Kumpulan itu terkenal dengan inovasi dan tidak pernah kekura­ngan idea-idea baharu termasuk baru-baru ini menawarkan kepada usahawan siswazah kemudahan pejabat maya di Menara Arina Uniti, Kampung Baru.

Langkah menyediakan hampir 1,000 unit pejabat maya dengan kadar sewa serendah RM180 sebulan itu membolehkan usahawan mempunyai alamat perniagaan di Kuala Lumpur, sekali gus dapat meningkatkan imej syarikat ma­sing-masing.

Keutamaan kepada inovasi mem­bolehkan kumpulan itu terus bertahan walaupun banyak syarikat pendidikan bumiputera terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat menghadapi persaingan dan kos operasi yang semakin meningkat.

Bagi Presiden kumpulan itu, Datuk Jamal Mohd. Amin yang me­ngakui inovasi adalah penting kepada pihaknya menjelaskan, idea-idea baharu bukan sahaja datang daripada kepemimpinan peringkat atasan, malah pekerja bawahan.

Selain inovasi, Jamal berkata, setiap syarikat perlu sanggup menghadapi risiko. Prinsip itu dibuktikan oleh beliau sendiri yang terlibat aktif dengan projek pembangunan di selatan Thailand yang kurang diminati banyak syarikat dari Malaysia kerana konflik bersenjata yang masih berlaku di sana.

Pembangunan di kawasan seluas kira-kira 202 hektar yang dinamakan Pattani Jaya melibatkan pembinaan pelbagai kemudahan terma­suk perumahan, pusat pendidikan, industri produk halal, bangunan komersial, kompleks sukan, pusat Islam dan bangunan akademik.

Projek di lokasi strategik berhampiran jalan utama Songkhla-Narathiwat yang dibangunkan se­cara berperingkat-peringkat ber­mula pada 2014, dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

Mengulas mengenai program terbaharu kumpulan itu yang dinamakan Tree for Future 2018, beliau berkata, idea itu datang da­ripada kakitangannya bagi membolehkan pihaknya mencari dana untuk membantu pelajar miskin.

“Program ini diuruskan Yayasan Uniti yang ditubuhkan bagi melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan ini.

“Projek ini melibatkan penanaman pokok cili secara fertigasi yang hasil jualannya akan disumbangkan bagi untuk membiayai pelajar daripada keluarga miskin mendapat pendidikan sehingga ke peringkat universiti di bawah program 1Keluarga 1Graduan (1K1G),” katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Fertigasi adalah satu kaedah penanaman yang mana pemberian baja yang lengkap kepada tanaman diberikan dalam bentuk larutan dan disalurkan ke akar pokok melalui sistem pengairan titis.

Menurut beliau, idea itu timbul setelah Koperasi Uniti berjaya menanam 4,000 pokok cili melalui kaedah itu di Kolej Uniti, Port Dickson, Negeri Sembilan yang telah mengeluarkan hasil.

“Kita bercadang untuk menanam tambahan 4,000 pokok yang setiap satu dibiayai oleh orang ramai yang ingin menderma dengan kadar serendah RM10 bagi setiap pokok,” katanya.

Jelas beliau, bagi semusim atau tempoh enam bulan, setiap pokok akan menghasilkan pulangan antara RM80 hingga RM100.

“Hasil daripada jualan cili pula, sebanyak 30 peratus akan digunakan untuk membiayai kos operasi termasuk membayar gaji pekerja manakala 70 peratus selebihnya disalurkan kepada Yayasan Uniti bagi program 1K1G.

“Derma orang ramai sebanyak RM10 sepokok yang mendapat potongan cukai pendapatan ini tidak hilang kerana akan diganti dengan pokok cili baharu setiap musim dan ini akan berterusan.

“Turut mendapat manfaat daripada program ini adalah pelajar Kolej Uniti yang bekerja sambil belajar cara menanam cili menerusi kaedah fertigasi. Mereka akan dibayar wang saku dan mendapat sijil,” ujarnya.

Antara program di bawah 1K1G yang telah memberi manfaat kepada lebih 100 pelajar sejak 2013 adalah kelas tuisyen percuma, bengkel teknik menjawab soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bantuan wang saku bulanan, sumbangan buku rujukan dan alat tulis.

Orang ramai yang mahu menderma untuk projek itu yang dijangka dilancarkan secara rasmi pada bulan depan boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 06-6610522.