Seakan baru terjaga dari lena yang panjang, pakatan pembangkang yang mendepani Pilihan Raya Umum 2013 kemudian menggerakkan jentera memfokuskan undi ‘golongan hawa’ di kawasan desa dan pedalaman.

Hasilnya agak memberangsangkan. Meskipun calon wanita Pakatan Rakyat menunjukkan pengurangan kerusi Parlimen yang dimenangi dalam PRU-13 iaitu sebanyak satu kerusi, namun bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi mencatatkan peningkatan besar - dari 18 kerusi dalam PRU-12 kepada 30 kerusi.

Bagi bilangan kerusi yang dimenangi calon wanita BN di kawasan Parlimen bagi PRU-12 dan PRU-13 mencatat jumlah yang masih sama. Untuk kerusi DUN, terdapat sedikit peningkatan dari segi bilangan yang dimenangi iaitu­ dari 23 kepada 27 kerusi.

Persoalannya, sejauh manakah kuasa mengundi wanita mampu menjadi perubahan dalam senario politik sekarang?

Dilaporkan waktu ini Wanita UMNO sahaja memiliki 1.3 juta ahli daripada ­keseluruhan 3.4 juta ahli UMNO. Ini mengatasi sayap Pemuda yang anggaran keah­liannya kira-kira 700,000 orang. UMNO dikatakan bergantung kepada kesetiaan jentera wanita. Tetapi sejauh mana seriusnya juga UMNO menghargai wanita terutama untuk meletakkan lebih ramai calon dari kalangan golong­an itu dalam PRU-14 nanti?

Sering dikatakan bahawa “tangan yang menghayun buai­an mampu menggoncang du­nia”. Tetapi kalau diteliti semula, adakah wanita sudah diberi peluang yang secukupnya dalam ­peringkat buat keputusan dan politik di negara ini? Sejak dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam dilancarkan Kerajaan Pusat pada 2004, pelbagai usaha dan program memperkasakan wanita dirancang dan dilaksanakan.

Statistik Jun 2016 menunjukkan hanya sektor awam berjaya mempunyai 65.4% wanita dalam pengurusan dan profesional yang merupakan pembuat dasar dan keputusan berbanding 61.5% pada 2012 dan 60.9% (2010).

Antara personaliti contoh yang amat membanggakan kaum wa­nita ialah Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara yang sering mendapat pengiktirafan antarabangsa atas sumbangan besar beliau kepada sistem kewangan Islam serta menyumbang kepada sebuah sistem kewangan yang berdaya saing.­ Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood pula sinonim dengan Mercy Malaysia serta ­kerja-kerja amal berbentuk bantuan perubatan yang dilakukan di seluruh pelosok dunia.

Namun dalam arena politik, jumlah wanita yang dipilih menjadi ahli Parlimen di Dewan ­Rakyat pada 2013 masih kekal 10.4% berbanding 2008 manakala perwakilan wanita di Dewan Negara ialah 22.7%. Jumlah wanita yang dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri pula masih tidak melebihi 10 orang dalam tempoh 1995 - 2013. Sehingga Jun 2016, hanya 13.2% daripada jawatan Menteri dan Timbalan Menteri disandang oleh wanita.

Menurut Pengerusi Ahli Parlimen Wanita Komanwel (CWP), Datuk Dr. Noraini Ahmad sebelum ini, sasaran 30 peratus ahli Parlimen wanita untuk negara ini selaras dengan matlamat yang ditetapkan di peringkat antarabangsa. Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencatatkan bilangan ahli Parlimen wanita di peringkat dunia mencecah sebanyak 9,000 orang atau 23.3 peratus pada akhir 2016. Meskipun jumlah itu meningkat dua kali ganda namun masih terlalu kecil. Penambahan ahli Parlimen wanita ini diharap dapat mengurangkan isu gangguan dan keganasan berasaskan jantina yang membelenggu golongan wanita.

Hasil kajian Prof. Dr. Mohd. Fuad Mat Jali (2013) mengenai pe­ngundi wanita bertajuk “Wanita, Belia dan Golongan Minoriti dalam PRU-13” antaranya mendapati:

i. Kriteria calon yang dipilih oleh pengundi wanita – Mesra rakyat (70.6%),

ii. Kriteria parti yang dipilih oleh pengundi wanita - Memperjuangkan isu kemanusiaan dan pembangunan (75.8%),

iii. Pilihan pengundi wanita dalam PRU-13 – BN (59.1%), PR (33.9%) dan tidak pasti (7.0%).

Parti-parti politik seharusnya membuka ruang lebih besar kepada wanita untuk mewakili parti dalam pilihan raya.

Rekod di atas kertas menunjukkan kelayakan mereka di tahap ‘melepasi’. Statistik Pekerjaan dan Perburuhan, Kementerian Sumber Manusia (2017) merekodkan jumlah graduan wanita pada 2016 adalah sebanyak 144,360 orang daripada keseluruhan gra­duan 238,190 orang bersamaan 60.6%. ­Peratusan wanita dari aspek profesional dalam pelbagai sektor pada 2015 pula me­nyaksikan jumlahnya 983,400 orang daripada jumlah keseluruhan 2,180,700 orang bersamaan 45.1%. Kajian Refleksi wanita dan politik di Sarawak: Satu kajian perbandingan dalam Pilihan Raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sarawak oleh Nadrawina (2008) mendapati wujud galakan oleh parti politik kepada wanita untuk berpartisipasi dalam politik di Bumi Kenyalang. Namun, jumlah yang dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya masih kurang.

Jumaat lalu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan jentera Jalinan Rakyat (JR) Plus sebagai unit ketenteraan berskala besar bukan sahaja kepada UMNO tetapi komponen BN di semua ­peringkat di seluruh negara.

Berbanding pembangkang yang gemar memfitnah dan menggunakan keyboard warrior mereka, kata beliau, jentera JR yang diterajui wanita UMNO sebelum ini tidak gentar dalam mendepani segala cabaran, menelusuri semua kawasan ceruk desa bagi memastikan rakyat tetap menyokong BN.

Adakah ruang bicara penulis ini akan mendorong pemimpin wanita dalam parti-parti politik tanah air termasuklah Shahrizat sendiri menuntut lebih kuota calon wanita kali ini?

DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM).