Para ulama Islam terkemuka, antaranya termasuk Shaikh Muhammad Al-Ghazali dengan nada marah penuh menyindir me­negaskan bahawa Islam banyak memberikan kebebasan kepada wanita dalam masyarakat. Namun permasalahan yang timbul bukanlah pada ajaran al-Quran dan hadis, yang telah salah dimengertikan itu, malah masalah yang timbul tentang kedudukan wanita Islam dalam masyarakat moden pada hari ini ialah tentang kejumudan pembicara dan pendukung Islam itu sendiri yang menyalahtafsirkan tentang ajaran Islam tentang isu wanita ini.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi membawa nada yang sama dengan Shaikh Muhammad iaitu ketika beliau ditanya tentang peranan wanita dalam media elektronik yang nampaknya amat menonjol pada ketika ini, iaitu pada era ledakan teknologi maklumat yang begitu pesat.

Al-Qaradhawi menjelaskan bahawa dalam kebangkitan media elektronik pada zaman ini, tidak ada saluran televisyen yang dapat memisahkan diri daripada penyertaan wanita kerana wanita merupakan sebahagian daripada masyarakat.

Beliau memberikan contoh tentang peranan lelaki dan wanita yang seimbang dalam Islam bahawa semenjak kejadian Adam yang menjadi bapa segala manusia, maka dijadikan isterinya dari diri dan jenisnya sendiri supaya mereka dapat berkasih sayang sesama mereka. Dalam surah Al-Baqarah ayat 35 Allah SWT berfirman kepada Adam: “Tinggallah kamu dan isteri kamu dalam syurga, makanlah kamu berdua makanan syurga yang kamu berdua suka, tetapi kamu berdua janganlah menghampiri pohon ini, nescaya kamu ber­dua akan termasuk dalam kala­ngan orang yang zalim.”

Dalam ayat-ayat ini Allah me­nujukan firman-Nya kepada ke­dua-duanya sebagai satu perintah ketuhanan yang pertama dalam sejarah umat manusia, iaitu dalam penggunaan kata ganti nama untuk mereka berdua (Muthanna - dual) bukan hanya ditujukan kepada seorang sahaja. Atau kepada Adam atas sifatnya ketua kepada Hawa. Maka ketika Allah meme­rintahkan mereka keluar dari syurga juga Allah menujukan firman-Nya kepada Adam dan Hawa serta syaitan iaitu dengan menggunakan kata Jamak sebagai ganti nama bagi ketiga-tiga mereka (Al-Baqarah ayat 25 dan 26).

Hakikat yang disebutkan oleh Al-Qaradhawi ini adalah satu permulaan sejarah yang amat pen­ting dalam kedudukan wanita dan lelaki dalam konteks hubungan antara suami dan isteri mengikut perintah Allah SWT yang pertama kepada hamba-Nya, iaitu satu isyarat yang menunjukkan Islam adalah agama yang mempunyai prinsip bagi persyarikatan yang sama antara suami dan isteri, lelaki dan wanita, dalam menjalankan tanggung jawab bersama, menjauhkan perbuatan derhaka kepada Allah dan berdiri sama rata di hadapan Allah, dengan menerima hukuman yang sama ketika melakukan kesalahan.

Penulis fikir, dalam isu peranan wanita dalam masyarakat moden ini pada umumnya, kita haruslah mempunyai sikap yang amat terbuka, tetapi berhati-hati tentang sempadan dan hukum yang adalah dasar dalam agama kita, ketika mencuba untuk memberikan gambaran yang amat baik bagi membetulkan imej Islam yang se­ring dicemarkan oleh musuhnya, termasuk dalam isu wanita iaitu isu yang amat disalahertikan oleh masyarakat sejak sekian lama.

Namun penulis merasakan, masalah yang kita hadapi pada hari ini dalam isu wanita, tidaklah semudah seperti yang dibincangkan di atas, iaitu tentang dominan atau tidaknya wanita dalam institusi kekeluargaan dan institusi-institusi lainnya, seperti pekerjaan, perundangan, sains teknologi, politik, perekonomian dan sebagainya. Ramai intelek Islam yang telah memberikan jawapan tentang hal ini untuk membuktikan Islam itu sebenarnya meletakkan wanita pada martabatnya yang wajar sejak sekian lama, berdasarkan ajaran Al-Quran dan Sunnah, dan peranan wanita sendiri yang dimainkan dalam sejarah pembangunan Islam pada zaman ke­gemilangannya.

Hal ini telah jelas, tetapi se­perti yang disebutkan oleh ramai ulama Islam sendiri, gambaran sebenarnya tentang kedudukan wanita dalam Islam, sering dicemari oleh beberapa pentafsiran dan pandangan semasa yang ketat dan tidak sejajar dengan perkembangan masyarakat mo­den ini.

Penulis futuristik Barat, Elvine Toffler ketika melawat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 1993 menyatakan perasaannya yang agak terpesona dengan kedudukan wanita di Malaysia, iaitu ketika beliau menyaksikan keterampilan wanita Islam di alam pekerjaan dan sosial di negara ini, yang amat berbeza daripada keadaan yang dialaminya ketika melihat kedudukan wanita Islam di Asia Barat, Afrika Utara, India dan Pakistan. Beliau menyatakan wajah Islam di Malaysia berbeza daripada wajah Islam di dunia Arab dan sesetengah negara Islam lain.

Pandangan saya bahawa kembalinya peranan aktif wanita Islam kini, haruslah dikaji dengan teliti oleh penyelidikan yang berpandukan kepada data dan fakta yang penting oleh ahli agama, sosial, psikologi, pendidikan dan lain­nya, untuk menjaga integriti ajaran agama dan budaya yang sihat dan tepat di dalam negara ini - yang seharusnya difahami dan dihayati oleh segenap lapisan dan kesarjanaan umat kita sendiri.

Tulisan seringkas ini hanya satu lontaran pemikiran agar isu-isu kemodenan dalam agama kita harus dikaji dengan teliti oleh para sarjana sendiri seperti yang pernah dilakukan oleh sarjana Islam kita sejak lama dulu.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).