Berdasarkan sumber sejarah, kajian sarjana dan warisnya, tidak syak lagi tokoh bangsawan itu adalah Sutan Naposo, juga dikenali sebagai ‘Sutan Puasa’ dalam kalangan penduduk tempatan merupakan peneroka terawal yang bertanggungjawab membuka penempatan bersejarah di ibu negara sekitar tahun 1850-an.

Selepas Kuala Lumpur dibuka oleh Sutan Puasa, beberapa tahun kemudian barulah orang Cina keturunan Hakka diketuai Kapitan Hew Siew berhijrah ke negara ini.

Seorang pengkaji, Abdur-Razzaq Lubis yang menulis buku Sutan Puasa Founder Kuala Lumpur (2018) mendapati, beliau merupakan tokoh terawal mewujudkan penempatan baharu itu sebagai pusat perniagaan dan ekonomi sebelum kedatangan British pada tahun 1875.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Abdur-Razzaq, Sutan Naposo @ Sutan Puasa berasal dari Tombang Mandailing, Sumatera.

Hakikat itu turut diakui oleh Tokoh Sejarawan Negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, yang mengesahkan Sutan Puasa sebagai tokoh yang membuka ibu negara di suatu tempat bernama Kuala Sungai Lumpur iaitu di persimpangan Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Menurut Kay Kim lagi, Sutan Puasa diakui sebagai ‘penghulu’ orang Mandailing yang diiktiraf oleh para pengikutnya dan sangat patuh segala arahannya.

Menurut beliau, perlantikan Yap Ah Loy sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur pada era itu turut mendapat sokongan daripada Sutan Puasa.

“Memang pengaruh Sutan Puasa kuat sehinggakan pertabalan Yap Ah Loy sendiri sebagai ‘Kapitan Ketiga’ hasil bantuan Sutan Puasa,” katanya.

Menurutnya, era itu hanya pemimpin Mandailing dan para pengikutnya sahaja yang memiliki perahu atau sampan untuk berdayung sehingga sampai ke Kuala Sungai Lumpur.

“Sutan Puasa, pemimpin orang Mandailing yang mula-mula sekali datang membuka penempatan awal di Kuala Sungai Lumpur. Nama Kuala Sungai Lumpur itu akhirnya dikenali sebagai Kuala Lumpur. Sungai Lumpur ditukar nama kepada Sungai Gombak.

Lokasi awal

Menurut Kay Kim, lokasi awal dibuka Sutan Puasa ialah di sekitar Masjid Jamek berdekatan Bangunan Sultan Abdul Samad diikuti kawasan Kelab Diraja Selangor (kini Dataran Merdeka).

“Di sinilah penempatan awal itu dibuka oleh Sutan Puasa dan orang-orang Mandailing sehingga menjadi penempatan yang maju.

“Ketika itu memang tiada sesiapa pun yang didapati menghuni kawasan tersebut yang masih dilitupi hutan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.

Menurut Kay Kim lagi, selepas Kuala Sungai Lumpur dibuka Sutan Puasa, barulah orang Cina datang membuka lombong bijih timah dan lebih banyak penempatan baru dibuka seperti di Kampung Rawa.

“Orang Mandailing mula-mula sekali datang ke Kuala Sungai Lumpur, diikuti orang Kerinci. Ketika itu Orang Melayu sudah ada di Semenanjung Tanah Melayu.

“Sutan Puasa merupakan orang kaya ketika itu. Beliau dan para pengikutnya memang terkenal sebagai pedagang bijih timah. Sutan Puasa dan pekerjanya memasarkan komoditi itu dengan menaiki perahu dari Sungai Kuala Lumpur berdayung ke Kuala Klang.

“Masa itu belum ada pelabuhan Sweetenham (sekarang Pelabuhan Klang),” kata Kay Kim yang mengakui Sutan Puasa antara tokoh yang telah memberikan sumbangan besar terhadap kepesatan ekonomi di Kuala Sungai Lumpur.

Ketika diajukan soalan mengapa tiada sebatang jalan yang dinamakan Sutan Puasa sebagai mengenang jasanya, sedangkan beliau peneroka awal yang bertanggungjawab membuka Kuala Lumpur, Kay Kim turut mengakui hakikat itu.

“Memang tidak ada. Padahal Jalan Hang Tuah ada. Jalan Hang Kasturi, Jalan Hang Jebat ada. Mereka ini tidak ada kaitan dengan sejarah Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berpendapat, sudah sampai masanya satu nama jalan di sekitar ibu negara mengabadikan nama Sutan Puasa bagi mengenang jasanya sebagai perintis pembukaan Kuala Lumpur.

Ini kerana sumbangan Sutan Puasa membuka Kuala Lumpur sudah terbukti berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh para sarjana dan sejarawan tempatan dan luar negara.

Kay Kim juga berpendapat sudah tiba masanya sejarah sebenar negara ini ditulis semula oleh sejarawan dan sarjana tempatan berasaskan penyelidikan, dan bukan dari sumber yang tidak sahih supaya setiap fakta yang ditulis itu tepat dan tidak mengelirukan.

Mengikut catatan sejarah Mandailing, di akhir hayat Sutan Puasa, beliau telah menetap di Kampung Rawa (Jalan Melayu sekarang) sebelum berpindah ke sebuah perkampungan Mandailing di Jalan Chow Kit.

Sutan Puasa meninggal dunia pada tahun 1905 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.