Sidang ini dihadiri antara lainnya oleh tokoh-tokoh rentas bidang, termasuk perundangan dan Syariah, seperti Tun Ahmad Fairuz Datuk Sheikh Ab. Halim (mantan Ketua Hakim Negara), Sohibus Samahah Datuk Seri Dr. Hj Abdul Rahman Hj. Osman (Mufti Negeri Pahang), Al-Fadhil Ustaz Zamri Hashim (Timbalan Mufti Perak), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi (Majlis Ittihad Ummah), Musa Awang (Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia) — sekadar menyebutkan beberapa nama — dan tokoh-tokoh akademik, pegawai-pegawai undang-undang dan Syariah, serta aktivis organisasi masyarakat sivil (CSOs) di pelbagai peringkat.

Setelah mendengar pandangan dan hujah yang disampaikan pihak-pihak yang hadir dalam perbincangan ini, penulis dapat merumuskan tiga perkara utama, iaitu seperti berikut:

(a) Tindak-tanduk Ridhuan bin Abdullah dalam kes ini telah menzalimi hak-hak Indira Gandhi. Barisan peguam yang mewakili Ridhuan di peringkat awal telah menarik diri daripada terus mewakilinya, atas sikap Ridhuan yang tidak menghormati proses kehakiman, dan sukar dikawal oleh para peguam. Penulis kurang bersetuju dengan tindakan Ridhuan yang menghilangkan diri bersama-sama dengan anak bongsunya, Prasana Diksa, sehingga menyebabkan seorang ibu dipisahkan secara berpanjangan daripada anaknya yang baru berusia 11 bulan pada ketika itu;

(b) Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan tempoh hari tidak ada kena-mengena sama sekali dengan tindakan tidak bertanggungjawab Ridhuan melarikan anak bongsunya, kerana hal tersebut telah pun diputuskan sebelum ini dalam kes sivil yang berlainan, yang telah memberikan hak jagaan anak tersebut kepada Indira Gandhi. Sebaliknya, keputusan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini hanyalah semata-mata terhadap status agama anak-anak;

(c) Meskipun demikian, keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan ternyata telah melangkaui sekadar merungkaikan pertikaian antara Ridhuan dengan bekas isterinya, mengenai kedudukan agama anak-anak; sebaliknya telah turut menyentuh aspek-aspek kritikal mengenai kedudukan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan; keesahan pindaan Perlembagaan yang memasukkan Perkara 121(1A); Pentadbiran agama Islam di negeri-negeri di bawah kekuasaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu; dan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut juga turut melibatkan hak-hak keibubapaan yang sepatutnya perlu ditangani secara cermat bagi melindungi hak kesemua pihak, tetapi malangnya keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut, dilihat gagal memastikan hal ini. Berdasarkan kepada Alasan Penghakiman oleh Yang Arif Zainun Ali, dan dipersetujui sebulat suara oleh empat hakim yang lain, intipati daripada keputusan kes tersebut antara lainnya adalah seperti berikut:

(a) Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa eksklusif semakan kehakiman, termasuk untuk mendengar dan membicarakan perkara-perkara yang jatuh di bawah hukum Syarie, walaupun Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi Sivil “tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah”;

(b) Perkataan parent dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan — yang memperuntukkan bahawa “the religion of a person under the age of eighteen years shall be decided by his parent….” — adalah merujuk kepada ibu DAN bapa, dan oleh yang demikian persetujuan kedua-dua ibu dan bapa adalah diwajibkan sebelum seseorang anak itu boleh didaftarkan agamanya sebagai Islam; dan

(c) Mahkamah Syariah di negeri Perak tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan penentuan sama ada kemasukan ke agama Islam seseorang itu adalah sah ataupun tidak, kerana seksyen 50(3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perak hanya memperuntukkan bidang kuasa untuk Mahkamah Syariah membuat pengisytiharan keluar Islam, bukan untuk menentukan kesahihan kemasukan Islam seseorang itu.

Berhubung dengan pembahagian ruang lingkup bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dengan Mahkamah Syariah, Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi nampaknya telah memilih untuk mengakas barisan autoriti perundangan terdahulu, termasuk kes penting dalam Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Yang Lain [2007] 3 CLJ 557, bagi merampas perkara yang selama ini telah ditakrifkan berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Mahkamah berbuat demikian, termasuk antara lainnya dengan menerima pakai doktrin struktur asas (basic structure doctrine), dengan menghujahkan bahawa sungguhpun pindaan terhadap Perlembagaan telah dibuat pada tahun 1988 bagi memasukkan bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah di bawah Perkara 121(1A), tetapi pindaan tersebut tidak boleh mengusik apa yang disifatkan sebagai kononnya basic structure melibatkan bidang kuasa eksklusif Mahkamah Sivil dalam hal berkaitan semakan kehakiman, termasuk bagi perkara-perkara berhubung kait dengan Islam.

Doktrin basic structure sebenarnya adalah suatu fahaman asing, yang berasal daripada sistem kehakiman dan perlembagaan India. Sejak dari tahun 1977 lagi, apabila ada pihak yang cuba untuk menyerapkan doktrin ini ke dalam sistem kehakiman negara ini, Mahkamah di Malaysia telah secara konsisten menolak daripada menerima pakai doktrin tersebut.

Tafsiran

Dalam kes Loh Kooi Choon v Government of Malaysia [1977] 2 MLJ 187, Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah yang merupakan hakim Mahkamah Persekutuan pada ketika itu, telah menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tapak asas kepada tata-kelola negara ini adalah sebuah perlembagaan yang mandiri, iaitu berdiri di atas kakinya sendiri — atau “stands in its own right” — tanpa sebarang keterikatan kepada tafsiran ataupun sistem keperlembagaan yang diamalkan oleh mana-mana negara lain, atau terhadap mana-mana pengaruh dari luar. Ketika menolak mengguna pakai prinsip asing “basic structure”, baginda menyatakan seperti berikut:

“Whatever may be said of other Constitutions, they are ultimately of little assistance to us because our Constitution now stands in its own right and it is in the end the wording of our Constitution itself that is to be interpreted and applied, and this wording ‘can never be overridden by the extraneous principles of other Constitutions.”

(“Apa pun yang diperkataan berkenaan Perlembagaan-Perlembagaan dari negara lain, hakikatnya Perlembagaan negara kita hendaklah berdiri di atas kakinya sendiri, serta ungkapan-ungkapan yang terkandung di dalamnya mesti ditafsirkan ‘tanpa membenarkan unsur-unsur asing dari Perlembagaan negara lain mengatasi peruntukan dalam Perlembagaan kita sendiri").

Penulis berpendirian bahawa doktrin asing basic structure itu adalah tidak keperlembagaan sebaliknya menegaskan bahawa prinsip perlembagaan negara hendaklah berpaksi kepada kedaulatan watan dan kearifan lokal seperti diperuntukkan Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.

Kedaulatan negara berkonsepkan Raja-Raja Melayu bersumberkan ajaran Islam seperti mana menurut sejarah undang-undang watan sewajarnya menjadi pegangan Mahkamah Persekutuan kerana di situlah terletaknya kedaulatan undang-undang negara Malaysia. Selain itu Mahkamah Persekutuan telah menceroboh prinsip pemisahan kuasa di negara ini, apabila pihak kehakiman mengambil alih bidang kuasa pihak legislatif berhubung kuasa meminda undang-undang, sedangkan tatacara berkenaan pindaan Perlembagaan telah dinyatakan satu persatu di bawah Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.

Berhubung penentuan agama anak-anak pula, sungguhpun syarat persetujuan kedua-dua ibu dan bapa mesti diperolehi terlebih dahulu sebelum agama anak-anak boleh ditukarkan nampak seperti memberi keadilan kepada suami dan isteri; tetapi jika dicermati dengan lebih mendalam, ia sebenarnya adalah amat berat sebelah dan sama sekali tidak adil kepada pasangan yang memeluk agama Islam. Hal ini kerana apabila seseorang itu memeluk Islam, sedangkan pasangannya tidak mahu memeluk Islam, perkahwinan antara mereka akan perlu dibubarkan. Dalam menjalani proses pembubaran perkahwinan atau perceraian ini, ada kalanya kedua-dua pasangan tidak lagi bercakap antara satu sama lain hanya melalui peguam sahaja.

Justeru, sudah tentulah syarat untuk mendapatkan persetujuan kedua-dua belah pihak dalam hal penentuan agama anak adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk dicapai. Ini bererti jika seseorang mualaf itu memeluk Islam, dia juga perlu bersedia untuk melepaskan haknya di bawah Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan berhubung penentuan agama dan pendidikan agama anak-anaknya. Hal ini sudah tentu tidak adil. Keputusan Mahkamah Persekutuan ini telah menyimpang daripada keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu, yang pernah diputuskan pada tahun 2008, dalam kes Subashini Rajasingam v. Saravanan Thangothoray Other Appeals [2008] 2 CLJ 1.

Dalam kes tersebut, mahkamah telah mengambil pendekatan yang lebih berharmoni, di mana mahkamah mengatakan bahawa persetujuan mana-mana ibu ATAU bapa adalah memadai (dan tidak semestinya persetujuan kedua-duanya) untuk mendaftarkan pertukaran agama anak apabila salah seorangnya memeluk agama Islam. Dalam masa yang sama, jika pasangannya yang bukan Islam merasakan pertukaran agama anaknya itu tidak adil dan menzalimi haknya, maka dia juga berhak untuk membantah.

Jika bantahan dikemukakan, maka mahkamah akan menghakimi dengan mengambil kira kepentingan kanak-kanak tersebut, serta diimbangkan dengan hak di antara ibu dan bapa, serta fakta-fakta lain berasaskan kepada case to case basis. Pendekatan yang diambil oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2008 dahulu dilihat lebih adil, kerana setiap kes akan diadili berasaskan meritnya masing-masing; berbanding keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi baru-baru ini, yang seolah-oleh memberikan kuasa veto kepada pasangan bukan beragama Islam untuk menafikan hak menentukan agama anak kepada pasangan mualaf. Ia adalah diskriminasi yang tidak adil kepada hak beragama seseorang mualaf.

Meskipun demikian, penulis tetap menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut, tetapi dalam masa yang sama, menyokong usul yang disuarakan oleh Ketua Sekretariat UMMAH, Aminuddin Yahya, yang mengambil pendirian bahawa keputusan tersebut perlu untuk diperbetulkan semula — kerana ia menyentuh aspek-aspek kritikal mengenai prinsip-prinsip keperlembagaan — dengan cara pemfailan permohonan Semakan Semula (Review Application) di Mahkamah Persekutuan di bawah Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, dalam kadar segera.

Ini demi memastikan keutuhan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara, yang telah meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, terus didaulatkan.

PENULIS ialah peguam dan Ketua Eksekutif, Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA).