Kata-kata “matahari tidak pernah terbenam di empayar British” lebih daripada cukup untuk menggambarkan betapa British pada era kemuncaknya tidak mampu ditandingi oleh mana-mana kuasa besar yang lain.

Namun hari ini, British pada tahun 2017 berada dalam pergelutan yang sengit di setiap arah.

Dua serangan pengganas di London dan satu serangan di Manchester telah disusuli pula dengan keputusan Parlimen tergantung selepas pilihan raya yang diadakan pada 8 Jun baru-baru ini.

Hanya dalam tempoh beberapa hari sahaja Perdana Menteri Britain Theresa May berubah daripada seorang pemimpin yang dikatakan mampu mengikuti jejak langkah Margaret Thatcher, menjadi pemimpin yang popular sedikit sahaja berbanding Presiden Amerika Syarikat, DonaldTrump dalam kalangan rakyatnya sendiri.

Keputusan pilihan raya menyaksikan Parti Konservatif pimpinan May kehilangan sebanyak 13 kerusi daripada 330 kepada 317.

Meskipun keputusan tersebut menunjukkan Konservatif masih merupakan parti yang memenangi kerusi terbanyak dengan 42.4 peratus kemenangan, Parti Buruh pimpinan ahli politik sayap kiri Jeremy Corbin mencatatkan peningkatan yang lebih cemerlang.

Bukan sahaja Buruh berjaya menambah 30 kerusi berbanding keputusan lalu, iaitu meningkat daripada 232 menjadi 262 kerusi, dari segi peratusan juga melonjak dan hanya dibezakan 2.4 peratus sahaja berbanding Konservatif iaitu 40.0 peratus.

Malah, perubahan undi sebesar 9.6 peratus yang berjaya dicatatkan Parti Buruh ini adalah yang terbanyak sejak tahun 1945.

Keputusan pilihan raya kali ini telah memaksa Theresa May untuk membentuk ‘kerajaan minoriti’ dengan kerjasama daripada Parti Demokratik Unionist iaitu parti politik dari Ireland Utara pimpinan Arlene Foster yang memenangi 10 kerusi baru-baru ini.

Namun pemimpin Buruh Corbyn dan pemimpin Liberal Demokrat, Tim Farron jelas menggesa May agar meletak jawatan. Perlu diakui bahawa tindakan May mengadakan pilihan raya sebagai 'makan diri'.

Cabaran

Boleh dikatakan bahawa percaturan awal May ada rasionalnya. Sekurang-kurangnya terdapat tiga percaturan yang sepatutnya memberi kelebihan May iaitu pertamanya keadaan Britain yang diserang ancaman pengganas boleh mencetuskan kesan sokongan kepada kerajaan pimpinan beliau (rally-around-the-flag effect).

Kedua ialah persediaan beliau untuk melaksanakan Brexit lantas membebaskan rakyat Britain daripada beban pembiayaan Kesatuan Eropah (EU).

Rasional ketiga yang juga seharusnya merupakan faktor yang memberi kemenangan selesa kepada Konservatif ialah perpecahan sesama parti lawan, terutamanya cabaran yang diterima pemimpin Buruh, Jeremy Corbin. Namun keadaan yang sebaliknya berlaku.

Corbyn yang menggantikan Ed Miliband sebagai pemimpin Parti Buruh pada 2015 sebenarnya seringkali berhadapan dengan cabaran yang cukup besar dalam parti itu sendiri.

Sejak awal pencalonan beliau sebagai pemimpin parti lagi, Corbyn memperoleh pencalonan yang agak rendah.

Hal ini boleh difahami sebagai kesan daripada ideologi politik beliau yang cukup kiri – hasil daripada pengalaman beliau sebagai aktivis buruh.

Corbyn bahkan pernah dilabel sebagai ‘pemberontak’ kerana beliau seringkali mengundi menentang sebarang dasar yang cenderung ke arah penswastaan, termasuklah sewaktu kepimpinan Parti Buruh sendiri seperti Tony Blair dan Gordon Brown.

Tidak hairanlah bahkan Tony Blair sendiri sebelum pilihan raya baru-baru ini berusaha membentuk pakatan politik untuk mencabar Corbyn.

Bahkan Datuk Bandar London, iaitu Sadiq Khan sendiri menentang Corbyn. Namun ternyata suara ramai menggemari karakteristik serta dasar yang diperjuangkan Corbyn.

Menjelang Pilihan Raya 2017, Corbyn giat menyebarkan kempen bagi membina momentum serta imej Parti Buruh yang prorakyat. Melalui pendekatan himpunan raksasa serta menyertai perdebatan di kaca televisyen, Corbyn cukup lantang menyeru rakyat agar menyokong aspirasi ekonomi politik kiri.

Dasar austerity yang menyaksikan kerajaan Konservatif mengurangkan perbelanjaan awam sejak tahun 2010 telah diuar-uarkan Corbyn sebagai memberi impak buruk ke atas sektor pendidikan, kesihatan, dan perkhidmatan air Britain.

Antara ucapan beliau yang terkenal sewaktu kempen ialah “Adakah anda inginkan perumahan? Adakah anda inginkan penjagaan kesihatan? Dan adakah anda inginkan masyarakat yang bersatu padu? Atau anda inginkan pendidikan terpilih dan pemburuan musang?” ujar Corbyn menyindir usaha Theresa May yang mempertimbangkan untuk membenarkan undang-undang pemburuan musang.

Corbyn bukan sahaja mengkritik dasar luar Theresa May, bahkan turut mengusulkan dasar luar baharu buat Britain seperti menyekat penjualan senjata UK kepada Arab Saudi dan menyemak semula perkhidmatan keselamatan Britain.

Ternyata buat masa ini, May merupakan pemimpin kuasa dunia yang berada dalam dilema dalaman dan luaran yang cukup besar.

PENULIS ialah Pensyarah Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)