Makna di sebalik bajet ini bukan sekadar dianggap sebagai ibu segala bajet sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), namun lebih daripada itu, apakah impak bajet tersebut kepada rakyat Malaysia.

Bajet 2018 yang disusun sebaik mungkin memiliki lapan tunjang yang digarap berasaskan kerangka maqasid syariah tetap memberi penekanan terhadap aspek ekonomi modal dan ekonomi rakyat sebagaimana bajet-bajet sebelum ini. Kedua-dua aspek ini tidak boleh dipisah memandangkan kepentingannya buat rakyat Malaysia.

Setiap tunjang memiliki impak tersendiri buat rakyat. Misalnya, tunjang pertama, menyasarkan peningkatan keupayaan rakyat sebagai peniaga dan usahawan melalui pelaburan berimpak tinggi, peningkatan pembiayaan mikro dan mengukuhkan lagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Tidak cukup dengan itu, bidang pertanian juga meraih manfaat dengan pelbagai bantuan diberikan kepada pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan.

Satu perkara yang menarik dalam Bajet 2018 adalah mengambil kira pelbagai kaum di Malaysia. Bukan setakat untukBumiputera sahaja melalui bantuan biasiswa pengajian tinggi dan pelbagai program peningkatan kemahiran serta keusahawanan, kaum Cina dan India juga dibantu untuk meningkat kualiti hidup melalui aktiviti keusahawanan dalam kalangan mereka.

Misalnya, sebanyak RM80 juta diperuntukkan buat PKS dan penjaja komuniti Cina, manakala peruntukan tambahan RM50 juta untuk program pembangunan sosio ekonomi masyarakat India.

Kaum India juga mendapat manfaat sebanyak 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang akan diagihkan khas buat mereka.

Malah pengambilan baharu kaum India dalam institusi pengajian tinggi awam dan sektor awam ditingkatkan dengan sasaran sehingga tujuh peratus. Prihatin dengan aspek kekeluargaan, Bajet 2018 mengambil kira keseluruhan anggota sebuah keluarga bermula daripada yang baharu dilahirkan sehingga kepada ibu bapa.

Meringankan beban

Manakan tidak, sebaik sahaja kelahiran bayi baharu pada awal tahun hadapan sehingga tahun 2022, wang saguhati bernilai RM200 dalam bentuk unit Amanah Saham diberikan kepada bayi tersebut.

Insentif terbaharu ini akan menggalakkan ibu bapa untuk menyimpan wang buat anak-anak mereka sejak dari bayi.

Insentif juga diberikan kepada anak-anak yang sudah meningkat dewasa melalui pelbagai bantuan pendidikan dan biasiswa kepada anak-anak yang sudah meningkat dewasa seperti skim MyBrain bagi mereka yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran.

Bagi seorang ibu yang tidak bekerja pula, insentif percukaian dengan pengecualian cukai selama 12 bulan diberikan untuk memujuk mereka kembali bekerja.

Apa yang menarik, insentif cuti bersalin buat ibu yang bekerja di sektor swasta dilanjutkan kepada 90 hari berbanding hanya 60 hari sebelum ini. Ini memberi ruang kepada mereka menjaga anak yang baharu lahir dengan sebaik mungkin di samping memastikan diri cergas sebelum kembali bekerja.

Bajet 2018 juga meringankan beban keluarga dalam mendapatkan pembantu rumah dengan harga lebih murah berbanding sekarang.

Ini memudahkan ibu bapa yang amat memerlukan pembantu rumah ekoran sibuk dengan pekerjaan masing-masing dan pada masa yang sama memiliki ramai anak yang perlu diurus dengan baik.

Selain itu, bagi sebuah keluarga yang berpendapatan rendah akan menikmati bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) pada jumlah maksimum sebanyak RM1,200. Seramai tujuh juta rakyat Malaysia akan menikmati insentif ini. Dalam skop lebih kecil lagi, iaitu individu, Bajet 2018 bakal membantu meningkatkan kuasa beli individu.

Misalnya, pengurangan kadar cukai individu sebanyak dua peratus bagi mereka yang memiliki pendapatan bercukai antara RM20,000 dan RM70,000 setahun akan meningkatkan lebihan wang di tangan mereka antara RM300 sehingga RM1,000.

Malah, kadar cukai pendapatan baharu ini akan menyaksikan 261,000 pekerja tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan individu. Dengan ini, dijangkakan perbelanjaan pengguna akan kembali rancak tahun hadapan.

Selain aspek percukaian termasuklah cukai barangan dan perkhidmatan (GST), aspek keusahawanan juga amat dititikberatkan oleh kerajaan dalam Bajet 2018.

Sejumlah RM100 juta diagihkan untuk Program eRezeki, eUsahawan dan eLadang selain pinjaman mudah disediakan sebanyak RM120 juta kepada 1,000 usahawan Food Truck 1Malaysia dan Mobile Food Kiosk 1Malaysia yang mana kadar faedahnya hanyalah empat peratus.

Pastinya ini memberi impak besar buat mereka dalam meneruskan aktiviti keusahawanan ke peringkat yang lebih baik. Aktiviti keusahawanan perlu menjadi agenda utama rakyat Malaysia bagi meneruskan kesinambungan sumbangan sektor perniagaan kepada ekonomi Malaysia.

Ditunaikan

Pengurangan kebergantungan terhadap pekerjaan makan gaji membolehkan pendapatan rakyat Malaysia ditingkatkan pada tahap lebih baik. Dengan merancakkan aktiviti keusahawanan, banyak lagi peluang pekerjaan akan disediakan. Lebih-lebih lagi dalam era Revolusi Industri 4.0 dan digital ekonomi yang menjadi antara teras ekonomi Malaysia dalam Bajet 2018.

Sebagaimana bajet-bajet sebelum ini, kerajaan tidak pernah melupakan sumbangan penjawat awam. Kali ini, sebanyak 12 inisiatif disediakan di samping pelbagai bentuk bantuan lain seperti perumahan dan bayaran khas yang diberikan kepada mereka.

Meskipun bukan semua permintaan daripada penjawat awam mampu ditunaikan kerajaan, namun sedikit sebanyak inisiatif dan insentif ini mampu meringankan beban kehidupan dan seterusnya menjaga kebajikan mereka.

Apa yang penting di sini, dengan kekangan kewangan kerajaan dan sasaran defisit fiskal 2.8 peratus, Bajet 2018 sedaya upaya melibatkan keseluruhan rakyat Malaysia, tidak kira umur, kaum, pekerjaan mahupun berada di negeri mana sekalipun.

Namun yang menjadi keutamaan, impak Bajet 2018 ini perlulah benar-benar dirasai oleh semua sektor ekonomi rakyat Malaysia terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan menengah (M40) agar pelbagai manfaat di atas kertas menjadi kenyataan buat mereka.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).