Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

SUDAH ramai ahli Parlimen yang gemar menggunakan bahasa Melayu
SUDAH ramai ahli Parlimen yang gemar menggunakan bahasa Melayu dengan indah dan betul pada sidang Dewan Rakyat yang berlangsung pada bulan ini. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

ANTARA yang menarik sepanjang sesi persidangan Dewan Rakyat dua minggu lalu adalah kecenderungan ketara ahli-ahli Parlimen menggunakan bahasa Melayu yang indah dan betul, yang ada kalanya bersalut pantun dan beriring madah. Ter­nyata, ini suatu perkembangan sihat. Mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan itu memang sepatutnya menjadi pertuturan lazim setiap warga negara Malaysia, baik di mana jua, tanpa mengira kaum atau fahaman politik.

Ada kalangan ahli Parlimen yang kurang mahir berpantun seloka, tetapi turut mencuba menyusun pembayang dan maksud walau kedengarannya sedikit kekok. Dituturkan dengan teratur, dan kedengarannya tetap menarik. Sudah ramai ahli parlimen gemar menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan cuba mengungkapnya dengan fasih. Ini baik semasa sesi soal jawab, mahu pun semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja.

Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw (DAP), kagum dengan kecen­derungan ini. Malah, beliau menyarankan agar suasana ini terus dimeriahkan sepanjang sesi persidangan. Nadanya ikhlas untuk melihat khazanah bangsa Melayu ini menjadi amalan dalam perbahasan dan interaksi sepanjang persidangan Dewan Rakyat.

Mungkin boleh ditafsir di sebalik kata-kata Yang Berhormat (YB) dari Kepong itu bahawa keindahan bahasa yang dituturkan secara lazim sepanjang sesi persidangan di Parlimen boleh memberi impak tersendiri. Antaranya, semua pihak mengakui dan menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan bagi semua kaum di negara ini.

Barangkali juga Seng Giaw berharap, kecenderungan ahli-ahli YB menggunakan dan mengamalkan bahasa Melayu yang betul dan indah di Dewan Rakyat boleh diteladani oleh seluruh rakyat Malaysia agar bahasa asasi negara itu menjadi bahasa untuk dituturkan secara meluas, tanpa segan atau keberatan oleh mana-mana pihak.

Namun, tidak kede­ngaran pula pihak yang menyokong apa yang disebutkan oleh wakil veteran DAP itu secara terbuka. Dan tidak dapat pula dipastikan, berapa ramai wakil rakyat DAP atau PKR yang merestui atau bersetuju dengan kata-kata rakan seangkatan mereka itu.

Apa pun, masih kelihatan dalam kalangan ahli YB kerap mengguna atau menyelitkan peristilahan bahasa Inggeris semasa berhujah. Walaupun setiap kali kalimah bahasa Inggeris digunakan diiring kata-kata ‘dengan izin’, namun tentulah lebih elok jika dapat diminimumkan penggunaan bahasa asing di persidangan Dewan Rakyat ini.

Semoga kecenderungan menggunakan bahasa Melayu secara betul dan meluas ini turut diamalkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara. Manifestasi dari suasana ini adalah semua pihak perlu menerima dan menghormati bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kongres Budaya 2017 yang bakal berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 15 April depan tentu akan menyelitkan perbincangan tentang penggunaan bahasa kebangsaan ini secara meluas di mana-mana premis atau khalayak. Kongres yang diadakan selepas 46 tahun itu dijangka merumuskan pendekatan berkesan bagi mengembalikan budaya rakyat Malaysia sebagai unsur penting dalam pembinaan tamadun bangsa dan tanah air. Ini termasuk melalui penggunaan bahasa kebangsaan dan ciri-ciri kesenian dan kebudayaan yang terdapat di tanah air ini.

Mengamalkan tutur kata yang sopan dan tersusun, berlandaskan nilai bahasa yang tinggi boleh mengelakkan terungkap kata-kata nista, kesat atau kasar. Dalam kata lain, keindahan ungkapan dan penggunaan bahasa pertuturan yang baik dan indah dapat menyegarkan roh atau jiwa pihak yang menutur dan yang mende­ngarnya. Lalu damai pun dipupuk dan harmoni akan menghiasi kehidupan.

Hal ini lebih penting jika dapat diamalkan di Dewan Rakyat atau DUN, yakni institusi tertinggi dalam urus tadbir negara atau negeri. Umum tentu mengharapkan apa jua keputusan atau rumusan mengenai dasar dan program memajukan negara dan negeri perlu melalui sesi perbincangan yang menggunakan tata bahasa yang betul, jelas dan mesra.

Sebarang keadaan yang tegang dengan hamburan kata-kata kesat dan tidak bersopan dibimbangi tidak menghasilkan sebarang keputusan atau ketetapan yang bernas, tepat dan termeterai dalam keadaan yang sempurna. Bagi kalangan umat Islam, hal ini mempunyai kaitan dengan pen­tingnya mencari kata sepakat yang jujur dan ikhlas demi mengharapkan rahmat dan keberkatan Ilahi.

Setiap kali berlangsungnya persidangan, Dewan Rakyat sering menerima kunjungan rombongan pelbagai pihak termasuk kalang­an pelajar, kelompok-kelompok tertentu dalam masyarakat serta pemerhati-pemerhati dari luar negara. Mereka mahu melihat perjalanan persidangan dengan lebih dekat, termasuk tatacara dan tutur kata ahli dewan ketika berhujah.

Di sinilah perlunya ahli dewan mempamerkan tingkah sopan dengan penggunaan tata bahasa yang menarik dan sesuai semasa bersoal jawab atau menyampaikan perbahasan. Apa yang dilihat dan didengar semasa kunjungan itu akan dirakam dan tersimpan dalam kenangan. Tutur kata cerminan budi, indah bahasa gambaran hati. Justeru, jangan memperkecilkan soal bahasa kerana penghujungnya, bahasa adalah lambang ketamadunan bangsa.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain