Oleh itu, pihak pemaju perlu melantik kontraktor berkelayakan untuk memulakan kerja-kerja pembinaan berdasarkan syarat yang ditetapkan dan pada tarikh (permulaan kerja) yang dibenarkan sepertimana tertulis dalam permit tersebut.

Kontraktor juga perlu menyiapkan kerja-kerja pembinaan berdasarkan syarat-syarat kontrak dan lukisan perunding yang diberikan mengikut waktu ditetapkan. Begitulah proses bagi setiap kali sesuatu projek pembinaan yang mahu dilaksanakan.

Sepertimana diketahui umum, tapak pembinaan adalah satu tempat kerja yang berisiko tinggi dan perlu diberi perhatian oleh setiap individu terlibat. Di negara kita, kemalangan dalam industri pembinaan mencatatkan angka yang tinggi jika dibandingkan dengan lain-lain industri.

Yang penting, kemalangan dalam industri pembinaan mesti dilaporkan dan tidak boleh disembunyikan kecuali diabaikan oleh pihak kontraktor yang tidak bertanggungjawab.

Lazimnya apabila terjadinya satu-satu kemalangan, masing-masing akan menuding jari antara satu sama lain. Sepatutnya keadaan itu tidak berlaku. Apa yang perlu dilakukan semua pihak terlibat seharusnya mencari jalan penyelesaian.

Isu tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang baru-baru ini adalah contoh terbaik. Jika dilihat dari sudut teknikal kejadian itu adalah kemalangan di tempat kerja.

Dalam isu tersebut, kita tidak boleh mengatakan kawasan yang berbukit tidak selamat untuk didirikan bangunan kerana di negara lain seperti Hong Kong, Perancis, Sepanyol dan Itali tidak mempunyai masalah untuk membina bangunan-bangunan di lereng atau atas bukit.

Di negara-negara berkenaan, mereka telah membuat kajian yang terperinci terhadap struktur tanah, keadaan persekitaran dan membuat perancangan serta pembinaan berdasarkan keadaan semula jadi tapak. Kebiasaannya bangunan didirikan mengikut cerun semula jadi dengan tidak meratakan keseluruhan tapak.

Di negara-negara itu juga, kepakaran dari segi kejuruteraan dan perkembangan teknologi dipraktikkan bagi membolehkan pembangunan didirikan di bukit dan cerun.

Hakikatnya, insiden yang berlaku di Tanjung Bungah itu disebabkan oleh sikap manusia yang tidak menghormati keadaan semula jadi. Sekiranya perhatian dapat diberikan secara terperinci terhadap keadaan semula jadi tapak, memahami sistem pengurusan keselamatan di tempat kerja dan mematuhi setiap peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, barangkali kejadian tersebut boleh dielakkan.

Secara amnya jika seseorang kontraktor itu melaksanakan sistem pengurusan keselamatan di tapak pembinaan serta mengamalkan prosedur-prosedur keselamatan dengan baik, semua kemalangan mampu dicegah. Antaranya mengadakan tool box meeting pada setiap pagi sebelum memulakan kerja.

Kebiasaannya juga semua tugas yang akan dilakukan pada hari berkenaan akan dianalisis secara berkumpulan tentang risikonya terutama dari segi persekitaran tempat kerja, peralatan yang digunakan dan lain-lain perkara yang boleh mendatangkan bahaya.

Setelah dianalisis dan dikenal pasti risikonya maka akan dibuat kawalan terhadap risiko terbabit terutama jika ada lain-lain keputusan.

Setelah berpuas hati tentang keselamatan dan semua pihak memahami tanggungjawab masing-masing, barulah kerja boleh dimulakan. Keperluan keselamatan ini dinamakan Job Safety Analysis dan mesti dilakukan sebelum memulakan sesuatu kerja yang berisiko.

Sememangnya setiap kontraktor mesti mempunyai pengetahuan yang menyeluruh terhadap aspek keselamatan agar mereka faham bagaimana untuk mengelak kemalangan di tempat kerja antaranya memastikan keseluruhan kawasan pembinaan lebih teratur, diletakkan tanda-tanda keselamatan di tempat-tempat tertentu, memberi latihan keselamatan kepada pekerja dari semasa ke semasa dan melantik lebih ramai pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berkelayakan.

AR. MIOR ZAWARI HASSAN

Presiden CONSISTCollege