Dalam subseksyen (2) pula, peruntukan ini menyatakan tidak ada apa-apa tindakan undang-undang atau tuntutan boleh di­buat terhadap PBN, PBT, mana-mana pegawai atau petugasnya berhubung apa-apa kerja bangunan atau selainnya yang dilaksanakan di bawah akta ini. Peruntukan ini juga menyatakan tidak ada apa-apa dalam akta ini yang mewajibkan PBN atau PBT memeriksa apa-apa bangunan, kerja pembangunan atau bahan atau tapak bangunan untuk memastikan peruntukan akta ini dipatuhi. Dalam bahasa mudah, sekiranya PBN atau PBT atau pegawai-pegawai berkenaan tidak (enggan atau gagal) melakukan sesuatu yang sepatutnya mereka lakukan, ­kegagalan berbuat demikian tidak boleh dijadikan asas bagi sesiapa mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Akta 133 berkuat kuasa lebih dari empat dekad, yang bermakna selama itulah juga PBT dan pegawai-pegawainya menikmati kekebalan daripada sebarang tindakan undang-undang oleh mana-mana pihak, termasuk daripada penduduk yang tinggal dalam kawasan pentadbiran mereka. Di tahun 80-an, saya pernah bertanya dalam satu forum apakah justifikasi kekebalan ini terus dinikmati oleh PBT dan pegawai-pegawai mereka? Se­orang pegawai undang-undang yang pa­da masa itu bertugas di sebuah PBT di Lembah Klang menjawab bahawa perlindungan ini diperlukan kerana sewaktu Akta 133 ini diluluskan, PBT yang ada di negara ini kekurangan serba-serbinya, terma­suklah tenaga ke­pakaran, tenaga profesional ser­ta kemahiran men­tadbir kawasan perbandaran.

Kini, selepas lebih empat dekad berlalu, apakah semua 154 PBT di seluruh negara masih belum dewasa dan serba kekurangan lalu perlu dikekalkan imuniti mereka itu? Kajian ringkas saya terhadap beberapa PBT (termasuklah yang masih bertaraf Majlis Daerah) menunjukkan mereka sudah ada beberapa jabatan khusus, seperti Jabatan Pentadbiran, Jabatan Perundangan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kejuruteraan dan sebagainya.

Dalam kes tragedi Highland To­wers yang mengakibatkan 48 nyawa terkorban (penghuni blok 1 yang tumbang) dan blok 2 dan 3 diisytiharkan tidak selamat untuk diduduki, imuniti PBT menjadi salah satu isu penting yang perlu diputuskan mahkamah. Hakim bicara memutuskan PBT berkenaan (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) menikmati imuniti bagi peringkat sebelum blok 1 tumbang (imunity for pre-collapse) tetapi tidak lagi menikmati imuniti bagi peringkat selepas bangunan itu tumbang.

Sebaliknya hakim bicara memutuskan PBT berkenaan bersalah kerana kecuaian. Walau bagaima­napun, apabila kes ini akhirnya sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan, mahkamah itu memutuskan (dengan keputusan majoriti 2:1) bahawa MPAJ masih menikmati kekebalan sepenuhnya.

Mahkamah Persekutuan bertanya apakah wajar satu PBT dikenakan liabiliti dalam kes ini? Kata mahkamah, sebuah PBT di­tubuhkan untuk melaksanakan pelbagai tugas termasuk ­me­­n­yediakan kawasan rekreasi, me­ngutip sampah, menyediakan pengangkutan awam, rumah kediaman untuk setinggan, kediaman sementara sewaktu bencana alam, dan sebagainya. Untuk membiayai semua kerja ini, PBT bergantung kepada kadar taksiran dan fi untuk lesen dan sebagainya. Dengan sumber terhad begini, PBT terpaksa berhati-hati kepada perkara yang mesti diutamakan. Jika PBT dikehendaki membayar ganti rugi kepada pihak-pihak yang membuat tuntutan terhadapnya, ia mungkin terpaksa gulung tikar.

Isu sama ada imuniti PBT ini wajar dikekalkan atau dimansuhkan turut dibincangkan di luar negara, termasuk di Amerika Syarikat. Antara alasan-alasan yang biasa disebutkan untuk menjustifikasikan imuniti PBT ini adalah:

1.Perlu ada untuk memelihara dana awam;

2.Ia menggalakkan penambahbaikan dan peningkatan perkhidmatan awam;

3.Liabiliti akan memberi impak negatif kepada perkhidmatan awam;

4.Kepentingan awam perlu diutamakan dari kepentingan golo­ngan kecil.

Barangkali tidak ramai di negara ini sedar bahawa di beberapa negeri di Amerika Syarikat, imuniti PBT telah lama dimansuhkan. Dalam kes Hargrove v Town of Cocoa Beach (1957) mahkamah Florida te­lah memansuhkan prinsip ini yang berasal dari common law England. Perkembangan yang sama berlaku di Milwaukee (dalam kes Holytz v City of Milwaukee, 1962) dan Ohio (dalam kes Enghauser Mfg Co v Eriksson Engineering, 1983).

Dalam kes Hargrove, seorang wanita, Ervine Hargrove (plaintif) membuat tuntutan terhadap PBT (Majlis Perbandaran Cocoa Beach) kerana kecuaiannya menyengga­ra penjara yang mengakibatkan suami plaintif (seorang banduan) mati dalam satu kebakaran. Hakim bicara telah menolak tuntutan plaintif atas alasan PBT menikmati imuniti. Terkilan dengan keputusan ini, plaintif merayu ke Mahkamah Agong Florida.

Mengikut Hakim Thornal, imuniti PBT ini mula diiktiraf dalam satu kes lama di England iaitu Russel v Men of Devon (1788), me­nunjukkan ia berpaksikan common law. Peguam PBT berhujah bahawa sekiranya imuniti PBT ini hendak dimansuhkan, ia hanya boleh dilakukan oleh badan perundangan menerusi satu akta, bukan oleh mahkamah. Hujah ini ditolak oleh mahkamah, dengan Hakim Thornal mengatakan tidak ada sebab kita perlukan tindakan badan perundangan mengenai perkara yang mahkamah sendiri telah wujudkan pada asalnya.

Menjelaskan kenapa imuniti ini wajar dimansuhkan, hakim itu berkata: “Sebuah bandar raya mo­den adalah seumpama satu institusi perniagaan besar. Sementara ia punyai ciri-ciri kuasa kerajaan, pa­da masa yang sama ia adalah satu organisasi yang melaksanakan kuasanya bagi kepentingan rakyat yang tinggal dalam kawasannya dan menikmati perkhidmatannya. Bagi mahkamah untuk terus menganugerahkan kekebalan kepada organisasi seperti ini adalah seumpama menjadikan negara dalam kurun ke-20 ini tertakluk kepada undang-undang lapuk kurun ke-18.”

Di negara ini, apa prospek pembaharuan akan berlaku di masa depan? Disebabkan mahkamah kita terikat dengan dua prinsip undang-undang, duluan mengikat (judicial precedent) dan hormati keputusan itu (stare decisis), barangkali sukar bagi mana-mana Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan di negara ini membuat keputusan tidak mengiktiraf imuniti PBT, kerana mereka terpaksa menghormati keputusan Mah­kamah Persekutuan dalam kes Highland Towers ini.

Jika imuniti PBT ini hendak dimansuhkan mahkamah, satu kes baharu mengenainya perlu dibawa sehingga ke Mahkamah Persekutuan bagi memberinya peluang membuat keputusan yang berbeza. Sebagai alternatif lain, cara yang lebih mudah ialah dengan Parlimen menyemak semula dan meminda seksyen 95 Akta 133 ini, dengan matlamat salah satu perkara berikut - imuniti ini dimansuhkan se­pe­nuh­nya; dimansuhkan tertakluk kepada pengecualiannya atau PBT dikenakan liabiliti tetapi tertakluk kepada had yang ditetapkan.

 

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.