rosmah
 

2. "Sebagai seorang ibu, saya turut berkongsi kesedihan dengan ibu pelajar ini. Bayangkan, mangsa merupakan satu satunya anak lelaki dan menjadi harapan kepada keluarga tersebut. Amat menyedihkan. Tergamak sungguh anak-anak di usia yang muda melakukan jenayah ini", kata Rosmah mengenang kembali nasib yang menimpa anak muda itu. Dari raut wajahnya saya menyedari bahawa beliau begitu ingin melakukan sesuatu bagi membantu dan membetulkan budaya kehidupan remaja yang semakin pincang yang kita warisi kini.

3. "Ada sesuatu yang tidak kena dengan masyarakat kita pada hari ini. Apabila sekumpulan anak muda sanggup membunuh seorang anak muda yang tidak berdosa, pasti ada sesuatu bahaya yang tidak kita sedari sedang secara senyap merosakkan generasi kita", kata Rosmah yang masih tidak boleh menerima bahawa seorang anak muda yang mempunyai masa depan yang gemilang, dibunuh hanya kerana mempertahankan sepupu perempuannya yang diganggu oleh sekumpulan lelaki di situ.

4. "Lama saya berfikir dan mengkaji mengapa masyarakat kita jadi begini. Dahulu kita tidak macam ini. Masyarakat kita tidak dikenali sebagai masyarakat yang suka membuat kacau. Kita terkenal dengan budaya murni dan berhemah. Mengapa budaya songsang ini dibenarkan bertapak di sini? Akhirnya saya berpandangan bahawa sesuatu perlu dilakukan oleh kita untuk membangunkan masyarakat secara betul. Kerana saya isteri Perdana Menteri ketika itu, pasti ada ruang dimana saya boleh bersuara untuk melakukan sesuatu. Pada pandangan saya, setiap anak di Malaysia perlu diberi pendidikan secara menyeluruh baik dari sudut emosi, intelek, rohani dan psikologi mereka", isteri Perdana Menteri keenam itu memberi pandangan.

5. "Yang paling penting ialah anak-anak perlu diajar perkara-perkara yang betul ketika mereka berada di sekolah. Pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah perlulah menyeronokkan. Semasa di sekolah anak-anak perlu diajar mengikut acuan mereka iaitu mengasah dan mengilap bakat sedia ada mereka. Dengan ini mereka akan lebih minat untuk hadir ke sekolah dan kita boleh mengatasi masalah keciciran. Saya masih ingat lagi satu peristiwa dimana saya melihat seorang budak lelaki dalam lingkungan usia 13 tahun sedang membaiki dan menjual kasut sedangkan hari itu adalah hari bersekolah. Bermakna anak ini ponteng sekolah. Mengapa ini berlaku? Pertama, sudah tentu dia memerlukan wang. RM20 yang diperolehi bagi setiap pasang kasut sudah cukup besar buatnya.

Kedua, mungkin apa yang diajar di sekolah tidak menyeronokkan buatnya. Ketika itu saya terfikir bahawa sekiranya anak ini diberi sokongan dan ilmu yang perlu dibidang yang diminatinya ini, kemungkinan satu hari nanti dia akan berjaya di peringkat yang membanggakan", sambung Datin seri dengan memberi contoh. Sebagai seorang guru, saya sangat kagum dengan pengetahuan pendidikan yang dimilikinya. Ternyata kajian yang dijalankannya telah membuatkan beliau peka dengan kehendak tumbesaran kanak-kanak.

6. Akhirnya Datin Seri Rosmah telah menghubungi beberapa orang kenalan beliau yang pakar dalam bidang berkaitan untuk menyatakan apa yang bermain di fikiran beliau tentang nasib anak-anak di Malaysia dan masa depan mereka.

7. "Saya menghubungi beberapa NGO wanita, ahli akademik dan beberapa orang professor universiti untuk membincangkan masalah anak-anak di Malaysia dan masa depan mereka. Saya sedar bahawa kita tidak boleh mengganggu dasar pendidikan yang sedia ada. Tetapi kita boleh memikirkan bagaimana hendak menghasilkan sebuah modul bagi menyokong, memperkukuh dan melengkapi sistem yang sedia ada agar kanak kanak diasuh secara menyeluruh. Dari situ kami mengadakan mesyuarat demi mesyuarat dan pembentangan demi pembentangan untuk mencari resolusi terbaik. Ia mengambil masa selama 16 bulan untuk kami meletakkan segalanya di tempat yang betul", tekan beliau lagi.

8. "Kami namakan program ini sebagai PERMATA kerana bagi saya setiap anak itu adalah permata bagi keluarga dan negara ini. Mereka mempunyai keistimewaan dan kemahiran sendiri dan kita perlu memupuk personaliti positif dalam diri anak-anak di zaman awal kanak-kanak itu lagi. Antara faktor yang menyumbang kepada pembentukan karektor dan personaliti seseorang kanak-kanak itu ialah alam semulajadi, asuhan, pendedahan, guru dan mentor, rakan sebaya dan ibubapa sendiri ", kata pengasas PERMATA itu dengan penuh semangat.

9. Penerangan beliau membuatkan saya terpegun. Sambil mendengar, saya mengimbau kembali pengalaman saya ketika menemui para pelajar yang mempunyai potensi yang besar untuk keluar dari kepompong kemiskinan tetapi keadaan dan sistem yang ada tidak membenarkan untuk itu berlaku. Saya kagum dengan rancangan Datin Seri Rosmah itu.

10. "Cikgu... cikgu...Berangan apa pulak tu?", suara isteri bekas Perdana Menteri itu mengejutkan saya dari lamunan. "Cikgu ke mana tadi?", guraunya apabila melihat saya dilamun dengan ide-ide dan impian yang cuba digapainya.

11. "Saya kagum dengan impian dan ide Datin. Inilah yang saya perjuangkan sebagai seorang guru sejak sekian lama. Mengapa impian Permata ini tidak digilap dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin?"

12. "Sebab ia datang dari Rosmah Mansor. Ramai yang lebih seronok membicarakan kisah dongeng cincin berlian dan beg tangan. Sedangkan masa depan anak-anak luar bandar seperti diabaikan. Saya berasakan bahawa seperti ada yang hendak sabotaj masa depan anak-anak miskin luar bandar ini. Mereka seperti tidak dibenarkan untuk mengecapi kejayaan sebagai masyarakat madani. Ramai yang lebih senang melihat anak miskin terus miskin. Saya tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam mengetengahkan ide Permata ini tetapi telah banyak cerita negatif yang saya dengar untuk menggagalkannya. Semua rakyat Malaysia mempunyai peranan dalam mencorak anak-anak ke arah yang lebih baik. Saya tidak terkecuali. Saya berharap agar usaha murni Permata ini diteruskan dan diperkasakan bukan kerana Rosmah Mansor tetapi demi masa anak-anak yang punya masa depan yang panjang", jelas Rosmah yang mempunyai harapan yang tinggi terhadap masa depan generasi muda akan datang.

Bersambung..........

 

ARTIKEL ADALAH PANDANGAN PERIBADI PENULIS

Kamarul Azman Habibur Rahman
Kamarul Azman Habibur Rahman