan seperti berikut. Pertama, untuk ‘S’ merujuk kepada ‘solat’. Perkara yang utama perlu difokuskan dalam hidup seorang Muslim ialah solat. Kualiti solat akan menentukan kualiti hidup seseorang Muslim.Solat mendisiplinkan kita menjaga masa. Maknanya orang menjaga solat ialah orang yang hidupnya terbiasa dengan menjaga masa. Mengambil wuduk sebelum solat, mendisiplinkan kita menjaga kebersihan fizikal dan hati. Membaca niat akan mendidik hati kita supaya lurus dan betul termasuk hal-hal keduniaan. Percayalah, segala apa yang diniatkan, kita akan bertanggungjawab ke atas segala yang dilakukan.

Ketika bersolat masing-masing fokus ke tempat sujud dan ini akan mendisiplinkan kita agar sentiasa fokus dalam melaksanakan sesuatu terutama untuk menjadi orang berjaya. Rukun dalam solat seperti rukuk dan iktidal mendisiplinkan kita mengikut peraturan selain mendidik seseorang itu menjadi orang yang tenang, penuh tawaduk dan penuh kehambaan. Ketika mengakhiri solat dengan memberi salam ke kanan dan kiri, mendidik kita agar menjaga hubungan silaturahim sesama manusia.

Selesai solat kita beristighfar. Ini akan menjadi diri kita menjadi orang yang sentiasa bermuhasabah, mengakui banyak membuat kesilapan dalam hidup dan sentiasa memohon ampun kepada Yang Maha Berkuasa. Secara tersiratnya orang yang bersolat akan sentiasa merendah diri dan menghormati orang yang berjasa kepadanya. Maknanya, jika seorang pekerja, kita adalah pekerja yang menghormati ketua. Kalau seorang anak, kita adalah anak yang mengenang jasa. Jika seorang isteri kita akan menyanjung suami sebagai seorang imam.

Akronim `E’ merujuk ‘empati’. Empati maknanya kita memahami tentang orang lain dan ini akan membuatkan hubungan sesama manusia sentiasa terbaik. Dengan adanya sifat empati kita memahami perasaan orang lain dan boleh merasai apa yang mereka rasa. Sekiranya mereka sedih, kecewa dan susah, kita faham akan kesedihan, kekecewaan dan kesusahannya. Seperkara lagi melihat dengan ‘mata hati’, yakni dengan jiwa dan roh yang bersih akan memberikan impak positif. Sebab itu kita mesti menjaga roh supaya ia kuat. Jika roh kuat ertinya jiwa kita kuat. Jiwa yang kuat hanya datang daripada jiwa yang bahagia, sihat dan tenang. Ingatlah, bahawa roh boleh mengawal tenaga kita, sebab itulah jiwa serta roh perlu dijaga dengan baik dan dibangunkan dengan santapan kerohanian. Tiga cara utama menjaga jiwa dan roh supaya sentiasa ‘celik mata hati’ sekali gus dapat membezakan perkara yang baik dan buruk selain dapat melaksanakan suruhan Allah serta meninggalkan larangan-Nya. Pertama, sentiasa menggunakan lidah untuk berzikir, akal untuk berfikir tentang kebesaran Allah. Badan untuk beramal dan hati untuk yakin mengingati Allah. Kedua, buang semua penyakit hati dan sifat negatif yang lebih dahulukan cinta dunia. Gantikan rasa cinta hanya kepada Allah dan Rasul-Nya. Ketiga, kekalkan ‘mata hati’ positif dengan sentiasa bersyukur dan niat sentiasa hendak memberikan kebaikan.

Akronim `N’ merujuk nutrisi, iaitu sihat. Sihat untuk Allah. Oleh itu penting untuk tingkatkan kesedaran dengan memakan makanan yang sihat sahaja. Akronim `Y’ merujuk kepada yakin. Orang yang paling berani ialah orang yang paling yakin. Tingkatkan keyakinan diri kita dan jangan sesekali menjatuhkannya. Selain itu antara perkara paling kejam yang kita buat kepada seseorang ialah menghilangkan keyakinan dirinya dengan mengutuk atau membuatkan dirinya menjadi tidak berguna.

Akronim `U’ ialah ubudiyah merujuk kepada kehambaan. Apa-apa yang kita buat hanyalah untuk Allah dan menerima dengan reda segala ketentuan-Nya tanpa menyalahkan sesiapa. Akronim `M’ merujuk kepada muhasabah diri. Setelah kita menjaga nilai dan kualiti solat, fahami orang dengan empati, menjaga kesihatan, membina keyakinan diri, ubudiyah kepada Allah dan akhirnya bermuhasabah diri serta perbanyakkan bertaubat. Pastinya kita akan menjadi seorang insan yang beraura positif.

Lima peringkat kehidupan yang perlu dijaga bagi membina aura positif. Pertama, menjaga ketrampilan diri dari segi fizikal dengan menjaga kesihatan. Kedua, menjaga kecerdasan minda, dengan banyak memanfaatkan masa untuk mencari ilmu. Ketiga, menjaga hubungan dengan Allah dengan melakukan segala suruhan-Nya dan tinggalkan larangan-Nya. Keempat, menjaga hubungan dan hormat dengan semua makhluk. Sentiasa fikirkan apakah manfaat yang boleh diberikan kepada orang, bukannya manfaat yang boleh kita terima daripada sesiapa. Kelima, menjaga kewangan. Kukuhkan kedudukan kewangan kita. Apabila kewangan mantap, kita boleh membuat lebih banyak kebaikan kepada orang lain serta membahagiakan orang lain, contohnya bersedekah. Untuk disenangi, buatlah dua perkara ini, baik hati dan murah hati. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.”