Kasut dan tas tangan wanita serta segala aksesori kecantikan lainnya menjadi perkara yang harus ada dalam kehidupan wanita moden. Tapi semua itu tidak menjadikan mereka puas. Wanita juga ingin dihargai lebih daripada sekadar pelengkap dalam kehidupan ini. Termasuk dalam kehidupan berpolitik.

Meskipun Kerajaan Pusat bagaikan tiada halangan untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus pembuat keputusan dalam sektor awam dan swasta terdiri daripada wanita, namun hal ini tidak terserlah dalam gelanggang politik.

Kenapa peratusan wanita sebagai pembuat dasar dalam arena politik dilihat masih di takuk lama?

Kita boleh lihat begitu ramai ahli parti politik seperti UMNO terdiri daripada wanita. Tetapi kenapa begitu sedikit bilangan mereka dipilih sebagai calon dalam pilihan raya. Adakah kaum lelaki sahaja yang berhak membuat keputusan dalam hal ehwal politik? Adakah kaum lelaki lebih cekal, sabar dan lebih kuat mengharungi sepak terajang dalam gelanggang politik?

Adakah calon wanita tidak diberi peluang bertanding kerana tiada keyakinan untuk mereka menang? Tetapi kenapa sesetengah calon lelaki tumpas juga kepada calon wanita. Kalau hanya calon wanita yang kuat sahaja yang dipilih sebagai calon pilihan raya, piawaian yang sama sepatutnya turut dikenakan kepada calon lelaki.

Tanggapan sebegini hanya mitos. Sebab, jika kaum wanita tidak turut serta dalam politik, bagaimana kaum lelaki hendak menang pilihan raya. Hakikatnya, sebagai contoh 50 peratus jumlah keahlian parti politik di negara ini baik di sebelah pihak Barisan Nasional atau pakatan pembangkang terdiri daripada wanita.

Dalam perkembangan dan kemajuan politik, negara kita agak terkebelakang. Filipina dan Indonesia pernah mempunyai seorang wanita sebagai presiden, dan Thailand pernah ada Perdana Menteri wanita. Sudah tentu hal ini berlaku sebab terdapat banyak halangan dalam perjalanan seorang wanita yang mahu mencapai jawatan tertinggi dalam kepemimpinan politik, waina ketua cawangan dan bahagian parti. Inilah sifat politik yang diamalkan di Malaysia jika tidak pun di dunia.

Ya, politik masih hak milik dunia lelaki dan mereka yang mempunyai sumber kewangan serta sokongan politik yang kuat. Jika ada dua perkara itu, mereka berpeluang untuk mendapat tempat yang baik apabila memulakan persaingan dalam politik. Banyak pemimpin wanita terperangkap dalam syarat tersebut kerana tidak mempunyai sumber ekonomi yang mencukupi untuk memulakan sesuatu tindakan.

Selain itu, ruang fizikal dan moral untuk wanita mendapatkan sokongan politik dikekang hebat oleh tradisi dan budaya. Peranan mereka sebagai ibu dan wanita yang baik dipersoalkan di khalayak ramai jika mereka secara terbuka bercita-cita untuk menggapai jawatan dan kuasa politik.

Apa pun eloklah wanita mulakan langkah ke hadapan. Kalau dibiarkan keadaan politik negara menentukan segala-galanya, dibimbangi pembabitan wanita dan suara perjuangan dan pandangan mereka tidak akan dipedulikan. Sedangkan tenaga, masa dan peranan wanita amat penting dalam pembangunan negara.

Peranan wanita dalam politik tidak boleh dipandang remeh kerana wanita adalah jentera utama yang membawa kepada kemenangan parti-parti politik yang menerajui kerajaan di semua negara.

Dalam hubungan ini, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkali-kali menegaskan sebelum ini, jika Wanita UMNO layak menjadi jentera terkuat untuk BN, maka Wanita UMNO juga layak menjadi calon yang boleh memenangkan BN.

“Lihat sahaja dalam Wanita UMNO, pemimpin dan ahlinya terdiri daripada ramai golongan profesional, usahawan berjaya, ahli akademik serta pemimpin masyarakat yang disenangi di akar umbi.

“Saya dan biro politik Wanita UMNO juga telah menjelajah ke seluruh negara bertemu pemimpin wanita di hampir semua kawasan Parlimen, dan pilihan calon wanita yang berkelayakan amat-amat memberangsangkan,” katanya.

Perjuangan Wanita UMNO kini bukan lagi berada di barisan belakang, sebaliknya harus bersama-sama dengan pemimpin di barisan hadapan untuk menentukan perjuangan parti terus relevan, inovatif dan kreatif.

Wanita UMNO merupakan jentera paling hadapan untuk menentukan kekuatan UMNO dalam memastikan pentadbiran Kerajaan Pusat dan beberapa negeri diteruskan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Ketika berucap merasmikan Karnival Wanita Johor 2017 pada 19 November lalu, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya lebih ramai wanita berkebolehan diperlukan dalam kepimpinan politik tanah air baik di peringkat tertinggi mahupun bawahan.

Katanya pada masa ini bilangan mereka terlalu kecil sedangkan wanita Malaysia mempunyai potensi tersendiri yang boleh menyumbang kepada dinamik politik negara.

“Kita tidak mahu wanita hadir hanya kerana mereka wanita. Kita mahu melakukan perkara yang betul dan bukan sekadar politically correct.

“Kita tidak mahu lagi keadaan di mana Malaysia, dalam kurun ke-21 ini, masih dilemaskan dengan kuota yang dibuat kononnya demi mewujudkan kesaksamaan gender dalam politik. Itu pendekatan dahulu. Pendekatan lapuk,” katanya,

POTENSI

Adalah suatu yang merugikan jika potensi wanita dalam politik tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana negara memerlukan bakat yang terbaik untuk mengemudi negara baik lelaki mahupun wanita.

Bukan Khaled sahaja ingin melihat lebih ramai wanita berkecimpung dalam dunia politik, masyarakat umum pun begitu juga. Semua ini ada kaitan bila melihat ahli politik lelaki yang tidak amanah setelah diberi tanggungjawab. Beberapa kes melibatkan ahli politik lelaki dalam isu penyelewengan kuasa dan rasuah serta skandal moral, mengikis sedikit demi sedikit kepercayaan rakyat kepada golongan ahli politik lelaki.

Pada hari ini, khidmat wanita dalam bidang profesional, korporat dan lain-lain kian bertambah. Namun ia tidak diikuti pertambahan wanita dalam saf kepimpinan parti politik terutama UMNO. Ia disebabkan oleh kurangnya pendedahan serta mereka juga bersikap skeptikal bahawa bidang politik dipenuhi dengan cabaran dan dugaan.

Perjuangan Wanita UMNO selama ini telah membuka ruang kepada wanita lain untuk turut berjaya dalam bidang masing-masing. Hari ini, jika tidak ada perjuangan wanita dalam politik ia akan menyukarkan wanita untuk menembus dinding-dinding yang ada di luar sana.

Wanita sekarang secara tidak langsung turut membina landasan dan ekosistem yang lebih baik dengan adanya penglibatan wanita dalam arena politik.

Wanita tidak boleh menyalahkan kaum Adam atas kurangnya pembabitan wanita dalam bidang politik mahupun profesional. Lebih ramai wanita perlu menceburi bidang politik. Semakin kecil pembabitan wanita dalam bidang politik maka pada akhirnya, suara wanita akan semakin menguncup.

Di samping itu kaum lelaki harus memberi penghormatan dan mengiktiraf lebih ramai wanita memegang jawatan politik. Bayangkan kalau tidak ada wanita, tidak tahu apa akan berlaku kepada jentera parti. Di cawangan, kalau wanita tidak hadirkan diri - silap-silap cawangan tidak boleh jalankan mesyuarat, kerana tidak cukup korum.

Berilah penghormatan kepada wanita. Jika wanita itu berjaya dan diberi hak sewajarnya, ia bukan menunjukkan wanita sudah menguasainya tetapi menunjukkan kaum lelaki hebat kerana memberi peluang kepada wanita untuk bersama-sama memberi sumbangan kepada parti dan negara.

Ada parti lain sudah menunjukkan sikap keterbukaan apabila wanita dipilih untuk memegang jawatan tinggi sama dengan lelaki. Wanita UMNO diharap mampu ke arah itu satu hari nanti.

Perjuangan Wanita UMNO kini bukan lagi berada di barisan belakang, sebaliknya harus bersama-sama dengan pemimpin di barisan hadapan dalam menentukan perjuangan parti terus relevan, inovatif dan kreatif. Wanita UMNO perlu bersama-sama membantu untuk menentukan hala tuju parti.

Sudah tiba masanya semua pemimpin parti politik di Malaysia baik pemerintah mahupun pembangkang agar meneliti semula strategi dan pendekatan mereka dalam meningkatkan peratusan wanita di Parlimen. Negara kehilangan aset yang amat bernilai jika hanya segelintir wanita sahaja yang terlibat dalam kumpulan yang membentuk, menggubal dan mengendalikan dasar negara.

Kita harus sedar, jumlah pelajar perempuan di institusi pengajian tinggi sekarang hampir mencecah 70 peratus, begitu juga peratusan kakitangan dalam sektor pekerjaan melebihi 50 peratus. Prestasi wanita dalam menerajui kerusi utama dalam kerajaan dan swasta sudah terbukti berjaya melonjakkan prestasi jabatan atau syarikat yang di bawah pengurusan mereka.

Kualiti pemikiran wanita sekarang bukan seperti 30 tahun lalu. Mereka semakin cerdik dan mampu menandingi semua bidang yang dikuasai kaum lelaki. Berilah sedikit kelonggaran dan peluang untuk kaum wanita menyumbang idea dan tenaga dalam bidang politik. Sudah tentu salah satu cara ialah kuota dalam jawatan politik.

Persoalan besar sekarang ialah berani atau tidak kaum lelaki membuka laluan politik yang mereka kuasai selama ini. Yakinkah mereka akan kemampuan kaum wanita dalam politik? Begitu juga sudikah kaum lelaki memberi laluan lebih ramai calon wanita bertanding Pilihan Raya Umum ke-14?