Lima hari kemudian, mayatnya ditemukan di tempat pembuangan sampah.

Laporan bedah siasat menunjukkan kanak-kanak malang itu bukan sahaja dibunuh, malah turut dirogol.

Perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu bagaimanapun berakhir apabila si pembunuh kanak-kanak itu berjaya ditangkap polis, hasil penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh pada mayat mangsa.

Pada 17 Februari lalu, penjenayah terbabit, Imran Ali, 24, dijatuhi empat hukuman mati oleh sebuah mahkamah antikeganasan (ATC) di Lahore atas kesalahan merogol dan membunuh Zainab.

Polis mengenal pasti Imran sebagai jiran Zainab, dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada hari kanak-kanak itu dilarikan menunjukkan mangsa berjalan bersama lelaki berkenaan.

Imran turut berdepan pertuduhan dalam kes yang melibatkan sekurang-kurangnya tujuh lagi kanak-kanak perempuan yang diserang di bandar Punjab dengan lima daripadanya turut dibunuh.

Lelaki itu mengaku melakukan kesemua lapan serangan tersebut, termasuk yang menyebabkan kematian Zainab.

Bagi kes membabitkan Zainab, Imran dijatuhi empat hukuman mati yang berasingan selepas dia disabitkan bersalah atas tuduhan merogol dan membunuh kanak-kanak itu termasuk pertuduhan berkaitan keganasan, menurut Pendakwa Raya Punjab, Ihtesham Qadir.

Pihak pendakwaan berkata, Imran juga dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan denda berjumlah 3.2 juta rupee (RM192,804) atas pertuduhan menyembunyikan mayat mangsa.

Satu juta rupee (RM60,241) daripada denda tersebut akan diberikan sebagai pampasan kepada keluarga Zainab, ujar Pendakwa Raya, Abdul Rauf Watto kepada AFP.

Perbicaraan telah dijalankan di penjara Kot Lakhpat di Lahore atas alasan keselamatan. Hanya keluarga mangsa dibenarkan masuk untuk mengikuti perbicaraan, manakala wartawan dihalang dalam jarak 500 meter dari penjara.

Kawalan keselamatan yang ketat turut dikenakan di luar penjara sewaktu pengumuman keputusan tersebut dan setiap pelawat perlu menjalani pemeriksaan badan.

Sementara itu, ibu kepada Zainab, Nusrat Bibi mendesak pelaksanaan hukuman mati dilakukan di tempat awam.

“Saya mahu dia digantung di hadapan orang ramai di tempat dia melarikan Zainab,” katanya kepada pemberita selepas keputusan mahkamah diumumkan.

Pembunuhan Zainab pada bulan lalu telah menggemparkan seluruh Pakistan dan mencetuskan tunjuk perasaan oleh beribu-ribu penduduk di bandar Kasur di Punjab. Mereka berkumpul di balai polis dan membakar rumah ahli politik, selain rakyat dari seluruh negara menggunakan media sosial bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas dalam kes tersebut.

Pembunuhan itu juga menimbulkan desakan agar pelaksanaan hukuman mati terhadap Imran dilakukan di tempat awam selepas pihak berkuasa menyatakan DNA lelaki itu telah ditemukan di tempat kejadian dan didapati sepadan dengan kes-kes lain.

Sekurang-kurangnya 12 kes rogol dan bunuh telah direkodkan di Kasur sejak dua tahun lalu. Imran mengaku terhadap lapan kes, namun tidak jelas sekiranya empat kes lain adalah berkaitan.

Menurut bapa mangsa, Ameen Ansari, Imran yang tinggal berdekatan rumahnya, mengambil bahagian pada awal tunjuk perasaan yang diadakan selepas mayat Zainab ditemukan.

Dalam perbicaraan kes tersebut, pasukan pendakwaan mengemukakan 56 saksi dan mendakwa Imran bersalah melakukan jenayah itu berdasarkan bahan-bahan bukti termasuk laporan DNA.

Pihak pendakwaan juga mengemukakan laporan forensik melalui video dan bahan-bahan lain untuk menyokong kesnya. –AFP/ THE GUARDIAN