“Shafie perlu lebih tenang dalam mendepani keadaan itu, bukannya melemparkan tuduhan terhadap pihak lain dan cuba membabitkan orang lain.

“Tidak perlu panik. Tiada apa yang perlu ditakutkan sekiranya anda tidak bersalah seperti kata peribahasa Melayu ‘berani kerana benar, takut kerana salah’,” kata Musa, tenang kepada pihak media kelmarin.

Ini kali pertama Musa tampil menyentuh isu rasuah membabitkan Mohd. Shafie. Beliau tidak menyebut walau sepatah pun perkataan berkaitan kes itu sebelum ini walaupun diserang secara terbuka dalam ceramah politik dan media sosial Mohd. Shafie.

“Bagaimanapun hari ini saya rasa saya terpaksa kata sesuatu kerana beliau cuba membabitkan saya di Parlimen dengan menyatakan seseorang yang ada kaitan dengan saya mendapat satu projek,” kata Musa.

Kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Sungai Intan adalah antara 70 projek di Sabah yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bulan lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad melawat Loji Rawatan Air Sungai Intan yang terletak di Semporna, kawasan Parlimen Mohd. Shafie, ketika siasatan berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bi­lion daripada dana pembangunan luar bandar untuk Sabah sedang berjalan.

Bercakap isu yang sama, Pe­ngerusi Gerakan Akar Umbi Malaysia (Gaum), Datuk Zulkarnain Mahdar ketika dihubungi semalam menyifatkan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu cuba lari daripada topik asal me­ngenai kes salah guna kuasa membabitkan peruntukan berbilion ringgit yang kini disiasat SPRM.

Sebaliknya, beliau mencabar Mohd. Shafie menyenaraikan peruntukan yang dikhaskan untuk pembangunan rakyat luar bandar sebanyak RM7.5 bilion dengan kerajaan negeri pernah dibawa berbincang bersama mengenai­nya semasa beliau masih lagi berjawatan menteri.

“Cubaan melibatkan ‘anak bu­ah’ pemimpin berkenaan jelas bertujuan mahu mewujudkan persepsi negatif dalam kala­ngan rakyat terhadap Ketua Menteri Sabah.

“Tidak logik sama sekali untuk cuba mengaitkan apa sahaja aktiviti perniagaan seluruh kaum keluarga ketua menteri dengan Datuk Seri Musa. Malahan jika benar dakwaan Mohd. Shafie projek tersebut adalah daripada bekas kementeriannya, adalah jelas isunya di sini mengaitkan Ketua Menteri Sabah de­ngan pemberian projek ter­sebut sesuatu yang amat salah.

“Ini memandangkan Kementerian Ke­majuan Luar Bandar dan Wilayah jelas di bawah Kementerian Persekutuan dengan Mohd. Shafie adalah menterinya sebelum ini sedang­kan Ketua Menteri Sabah hanya terlibat dalam pentadbiran Sabah,” katanya.

Mohd. Shafie, tegas Zulkarnain, sepatutnya perlu menunggu perbicaraan di mahkamah untuk mengemukakan segala bukti bahawa beliau tidak bersalah. Dan bukannya cuba mencampuri urusan siasatan SPRM yang sedang berjalan.

“Harus diingat bahawa Mohd. Shafie mempunyai peluang untuk melantik peguam yang hebat dan terbaik mewakili beliau. Dan ini adalah medan sebenar untuknya mengeluarkan hujah yang ada pada beliau. Bukannya berterusan mengatakan dia adalah mangsa politik,” katanya .

Kelmarin Musa memberitahu, beliau sendiri tidak tahu menahu projek yang dikatakan Mohd. Shafie itu kerana ‘saya mempunyai keluarga besar dan ramai saudara mara’.

“Saya tidak boleh halang mereka yang baik dengan Shafie daripada mendapat projek,” kata beliau.

Mohd. Shafie, kata Musa lagi, harus bersikap lebih gentleman dan tidak menggunakan imuniti Parlimen dan taktik berdolak-dalik untuk mengalih­kan tumpuan daripada dirinya.

Benar kata Musa, SPRM telah menahan individu sama ada daripada parti politik kerajaan dan juga pembangkang dalam menyiasat kes-kes rasuah di negara ini.

“Isu kes ini kononnya bermotifkan politik langsung tidak berasas kerana SPRM telah menahan individu daripada parti pemerintah dalam banyak kes lain.

“SPRM perlu dibiarkan menjalankan siasatan rasmi tanpa rasa takut atau pilih kasih dan pastinya tanpa perlu menggembar-gemburkannya secara dramatik.”