Kini dunia perfileman dan drama tempatan kehilangan seorang lagi pelakon aksi apabila Tamam Idris atau mesra dengan panggilan Pak Tamam menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 11.50 malam, kelmarin di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Kuala Lumpur.

Pak Tamam atau nama sebenarnya Bustamam Idris, 77, pergi menemui Ilahi ketika seluruh umat Islam sibuk meraikan Aidilfitri pada hari kedua dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai kira-kira pukul 9.30 pagi, semalam.

Sebelum itu, jenazah Pak Tamam disembahyangkan di masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai yang disertai hampir 100 orang termasuk ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan artis seperti Datuk Rosyam Nor. Solat turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Allahyarham yang pernah menerima penghargaan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada acara Anugerah Skrin 2006 menerusi drama Rintihan Dosa mula dimasukkan ke PPUKM sejak 22 Jun lalu kerana jangkitan kuman pada paru-paru.

Bapa mentua kepada pelakon Den Wahab itu pernah dimasukkan ke PPUKM pada Mei lalu namun dibenarkan pulang selepas seminggu menerima rawatan di situ.

Meskipun dilihat terpaksa bertarung dengan penyakitnya itu, namun sebelum menerima rawatan, Pak Tamam dan isteri, Mariaty Husin menjalani kehidupan yang tenang di Janda Baik, Pahang.

Pak Tamam dalam satu temu bual dengan sebuah akhbar memberitahu yang beliau seronok menguruskan chalet Pondok Impian di Janda Baik.

Itulah rutin kehidupan arwah selepas tidak lagi aktif berlakon sejak beliau terlibat dalam kemalangan pada 2009.

“Selepas kemalangan di mana saya dilanggar kereta, saya mengalami kecederaan parah kerana kepala saya terhantuk kuat. Kesannya, sehingga kini, kepala saya masih terasa sakit dan pening bila membaca.

“Sejak itulah, saya mula melupakan hasrat untuk berlakon dan aktif bersilat. Namun, apabila didesak menantu saya, Den Wahab untuk berlakon, saya terpaksa ambil juga,” katanya yang muncul dalam drama, Berek Hijau pada 2012.

Arwah yang adalah ayah kepada enam orang itu juga pernah memberitahu walaupun beliau sudah tidak ada kekuatan untuk berlakon, namun sebagai anak seni, segala impiannya sudah tercapai.

“Alhamdulillah, segala impian saya sudah tercapai. Satu ketika dahulu, saya berhasrat untuk berlakon dengan pelakon hebat, Eman Manan, akhirnya saya dapat.

“Begitu juga dengan anugerah. Saya berjaya memperoleh anugerah walaupun bagi orang lain, ia bukanlah sesuatu yang besar. Namun, saya sangat berbangga dan berpuas hati,” katanya dalam satu temu bual.

Selain itu, pelakon yang sinonim dengan drama Seorang Tua Di Kaki Gunung pada 1980-an pernah berkata, aktiviti hariannya turut dipenuhi dengan bercucuk tanam.

“Dulu saya pernah berkebun menanam sayur-sayuran dan buah-buahan termasuk buah markisa tetapi sekarang tidak lagi.

“Semuanya kerana keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan. Samalah seperti saya tidak boleh lagi berlakon walaupun ada tawaran. Jadi itulah sebabnya saya berhenti terus daripada dunia lakonan,” katanya.